Home » Langit Terbuka » Tokoh Islam dan Yahudi Iceland protes larangan berkhatan

Tokoh Islam dan Yahudi Iceland protes larangan berkhatan

Rang undang-undang larangan berkhatan bagi kanak-kanak lelaki sedang dibahaskan di Parlimen Iceland.

REYKJAVIK – Pemimpin Islam dan Yahudi mengecam keras cadangan rang undang-undang larangan berkhatan bagi kanak-kanak lelaki.

Parlimen Iceland dikatakan sedang membahaskan RUU berkenaan yang jika diluluskan akan menyebabkan sesiapa yang terlibat dalam menjalankan prosedur berkhatan bagi kanak-kanak lelaki boleh dijatuhi hukuman penjara 6 tahun.

Antara alasan yang diberikan adalah berkhatan kanak-kanak lelaki merupakan pelanggaran hak asasi kanak-kanak berkenaan.

Salah seorang Ahli Parlimen Iceland terbabit, Silja Dogg Gunnarsdottir berkata, larangan berkenaan bukan berkaitan kebebasan beragama tetapi berkaitan hak kanak-kanak.

“Setiap orang mempunyai hak untuk beragama, tetapi hak seorang kanak-kanak berada lebih atas daripada hak beragama,” katanya.

Pengurus Pusat Kebudayaan Islam Iceland, Imam Ahmad Seddeeq, bagaimanapun tidak bersependapat dengan pandangan Gunnarsdottir dengan mengatakan, bersunat merupakan sebahagian daripada keyakinan umat Islam.

“Saya yakin RUU ini bertentangan dengan kebebasan beragama,” kata Seddeeq.

Komuniti Yahudi di Iceland juga mengeluarkan kenyataan mengecam cadangan itu.

Surat terbuka yang mereka edarkan menyebut bahawa cadangan berkenaan adalah sama sahaja dengan tindakan menyerang ajaran Yahudi.

Ketua Gereja Katolik di Reykjavik, Agnes M Siguroardottir, mengingatkan jika RUU berkenaan diluluskan sebagai undang-undang, warga Muslim dan Yahudi di Iceland akan merasa dipinggirkan.

“Kita semua harus menghindari bentuk-bentuk ekstremisme seperti ini,” katanya.

Iceland akan menjadi negara pertama di Eropa yang melarang khatank kanak-kanak lelaki  jika parlimen negara itu menyetujui RUU berkenaan.

Iceland sebelum ini telah meluluskan undang-undang melarang khatan bagi anak perempuan pada 2005.

Ketika ini, semua negara di Eropah membolehkan khatan bagi kanak-kanak lelaki. – Hidayatullah.com

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *