Home » Langit Terbuka » Sindiket nombor ekor, cemari imej agama Islam

Sindiket nombor ekor, cemari imej agama Islam

Sindiket nombor ekor, cemari imej agama Islam. Foto BERITA HARIAN

KUALA LUMPUR: Sengaja mencemarkan agama Islam dengan menyamar sebagai lelaki bergelar haji sambil menawarkan khidmat tilikan nombor ramalan kepada orang ramai.

Itu antara taktik sindiket penipuan nombor ramalan yang dikesan terus aktif mencari mangsa dengan menghantar mesej kepada orang ramai secara rambang.

Sindiket sebelum ini biasanya menggunakan kaedah menghantar risalah menawarkan khidmat sama termasuk membuang sial dengan meletakkan risalah itu ke dalam peti surat kediaman.

Terbaru muncul individu bergelar Haji Ando, yang menawarkan khidmat tilik nombor ekor dengan meletakkan syarat mangsa perlu mambayar wang mahar terlebih dahulu.

Seorang kakitangan bank, Yunos Md Alif, 32, mendakwa turut menerima ‘pelawaan’ membeli nombor ramalan itu daripada lelaki tidak dikenali minggu lalu.

Beliau berkata, lelaki yang mengaku berasal dari Indonesia itu, mendakwa memiliki kelebihan untuk menilik nombor ramalan dengan tepat.

“Saya cuba menghubungi nombor telefon yang tertera, selain menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp sebelum ‘disambut’ lelaki terbabit yang memaklumkan dia memang ada menyediakan khidmat berkenaan.

“Lelaki itu kemudian membayar wang mahar terlebih dahulu menyebabkan saya merasa ragu-ragu dan tidak meneruskan hasrat untuk menggunakan khidmatnya,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Yunos berkata, dia pernah melihat tawaran sama pada mesej WhatsApp dan status dimuat naik individu lain yang tertipu dengan lelaki berkenaan.

“Ada individu yang memaklumkan lelaki itu mendakwa kononnya boleh menilik nombor ramalan boleh menang hingga RM1 juta. Namun, selepas membuat pembayaran wang mahar yang diminta, lelaki terbabit menghilangkan diri.

“Malah, lelaki terbabit dipercayai masih aktif melakukan kegiatan itu dengan mempromosikan khidmatnya di media sosial,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Luthfi Ismail, berkata pelbagai modus operandi dikesan pihaknya digunakan sindiket penipuan nombor ramalan termasuk mengubah suai nombor ramalan bagi meyakinkan mangsa.

“Sindiket ini licik menggunakan pelbagai modus operandi bagi meyakinkan mangsa bahawa mereka benar-benar memiliki kebolehan untuk menilik nombor ramalan yang didakwa kononnya boleh menang selain mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Sebaik mangsa percaya dengan ‘kebolehan’ mereka, sindiket akan meminta mereka mengeluarkan wang ‘deposit’ dengan kadar serendah RM200 terlebih dahulu sebelum nombor ramalan diberikan.

“Dalam kebanyakan kes, mangsa hanya menyedari mereka ditipu selepas nombor ramalan diberikan tidak ‘kena’ sebelum sindiket gagal dihubungi dan menghilangkan diri,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd Luthfi menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan tawaran yang mendakwa kononnya boleh memberikan wang dalam masa singkat kerana tiada cara yang mudah untuk menjadi kaya.

“Banyak kali masyarakat diingatkan supaya berwaspada dengan penipuan yang menawarkan keuntungan dalam masa yang singkat, namun masih banyak kes direkodkan setiap hari di seluruh negara.

“Justeru, saya mahu mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam setiap tawaran yang diberikan dalam apa jua aktiviti termasuk nombor ramalan kerana tindakan itu membuka ruang kepada kita untuk menjadi mangsa,” katanya. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *