Home » Lagenda » Sheikh Abu Bakar Al-Shaari

Sheikh Abu Bakar Al-Shaari

SEJAK Islam bertapak di alam Melayu, rantau ini dianugerah Allah SWT dengan kekayaan ulama. Salah seorang daripadanya yang turut mempelopori gerakan Kaum Muda di utara Semenanjung Tanah Melayu, khususnya di Perlis pada awal tahun 1930-an ialah Syeikh Abu Bakar Al-Shaari.
PENGARUH Kaum Muda berkembang di Tanah Melayu pada abad ke-20. Pengaruh Kaum Muda ini diasaskan oleh tokoh agama yang mendapat pendidikan di Timur Tengah seperti Syed Syeikh Al-Hadi dan Syeikh Tahir Jalaluddin. Perkembangan pengajian madrasah juga merebak di Negeri-negeri Selat hasil daripada pengaruh gerakan Kaum Muda. Bagi Syeikh Abu Bakar Al-Shaari, selain mendapat pendidikan di Mesir, beliau juga pernah belajar di Madrasah Al-Masyhor, Pulau Pinang yang didirikan oleh pengasas gerakan Kaum Muda itu sendiri, iaitu Syed Syeikh Al-Hadi. Oleh hal yang demikian, tidak hairanlah juga Syeikh Abu Bakar Al-Shaari turut mengembangkan falsafah Kaum Muda ke mana sahaja beliau pergi.
Syeikh Abu Bakar Al-Shaari mula cergas menjalankan kegiatannya itu sekitar tahun 1935, iaitu sebaik-baik beliau menamatkan pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir. Waktu itu, Perlis sudah mempunyai beberapa tokoh masyarakat yang cenderung ke arah gerakan Kaum Muda. Di antara mereka termasuklah Haji Ahmad Mohammad, iaitu bekas Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu, Perlis, Wan Ahmad Wan Daud dan Syeikh Ahmad bin Mohamad Hashim, iaitu bekas Menteri Besar Perlis. Pada tahun 1936, tokoh masyarakat Perlis itu menjemput Syeikh Abu Bakar Al-Shaari ke Perlis dan melantiknya sebagai guru agama dan imam Masjid Alwiyah, Kangar. Semua tokoh agama itu telah memberikan kerjasama kepada Syeikh Abu Bakar Al-Shaari untuk menggerakkan kegiatan dakwah Islamiah di Perlis. Beliau telah menyediakan beberapa bahan pengajaran seperti fatwa dan ulasan untuk ketiga-tiga tokoh tersebut berceramah kepada masyarakat Islam di Perlis. Syeikh Abu Bakar Al-Shaari juga seorang penulis kitab agama. Antara kitab penting yang ditulisnya ialah Intisari Tafsir Juzuk ‘Amma, Sejarah Anbia’, Pedoman Ibadat Puasa, Ibadat Rasulullah.
Menurut Mohamad Kamil Haji Abdul Majid dalam buku TokohTokoh Pemikir Gerakan Dakwah (Abim:1990), Syeikh Abu Bakar Al-Shaari telah dilahirkan di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada tahun 1904. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Chowrasta Pulau Pinang.
Kemudian memasuki English Anglo Chinese School Pulau Pinang. Selepas itu Syeikh Abu Bakar Al-Shaari belajar di Madrasah Al-Masyhor Pulau Pinang. Pada waktu itu guru besar Madrasah Al-Masyhor ialah Syed Syeikh Al-Hadi, manakala gurunya pula iaiah Syeikh Tahir Jalaluddin. Pada tahun 1925, Syeikh Abu Bakar Al-Shaari melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar, Mesir.
Pada tahun 1930, Syeikh Abu Bakar Al-Shaari menubuhkan persatuan Melayu, iaitu Al-Jajmiat ‘Al-Qhirah Al-Malayuwiyyah. Turut membantunya ialah Abdul Qahar Muzakir. Pada tahun itu, beliau mewakili persatuan itu ke Muktamar Islam di Jerusalem, Palestin.
Sebaik tamat pengajian pada tahun 1932, belian kembali ke Tanah Melayu, membawa pemikiran Islam yang lebih maju. Tidak berapa lama kemudian, Syeikh Abu Bakar Al-Shaari telah berpindah ke Kedah.
Disebabkan pemikiran barunya sukar diterima, beliau berpindah ke Perlis. Di negeri itu beliau dikenali sebagai ulama yang berpandangan liberal. Beliau telah dilantik menjadi Penolong Pengarah akhbar Saudara dan Bahtera. Bermula dari situlah beliau dapat menyampaikan pemikiran agamanya di kalangan Kaum Muda.
Sebelum ke Perlis, pergolakan pemikiran agama antara Kaum Muda dengan Kaum Tua di negeri itu memuncak. Menurut Profesor Dr. Harun Din, pergolakan itu berpunca daripada masalah apakah aliran pemikiran agama di Perlis akan terus berpegang kepada konsep bermazhab (Syafie) seperti negeri-negeri lain di Tanah Melayu dan negara-negara Islam lain amnya? Atau membebaskan diri daripada aliran itu dengan menegakkan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah, iaitu konsep yang liberal dan tidak terikat kepada mana-mana mazhab dengan mengambil hukum agama daripada al-Quran dan as-Sunnah sahaja.
Di Perlis, Syeikh Abu Bakar Al-Shaari bertugas sebagai guru agama. Kemudian dilantik sebagai Imam Besar Masjid Negeri. Beliau memperkenalkan ajaran yang dinamakan “ajaran kaum baru” yang terkenal hingga ke peringkat teraju pemerintahan di Perlis. Ajaran itu kemudian dikanunkan dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis, Bahagian 2, bertajuk Agama Rasmi 5 (1) yang digubal pada 26 Mac 1959. Beliau mencatatkan: “Agama rasmi di Perlis ialah agama Islam berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah”. Pada tahun 1956, Syeikh Abu Bakar menulis buku berjudul Ibadah Rasulullah yang menggemparkan masyarakat Islam di Tanah Melayu. Hampir seluruh ulama pada waktu itu menentang pendapat beliau seperti yang terdapat dalam buku itu.
Punca penentangan itu bermula daripada fatwanya bahawa katak, ular, biawak, mengkarung dan jenis binatang yang tidak dinyatakan hukumnya dengan jelas dalam al-Quran dan as-Sunnah dianggap halal
dan boleh dimakan. Berikutan dengan itu, akhbar dan majalah menjadi tapak perdebatan antara Syeikh Abu Bakar Al-Shaari dengan alim ulama di seluruh Tanah Melayu, termasuk mufti. Dalam perdebatan itu, Syeikh Abu Bakar Al-Shaari mencabar mereka yang menentangnya mengemukakan dalil daripada al-Quran dan as-Sunnah. Cabaran itu tersiar dalam Berita Harian bertarikh 29 Rejab 1377H (1956).
Majlis Agama Islam Perak yang tampil ke depan menyahut cabaran itu, bersedia menganjurkan perdebatan terbuka mengenai permasalahan yang ditimbulkan itu. Bagaimanapun, Syeikh Abu Bakar Al-Shaari menerusi cabarannya itu memberikan alasan bahawa perdebatan mengenai soal ijtihad tiada faedahnya. Berhubung dengan permasalahan itu menyebabkan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Sembilan telah mengesyorkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu supaya mengambil tindakan terhadap Syeikh Abu Bakar Al-Shaari. Disebabkan masalah itu tiada berkesudahan dan tiada pula kata pemutus mengenainya, akhirnya buku lbadah Rasulullah itu diharamkan di beberapa buah negeri termasuk Perak, Negeri Sembilan, Selangor dan Johor.
Walau bagaimanapun, buku itu ditolak kerana satu fatwa itu sahaja tetapi kandungannya yang lain masih mencakupi beberapa perkara yang boleh diberikan perhatian.
Satu lagi fatwanya yang menggemparkan ialah memindahkan mata dari mayat seorang Islam kepada seorang Islam yang lain hukumnya adalah harus. Fatwa itu menimbulkan perdebatan di dalam akhbar dan Syeikh Abu Bakar Al-Shaari berpegang terus kepada pendapatnya bahawa Islam agama yang luas, mengasuh insan mementingkan faedah umum daripada aspek perseorangannya.
Sebagai penulis, Syeikh Abu Bakar Al-Shaari menghasilkan beberapa karya agama. Antaranya ialah Khutbah Jumaat, Soal Jawab Agama, Sejarah Anbia’, Tafsir Juz ‘Amma, Jawahir Bukhari, Kemerdekaan Berfikir dalam Islam, Panduan Puasa, Pergerakan Kaum Wanita Dalam Islam, Ibadah Rasulullah, Puasa Rasulullah dan Punca Peperangan Akal.
Syeikh Abu Bakar Al-Shaari meninggal dunia di rumah anaknya, Firdaus, di Port Dickson, Negeri Sembilan pada 6 Mac 1970. Beliau meninggal pada jam 6.00 pagi pada usia 67 tahun. Jenazah beliau dibawa ke Perlis dan dikebumikan di tanah perkuburan Tok Paduka pada keesokan harinya.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *