Home » Citra Yadim » Tegas didik 13 anak hingga berjaya

Tegas didik 13 anak hingga berjaya

Razali Awang dan isteri, Esah Abdullah, menerima Anugerah Keluarga Mithali 2017.

PUTRAJAYA: Hidup serba kekurangan dengan sumber pendapatan sebagai buruh, tidak menghalang Razali Awang dan isteri, Esah Abdullah, memberikan pendidikan terbaik kepada 13 anak mereka.

Bersandarkan ketinggian semangat itu, kedua-duanya ketika masih muda dan bertenaga turut melakukan pelbagai kerja lain seperti menjual kuih bakar, nasi lemak serta makanan ringan secara kecil-kecilan, demi menambah pendapatan membiayai persekolahan anak.

Berkat kegigihan dan kesabaran, akhirnya Allah SWT mengurniakan nikmat kesemua anak mereka memiliki kelulusan tinggi, termasuk ada yang menamatkan pengajian di Amerika Syarikat, Ireland, Belgium dan Jerman dalam jurusan kejuruteraan serta perubatan.

Kejayaan Razali, 72, dan Esah, 70, juga mendapat pengiktirafan apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Keluarga Mithali 2017 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), malam tadi, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000, trofi, sijil serta hadiah iringan.

Berkongsi resipi mendidik anak, Razali berasal dari Kuala Terengganu berkata, beliau seorang yang tegas dengan sentiasa menitiberatkan soal pendidikan dan menerapkan nilai keagamaan di rumah.

“Dalam mendidik anak, saya amat tegas. Malah ketika anak masih kecil, saya sendiri menyediakan jadual harian seperti masa untuk mengulang kaji pelajaran, solat, makan dan mengaji al-Quran.

“Semua anak saya mesti mematuhi jadual harian masing-masing. Jika tidak, saya akan suruh dan menasihati mereka melakukannya segera,” katanya ketika ditemui media pada majlis penganugerahan itu di sini.

Hadiah disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Razali berkata, walaupun beliau dan isteri tidak berpendidikan tinggi, mereka sangat mementingkan pelajaran setiap anak.

“Dari segi pendidikan agama seperti mengaji al-Quran, solat dan fardu ain lain, Alhamdulillah saya boleh mendidik anak.

“Namun pada masa sama, saya juga mahu mereka berjaya dalam pelajaran. Oleh itu, saya sangat tegas dengan anak. Ketegasan ini sudah menjadi pegangan hidup saya.” katanya.

Sementara itu pada majlis sama, Jamil Khir turut menyampaikan Anugerah Bapa Mithali kepada Yusuf Mohd Karim, 72, dari Muar, Johor, manakala Anugerah Ibu Mithali pula diraih Hitam Abu, 83, dari Melaka, dengan masing-masing menerima hadiah wang tunai RM40,000, trofi, sijil serta hadiah iringan.

Anugerah Pewaris Harapan diperoleh pelajar jurusan undang-undang di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Nurul Eeman Mansor, 20, yang menerima hadiah wang tunai RM30,000, trofi, sijil dan hadiah iringan. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *