Home » Lagenda » Sheikh Haji Abdullah Fahim

Sheikh Haji Abdullah Fahim

Sheikh Haji Abdullah Fahim pernah merayu supaya orang Melayu berpegang teguh dengan semangat perpaduan ummah dan bersatu padu dalam satu kesatuan bangsanya. Beliau juga kerap meminta orang Melayu supaya menjauhkan diri daripada golongan yang mengeluarkan hukum-hakam yang tidak selari dengan mazhab Shafie dan terkeluar daripada mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah. Beliau sangat berharap mana-mana puak atau kumpulan yang berselisih pendapat mengenai sesuatu perkara atau permasalahan agama supaya mengambil jalan perdamaian dan kembali bersatu agar keretakan yang kecil tidak menjadi perpecahan, yang besar serta memudaratkan kesatuan agama serta bangsa.

ALAM Melayu sebenarnya dianugerahkan oleh Allah SWT dengan suatu kekayaan luar biasa. Kekayaan yang dimaksudkan itu bukan semata-mata berasaskan kekayaan fizikal tetapi juga kekayaan istimewa

yang membasahi bumi bertuah ini, menjelma dalam bentuk amat unik. Ia wujud dalam bentuk khazanah ilmu yang disalurkan melalui pemikiran alim ulama yang sejati.

Sesungguhnya kekayaan dan kekuatan ilmu bagi sesuatu bangsa dan negara memang diakui mampu menjadi sumber keunggulan spiritual yang sukar ditandingi. Sejarah membuktikan tamadun bangsa-bangsa yang besar di dunia tidak terletak pada kekuatan lahiriah semata-mata tetapi bergantung kepada kekuatan dalaman yang terasnya berpaksi kepada pemikiran bersumberkan ilmu.

Dalam perjalanan sejarah negara ini, kita dapat melihat dengan jelas suatu anugerah Allah SWT yang amat terserlah di bumi Melayu, iaitu kehadiran gerakan Islam melalui kegiatan para alim ulama berjiwa besar dan penuh keikhlasan. Hasil usaha mereka itu kemudiannya melahirkan suatu tradisi pembinaan ilmu yang mengukuhkan lagi tamadun kita di alam Melayu.

Meskipun sejak 500 tahun lalu, kelompok penjajah seperti Portugis, Belanda dan Inggeris sentiasa menyusupkan seribu satu macam muslihat untuk melumpuhkan keunggulan syiar Islam di Tanah Melayu tetapi niat serong kalangan itu tidak pernah tercapai.

Sebaliknya kuasa Allah SWT mengatasi segalanya. Islam terus berkembang dan membangun sehinggalah ke saat di mana gagasan penjajah Inggeris untuk membeku dan memperhambakan jiwa umat Melayu-Islam melalui Malayan Union dipatahkan oleh Gerakan Nasionalisme-Muslim di negara ini pada tahun 1946. Maka arus gerakan Islam itu terus menyusuri Alam Melayu sesejuk air bukit yang mengalir dari gunung dan ia membasahi dunia Melayu tanpa henti hingga ke hari ini.

Daripadanya, syiar Islam terus membuka kelopak dan berkembang dengan subur sekali. Sehubungan itu, lahirlah satu demi satu tokoh ulama di alam Melayu yang turut menyumbangkan tenaga dan buah fikiran bagi memastikan keutuhan Islam terus terpelihara daripada serangan dakyah para orientalis serta konco-konco mereka.

Pada era transisi (peralihan) daripada cengkaman penjajah kepada zaman kemerdekaan itulah lahir seorang ulama besar yang banyak jasanya kepada perkembangan Islam di Tanah Melayu (Malaysia).

Ulama yang mempunyai pandangan serta wawasan jauh dari Seberang Prai, Pulau Pinang itu ialah Tuan Guru Sheikh Abdullah bin Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Sheikh Haji Abdullah Fahim. Beliau adalah seorang tokoh ulama dan pendidik yang gigih serta banyak menabur jasa yang besar terhadap perkembangan Islam dan kemajuan sosial serta politik di negara ini.

Seperti Sheikh Mohd Idris al-Marbawi, tokoh Maal Hijrah yang pertama, Sheikh Haji Abdullah Fahim juga dilahirkan di Tanah Suci Makkah al-Mukarramah pada tahun 1870 di satu tempat tidak jauh dari Masjid al-Haram yang bernama Shuib Ali. Bapanya Sheikh Ibrahim bin Haji Tahir bermastautin di kota Mekah dan menjadi guru agama di Masjid al-Haram dalam bidang pengajian al-Quran sehingga menghembuskan nafasnya yang terakhir di Tanah Suci.

Sewaktu dilahirkan, bapa Tuan Guru Sheikh Abdullah Fahim adalah seorang guru al-Quran di Mekah dan beliau mempunyai bilangan murid yang ramai. Sebilangan besar daripada murid bapanya itu datang ke Mekah dari gugusan Kepulauan Melayu seperti Tanah Melayu, Indonesia, Pattani (Thailand) dan beberapa tempat lain di seluruh alam Melayu atau Nusantara.

Mengikut sejarah, Sheikh Ibrahim dan anaknya, Tuan Guru Sheikh Haji Abdullah Fahim pernah dilantik sebagai ahli lembaga Masjid alHaram. Sewaktu berada di Mekah, Tuan Guru Sheikh Haji Abdullah Fahim mengambil kesempatan mempelajari ilmu politik Islam dan antarabangsa.

Kesedaran beliau untuk mempelajari selok-belok ilmu politik Islam dan antarabangsa ini jelas menunjukkan bahawa beliau adalah seorang ulama yang cintakan ilmu pengetahuan yang seimbang antara duniawi dengan ukhrawi.

Di samping itu, ia juga membuktikan betapa Tuan Guru Haji Abdullah Fahim seorang ulama yang memiliki pemikiran yang terbuka serta tidak terkongkong sifatnya. Ilmu, sama ada bagi kepentingan dunia atau akhirat, didalaminya bagi kepentingan serta maslahah umat Islam

sendiri.

Semangat ingin mempelajari pelbagai ilmu, termasuk kepimpinan, kemasyarakatan dan politik membuktikan beliau bukanlah seorang ulama yang statik. Sebaliknya ia membuktikan sifat ulama yang dinamis.

Sepanjang hayatnya, Tuan Guru Sheikh Haji Abdullah Fahim menunjukkan minat begitu mendalam dan luar biasa untuk mencari lebih 45 orang guru yang terkenal, antara mereka itu termasuklah ahli-ahlifalsafah Islam yang tersohor pada masa itu.

Usahanya yang istiqamah itu menghasilkan kejayaan yang terpuji. Beliau mempunyai kelulusan dalam lebih daripada 15 bidang ilmu Islam. Kemahiran utama Tuan Guru Sheikh Haji Abdullah Fahim adalah dalam bidang ilmu falak dan kesusasteraan Arab.

Ilmu falak sebenarnya ada kaitan dengan sains, manakala ilmu sastera (Arab) pula ada pertaliannya dengan seni dan jiwa manusia mengharungi kehidupan ini. Daripada dua jurusan yang dikuasai oleh

Tuan Guru Sheikh Haji Abdullah Fahim itu ternyata bahawa beliau memiliki ilmu yang seimbang antara jasmani dengan rohani, dunia dengan akhirat.

Selain itu, Tuan Guru Sheikh Haji Abdullah Fahim juga memiliki semangat jihad yang tinggi dan pernah menyertai gerakan Islam di negara Arab untuk menentang penjajahan Yahudi, Perancis dan Amerika Syarikat.

Pada tahap ini, kita dapat melihat dengan jelas jiwa perjuangan seorang ulama sepertinya. Dalam menegakkan syiar Islam di muka bumi, beliau bukan sekadar sanggup menyampaikan dakwah dengan lidah tetapi lebih daripada itu, beliau sanggup “turun padang” untuk menegakkan sebuah perjuangan, khususnya bagi menentang penjajahan.

Dalam hal ini, pembabitannya dalam gerakan Islam di negara Arab menentang imperialis Barat yang terdiri daripada negara-negara kuasa besar dunia itu bukan saja membuktikan sifat dirinya sebagai seorang  ulama tulen yang berani menentang musuh agama tetapi langkah beraninya itu adalah satu manifestasi dirinya sebagai seorang pejuang Islam yang tidak pernah gentar untuk mempertahankan kedaulatan bumi Arab-Muslim daripada serangan anasir penjajahan.

Sesungguhnya semangat perjuangan begitu kental yang sentiasa wujud dalam dirinya itulah yang dibawa oleh Tuan Guru Sheikh Haji Abdullah Fahim sehingga beliau sampai ke Tanah Melayu dan

bermastautin di Pulau Pinang.

Beliau telah mendirikan rumah tangga dengan seorang gadis Melayu yang pernah tinggal di Mekah. Hasil perkongsian hidup itu, beliau dianugerahi dua cahaya mata iaitu Ahmad Ghazali dan Ahmad yang kemudiannya dikenali di Malaysia dengan nama Ahmad Badawi iaitu bapa kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi, seorang tokoh politik negara dan mantan Perdana Menteri Malaysia kelima.

Demikianlah suatu warisan yang amat berharga yang sedang dirasai o1eh seluruh rakyat di negara ini, khususnya umat Islam, hasil daripada jasa dan bakti Tuan Guru Sheikh Haji Abdullah Fahim.

Ketokohannya dalam bidang pendidikan tidak ada tolok bandingnya, malahan di peringkat awal kerjayanya, Sheikh Haji Abdullah Fahim pernah menjadi guru di Masjid al-Haram dengan mengajar ilmu falak, usuluddin, tafsir al-Quran dan hadis.

Ramai antara pelajar yang mengikuti kuliahnya itu datang dari alam Melayu, termasuk Semenanjung Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Brunei, Sumatera, Jawa, Filipina, Pattani, Thailand. Bahkan, ada juga muridnya yang datang dari Arab, India dan China.

Pada 1921, Tuan Guru Sheikh Haji Abdullah Fahim kembali ke Tanah Melayu. Sekembalinya ke tanah air, beliau terus aktif mengajar agama kepada pelajar tempatan di rumah pusakanya di Kepala Batas, Seberang Prai, Pulau Pinang.

Tidak berapa lama selepas itu, beliau dijemput menjadi guru agama di Pondok Tuan Haji Wan Sulaiman Sidik yang terletak di Kampung Limbong Kapal, Alor Setar, Kedah. Sewaktu di Kedah, Tuan Guru Sheikh

Haji Abdullah Fahim diberi penghormatan yang tinggi oleh pemerintah negeri itu. Pada masa itu, beliau dilantik sebagai guru agama kepada Sultan Kedah sendiri. Pelantikannya itu merupakan salah satu daripada kemuncak pencapaiannya yang tinggi dalam bidang pendidikan Islam.

Selama empat tahun di Kedah, Tuan Guru Sheikh Haji Abdullah Fahim berpeluang mendalami bahasa Melayu. Beliau sebenarnya lebih mahir berbahasa Arab kerana lahir dan dibesarkan di Mekah.

Dengan kemahiran yang dimiliki itu menyebabkan beliau cepat mengadaptasi suasana tempatan, khususnya mengenai adat resam di Kedah ke dalam dirinya. Kemahiran itu juga membuka laluan lebih

luas kepada beliau untuk menimba pengalaman dalam bidang urusan agama serta politik tempatan kerana ketika itu beliau sentiasa berpeluang berdamping dengan Tuanku Sultan Kedah dan kalangan pemimpin negeri itu.

Pada tahun 1925, Tuan Guru Sheikh Haji Abdullah Fahim kembali semula ke kampungnya di Kepala Batas, Pulau Pinang. Sekembalinya beliau meneruskan usaha untuk mengajar agama kepada pelajar tempatan di anjung rumah pusakanya di situ.

Pada masa itu, ada lima pelajarnya yang tetap. Antara mereka ialah Sheikh Abu Bakar Baqir, Ustaz Haji Abdul Halim Hadi dan Haji Ghazali. Apabila murid-murid semakin ramai, tempat pengajian itu pun dipindahkan ke Masjid Kepala Batas yang terletak berhadapan dengan rumahnya.

Pada 1931, baginda Sultan Perak, Sultan Idris telah menjemput Sheikh Haji Abdullah Fahim untuk menjadi mudir (pengetua) di Madrasah Idrisiah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar yang masyhur itu.

Pelantikan itu dibuat bagi menggantikan Sheikh Abdullah Maghribi, seorang ulama terkenal yang bersara daripada jawatan itu.

Seiring itu, ramai pula murid Tuan Guru Sheikh Abdullah Fahim yang belajar di Kepala Batas sebelum itu ikut berpindah bersama-sama beliau ke Kuala Kangsar, Perak dan akhirnya ramai daripada mereka turut menjadi guru di situ.

Sepanjang perkhidmatannya sebagai mudir di Madrasah Idrisiah, beliau telah berjaya melahirkan ramai tokoh agama dan pendidikan yang berkaliber. Antara mereka itu termasuklah Sheikh Abu Bakar Baqir, Sheikh Abdul Halim Hadi dan lain-lain.

Sesudah beberapa tahun di Perak, Sheikh Abdullah Fahim kembali ke Pulau Pinang dan meneruskan semula kuliah agamanya di Masjid Kepala Batas sementara menunggu siapnya sekolah agama yang baru

didirikan dan dikenali sebagai Daeratul Maarif Al-Wataniah (DMW).

Pembinaan sekolah ini dibiayai sepenuhnya oleh derma orang ramai dan pemberian zakat umat Islam. Sekolah berkenaan terletak bersebelahan masjid tanah pusaka keluarga Sheikh Abdullah Fahim yang sekarang ini dikenali sebagai Masjid al-Aljamiat al-Badawi, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Apabila sekolah agama itu siap dibina pada tahun 1934, Sheikh Haji Abdullah Fahim atau lebih dikenali juga dengan panggilan “Tok Ngah Lah” di kalangan penduduk Kepala Batas, memulakan pengajian di situ

dengan dibantu oleh bekas muridnya yang berpotensi dan mempunyai ketokohan seperti Sheikh Abu Bakar Baqir, Ustaz Abd Halim Hadi, Ustaz Ghazali, Haji Ahmad Badawi, Haji Ahmad Maliki dan lain-lain.

Pada masa itu tidak ada kemudahan asrama seperti sekarang tetapi pihak sekolah menyediakan tanah lebih kurang 10 kaki x 8 kaki untuk para pewaris pelajar mendirikan pondok kecil yang mempunyai empat atau enam tiang. Pondok ini juga dapat dijadikan tempat tidur dan tempat memasak.

Pelajar yang menuntut di situ datang dari seluruh pelosok Semenanjung Tanah Melayu. Suatu hal yang menarik bagi pelajar di pondok berkenaan ketika itu ialah uniform mereka agak berbeza daripada pakaian yang biasa dipakai oleh pelajar sekolah-sekolah pondok yang lain.

Kebiasaannya pada `zaman’ itu, semua pelajar sekolah pondok diwajibkan memakai kopiah atau ketayap putih (kopiah lebai) dan berkain sarung. Itulah senario biasa mengenai pakaian pelajar sekolah pondok di mana-mana pun ketika itu. Namun, di sekolah DMW, pakaian pelajarnya boleh dikatakan berada jauh ke hadapan atau agak advance apabila pelajarnya memakai seluar putih dan bersongkok.

Sensitiviti masyarakat Islam pada masa itu terhadap pakaian Barat agak tebal. Mereka boleh dikatakan tidak suka meniru pakaian `orang putih’, sebaliknya lebih selesa dengan pakaian tradisi Melayu — kain pelekat dan baju Melayu, bersongkok atau berketayap putih. Dalam hal ini, sekolah DMW dapat disifatkan sebagai sebuah sekolah yang mempelopori satu pembaharuan dalam tradisi berpakaian di sekolah agama di negara ini. Keadaan ini juga jelas menggambarkan keterbukaan pemikiran pengasas pondok berkenaan yang tidak mahu dikongkong oleh tradisi pemikiran yang lapuk dan usang.

Sesiapa yang melawat ke sekolah DMW pada masa itu akan dapat melihat satu pemandangan yang menarik di mana pondok-pondok itu didirikan berbaris-baris. Di tempat lain dipanggil sekolah pondok kerana tidak mempunyai sistem pendidikan sekolah yang sistematik.

Sekolah DMW yang didirikan oleh Sheikh Haji Abdullah Fahim ini pula merupakan sekolah Arab moden, meskipun ia masih kekal dengan penginapan di pondok-pondok kecil.

Setiap tahun sekolah pondok ini menganjurkan Majlis Ihtifal yang mirip kepada Hari Ibu Bapa atau Hari PIBG sekarang. Ibu bapa dari seluruh negara akan berkampung di sini. Selain menyampaikan hadiah-hadiah kepada pelajar yang cemerlang, majlis itu digahkan dengan penceramah handalan peringkat kebangsaan yang memberikan kesedaran serta semangat perjuangan bagi menuntut kemerdekaan.

Sejarah telah menyaksikan bahawa sekolah Arab dan sekolah pondok melahirkan ramai kalangan pejuang yang menuntut kemerdekaan negara daripada penjajah. Suara mereka cukup lantang dan berkesan.

Sheikh Haji Abdullah Fahim yang menjadi teras kepada perjuangan ini telah berjaya melahirkan ramai pemimpin golongan muda pada masa itu dan mereka kemudiannya tampil ke hadapan berjuang menuntut kemerdekaan daripada penjajah British.

Titisan darah perjuangannya itu masih mengalir di bumi kita sekarang dan ia menjadi segar semula melalui pemikiran cucundanya, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang memimpin Malaysia mulai Oktober 2003.

Sungguhpun Sheikh Abdullah Fahim memperkenalkan sistem sekolah sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, tetapi beliau meneruskan juga sistem-sistem lama pengajian umum yang diberikannya di masjid. Sistem ini ialah pengajian dalam bentuk mentelaah atau meneliti kitab-kitab turath yang ditulis pada zaman permulaan Islam, terutama kitab-kitab tafsir, hadis, fikah, tauhid, falak dan lain-lain.

Sistem ini masih kekal hingga sekarang di Mekah. Jemaah haji akan dapat melihat para guru dan alim ulama duduk di atas kerusi dalam Masjid al-Haram selepas solat Maghrib dan memberikan kuliah mengikut kitab-kitab yang dipilih.

Perjuangan untuk menegakkan syiar Islam bukanlah mudah kerana ia terpaksa menghadapi pelbagai cabaran. Ada kalanya pejuang gugur bukan kerana perjuangannya tetapi kerana faktor lain seperti ganjaran tertentu. Namun begitu, Sheikh Abdullah Fahim memiliki sifat yang tegas dan ini tidak menyebabkan beliau hilang pedoman.

Selain itu, Sheikh Haji Abdullah Fahim adalah salah seorang daripada ulama yang tegas dan sangat prihatin kepada perpecahan umat Islam. Beliau memberikan nasihat kepada orang Melayu supaya jangan mengikut ajaran Khawarij yang mencetuskan perbalahan di kalangan umat Islam apabila mereka keluar dan berpisah daripada kepimpinan Saidina Ali RA. Beliau juga pernah menunjukkan tindakan tegas dengan meninggalkan majlis yang menyerang dan memperkecilkan orang Melayu yang berpegang kepada mazhab Shafie.

Golongan yang sangat dikecam itu ialah kumpulan Khawarij. Menurut beliau, golongan yang bermazhab Khawarij cuba untuk mengelirukan fahaman umum yang sebati dengan mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Sheikh Haji Abdullah Fahim pernah merayu supaya orang Melayu berpegang teguh dengan semangat perpaduan ummah dan bersatu padu dalam satu kesatuan bangsanya. Beliau juga kerap meminta orang

Melayu supaya menjauhkan diri daripada golongan yang mengeluarkan hukum-hakam yang tidak selari dengan mazhab Shafie dan terkeluar daripada mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah. Beliau sangat berharap mana-mana puak atau kumpulan yang berselisih pendapat mengenai sesuatu perkara atau permasalahan agama supaya mengambil jalan perdamaian dan kembali bersatu agar keretakan yang kecil tidak menjadi perpecahan, yang besar serta memudaratkan kesatuan agama serta bangsa.

Sheikh Haji Abdullah Fahim adalah orang yang pertama dilantik menjadi Mufti Negeri Pulau Pinang selepas merdeka. Beliau menyandang jawatan itu selama lima tahun.

Selain bidang akademik, Sheikh Haji Abdullah Fahim juga menyertai bidang politik. Penyertaan ini menyebabkan beliau kemudiannya muncul sebagai ahli politik yang terkemuka dan sering menyumbangkan pemikiran yang bernas serta tajam dalam bidang berkenaan.

Beliau pernah melaungkan slogan “Hidup Melayu” dan menyarankan agar semangat kemelayuan ditanam di dalam diri penduduk di Tanah Melayu dan Indonesia kerana kedua-duanya bagaikan saudara

kembar. Kelantangan Sheikh Haji Abdullah Fahim dalam perkara sebegini menjadikan keterlibatan beliau secara langsung dengan gerakan menuntut kemerdekaan bukan suatu perkara yang asing, malahan sentiasa memberikan galakan kepada anaknya Haji Ahmad yang terkenal dengan nama Ahmad Badawi supaya menyertai gerakan politik dan kemudiannya bergerak cergas sebagai Timbalan Ketua Pergerakan

Pemuda UMNO Malaya sebelum meninggal dunia pada 7 Mei 1977.

Ramai yang tidak menyedari, bahawa Sheikh Haji Abdullah Fahim memiliki keistimewaan yang sangat mengagumkan iaitu bijak dan tajam pemikiran dalam meramalkan sesuatu. Buktinya apabila beliau meramalkan bahawa Tanah Melayu akan merdeka pada tahun 1957 kerana pada hematnya, perjuangan menuntut kemerdekaan pada ketika itu sebagai “buah yang telah masak”.

Kehebatan beliau tidak terhenti di situ sahaja, malahan cukup terkenal dengan kebolehan berpidato dan beliau sendiri merupakan seorang pejuang sejati UMNO. Menurut bekas Ahli Dewan Undangan Negeri

Pulau Pinang kawasan Bertam, Datuk Mohd Noor Ahmad, terdapat dua cadangan penting yang dikemukakan oleh Sheikh Abdullah Fahim yang diterima pakai oleh Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, Perdana Menteri Malaysia yang pertama, dengan mencadangkan supaya:

  1. Rombongan ke London yang menuntut kemerdekaan daripada British yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman itu janganlah pergi dengan kapal terbang tetapi hendaklah pergi dengan kapal laut supaya mereka mempunyai masa yang panjang dan mencukupi untuk berbincang di antara satu sama lain.
  2. Menetapkan 31 Ogos 1957, sebagai hari kemerdekaan bagi Tanah Melayu (Malaysia). Ini adalah mengikut perkiraan Sheikh Haji Abdullah Fahim yang cukup terkenal sebagai seorang ahli falak.

Kesetiaan beliau terhadap perjuangan bangsa tidak ternilai harganya. Cintanya kepada perjuangan UMNO adalah cinta sejati, tidak pernah mengeluh malah gagah mencurah tenaga dan pemikiran sebagai

Pengerusi Jawatankuasa Agama pada awal penubuhan UMNO lagi.

Semangat memperjuangkan nasib bangsa dan agama diperjuangkan sehingga saat kematiannya. Bahkan menurut satu sumber daripada Datuk Mohd Noor Ahmad, ketika Sheikh Haji Abdullah Fahim menghembuskan nafasnya yang terakhir, lencana UMNO masih terlekat pada bajunya.

Dalam kehidupan sehariannya, Sheikh Haji Abdullah Fahim adalah seorang yang mudah sekali bergaul mesra dan amat disenangi oleh penduduk setempat yang terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum. Pernah dikatakan bahawa pekedai-pekedai di sekitar Pulau Pinang biasanya berasa amat bertuah sekiranya Sheikh Haji Abdullah Fahim masuk ke kedai mereka tetapi akan berasa bimbang sekiranya barang di kedai mereka itu dikatakannya mahal, maka alamatnya jualan pekedai itu pada hari itu akan merosot. Begitulah pula sebaliknya pekedai selalu berharap Tuan Guru Sheikh Haji Abdullah Fahim akan masuk ke kedai mereka kerana kehadirannya menjadi petanda bahawa jualan mereka pada hari itu akan laris. Itulah antara keistimewaan yang dimiliki oleh Sheikh Haji Abdullah Fahim yang merupakan seorang wali yang amat dihormati oleh penduduk Pulau Pinang, terutamanya di Seberang Prai dan Kepala Batas.

Sheikh Abdullah Fahim menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 8.00 pagi, 28 April 1961 di rumah pusakanya di Kepala Batas.

Almarhum meninggalkan seorang anak iaitu Ahmad Badawi dan beberapa orang cucu, di antaranya ialah pemimpin negara kita yang dikasihi, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Menurut Datuk Mohd Noor Ahmad, ketika Sheikh Haji Abdullah Fahim masih ada, Tun Abdullah Ahmad Badawi selalu ikut bersama-sama dengan datuknya itu, terutama dalam kelas pengajian umum di masjid dan beliau banyak bergaul dengan pelajar-pelajar sekolah Arab DMW.

Beliau adalah seorang pemimpin negara yang sangat bertuah kerana dibesarkan di dalam lingkungan keluarga dan suasana sekeliling yang dipagari dengan syiar Islam. Seiring itu, kita, rakyat Malaysia, khususnya umat Islam, sangat bertuah kerana mendapat seorang pemimpin negara seperti beliau yang mewarisi titisan kepimpinan ulama daripada bapa dan datuknya sendiri. Syukur Alhamdulillah.

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *