Home » Muamalah » Siapa kata harta tidak boleh dibawa mati ?

Siapa kata harta tidak boleh dibawa mati ?

Susunan WARTAWAN DAKWAH

Dalam kampung aku, ada seorang pakcik yang memang terkenal dengan sifat dermawannya. Namanya Haji Lahman. Mengikut cerita ayah, dulu Haji Lahman bukanlah seorang yang kaya seperti sekarang. Katanya, Haji Lahman bermula sebagai pembantu di Kedai Runcit Ah Kuat.

Yang peliknya, sejak Haji Lahman bekerja di kedai itu, makin ramai pula pelanggan yang datang. Nak kata kedai Ah Kuat selalu bagi potongan harga menarik, tidak juga. Tapi ayah kata, dia agak semuanya mungkin kerana sifat baik Haji Lahman. Apa yang Haji Lahman buat? Bagi setiap barang yang dibeli pelanggan, pasti dia akan memasukkan sebiji dua gula-gula sebagai tanda penghargaan. Eh! Dia buat kedai tu macam hak dia pula!

Tidak! Jangan silap sangka. Ayah kata, sebelum Haji Lahman buat begitu, awal-awal lagi dia sudah meminta keizinan dari Tokey Ah Kuat. Dia rela gajinya dipotong mengikut jumlah balang gula-gula percuma yang luak. Selagi tidak menjejaskan hasil jualan, Ah Kuat okey saja. Malah, melihatkan kedainya yang semakin maju, kadang-kadang Ah Kuat tidak memotong gaji Haji Lahman bahkan diberikannya bonus.

 

Haji Lahman makin berjaya

Sepuluh tahun bekerja dan menimba ilmu perniagaan dengan Ah Kuat, Haji Lahman berjinak-jinak membuka kedai runcitnya sendiri. Masih lagi dengan sifat pemurahnya, kedai Haji Lahman yang dahulunya kecil, sudah menjadi sebuah pasar mini. Pasar Mini Haji Lahman masih lagi mengamalkan konsep berniaga sambil bersedekah yang mana kini amal sedekah yang dibuatnya bukan lagi dalam kadar kecil seperti mula-mula dia bekerja dengan Ah Kuat, tetapi dalam skala yang lebih besar. Kedainya menjadi kedai yang paling kerap membuat potongan harga dan happy hour.

Dari sebuah, kini kedainya berjumlah 10 buah. Itu hanya di Selangor. Kedainya mempunyai rangkaian seluruh negara dengan kira-kira 30 buah kedai kesemuanya. Di setiap cawangan, amalan berniaga sambil menderma menjadi motto mereka. Haji Lahman ternyata menjadi seorang usahawan yang berjaya dan dihormati. Walaupun begitu, keperibadiannya tidak pernah berubah. Masih seperti dulu; merendah diri dan pemurah. Ikut resmi padi, makin berisi, makin menunduk.

Haji Lahman selalu menderma kepada masjid-masjid dan anak yatim seluruh negara. Setiap bulan, dia akan memperuntukkan sejumlah wang hasil keuntungan berniaga untuk golongan fakir miskin dan yang memerlukan. Bahkan boleh dikatakan, kemana-mana saja dia pergi, dia akan ‘menaburkan duit’ dengan mencari golongan yang memerlukan.

Selain daripada sifat dermawannya, akhirat sentiasa di hati Haji Lahman. Dia akan sentiasa mengerjakan solat fardu berjemaah di masjid. Dia akan jadi jemaah yang paling awal datang ke masjid. Ayah kata, kerap kali juga dia melihat Haji Lahman mengutip telekung untuk dibasuh dan mengupah orang untuk membersihkan karpet masjid. Begitulah sifat Haji Lahman yang dikenali semua, seolah-olah harta yang dimiliki ‘tidak berharga’ baginya. Mudah sangat memberi tanpa teragak-agak.

 

Pertemuan yang menginsafkan

Teruja untuk mengenalinya lebih dekat, aku cuba mendekatinya usai solat Isyak di masjid. Kulihat Haji Lahman sedang berbual-bual dengan seorang jemaah wanita lalu aku mengambil keputusan untuk menunggu di ruang solat sambil membaca al-Quran.

Kulihat, selesai berbual dengan wanita itu, Haji Lahman pergi ke ruang solat wanita. Kerana rasa ingin tahu yang membuak-buak, aku menjengukkan kepala ke ruang solat wanita. Rupa-rupanya, dia sedang mengutip telekung-telekung wanita yang disangkutkan secara berderet itu lalu meletakkannya ke dalam beg plastik. Selepas memasukkan ke dalam beg plastik, dia menggantikannya dengan telekung-telekung baharu yang masih dalam bungkusan lalu disusun kemas di dalam almari.

Aku cuba mendekati Haji Lahman dengan menawarkan tenaga untuk membantu dan disambut dengan baik olehnya. Dengan peluang terhidang di depan mata, aku mengambil kesempatan ini untuk bertanyakan soalan kepadanya.

“Haji, saya sangat kagum dengan sifat Haji. Haji dikenali sebagai seorang yang sangat berjaya, tidak lokek dan seolah tidak sayang dengan harta kekayaan yang diperoleh. Dengan kejayaan yang dikecapi, bolehkah Haji berkongsi resipi kejayaan dengan saya?,” soalku ingin tahu.

Tiba-tiba Haji Lahman ketawa.

“Anak bertanyakan kepada salah orang!”

“Salah orang? Apa maksud Haji?,” tanyaku keliru.

“Ya, anak berkata saya tidak sayangkan harta, sedangkan saya sangat sayang pada harta dan sangat sukakannya. Saya sangat sayangkan kesemua harta yang saya ada.” Penjelasan dari Haji Lahman membuatkan aku bertambah bingung.

“Malah, sayangnya saya kepada harta sehingga saya tidak rela meninggalkannya di dunia ini. Saya mahu membawanya bersama-sama ke dalam kubur apabila saya mati kelak!

“Saya tidak mahu berpisah dengan harta kekayaan saya. Sementara nyawa dikandung badan, saya akan mencari harta kekayaan sebanyak-banyaknya untuk dibawa ke kubur nanti. Masa hidup inilah kita kena kumpul dan simpan baik-baik semua harta yang diperoleh.

“Harta-harta yang saya ada saya ‘simpan’ pada anak yatim, pada fakir miskin, pada masjid dan surau, pada para pejuang fii sabilillah, pada sekolah-sekolah tahfiz, pada pekerja-pekerja saya, pada sahabat handai dan saudara yang menanggung sakit di hospital dan pada organisasi dakwah yang menyebarkan dakwah.

“Alhamdulillah, mereka-mereka ini sudi memikul amanah untuk ‘menyimpan’ harta kekayaan yang saya ada. Ini cukup mengembirakan saya. Apabila saya mati, saya akan dapat menikmati seluruh harta kekayaan saya itu semula. Malah, harta kekayaan itu akan bertambah berlipat kali ganda daripada sebelumnya di alam kubur dan di akhirat kelak.

“Jadi, siapa kata harta dan wang ringgit tidak boleh dibawa mati? Ternyata harta boleh dibawa mati jika kita tahu caranya.

“Caranya?

“Jangan bawa sendiri. Minta tolong orang lain untuk membawanya. Minta tolong fakir miskin, anak yatim dan orang-orang yang berjuang ke jalan-Nya bawakan untuk kita kerana kelak apabila kita mati, anak-anak dan keluarga hanya mampu membaluti tubuh kita dengan kain putih saja.”

Sambil tersenyum Haji Lahman berkata, “Anak…Bersedekah tidak mengurangkan harta. Bahkan, Rasulullah SAW bersabda, “Bersedekahlah sebahagian dari rezeki yang dikurniai Allah padamu kerana sesungguhnya sedekah itu tidak mengurangkan harta kekayaanmu, bahkan menambahkannya.” (HR Muslim)

*****

Allahu…Perjumpaan dengan Haji Lahman membuatkan aku terus bertekad untuk mengumpul harta banyak-banyak kerana aku juga ingin kaya di dalam kubur! – MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *