Home » Persuasif » Tradisi perpustakaan dalam peradaban Islam

Tradisi perpustakaan dalam peradaban Islam

Perpustakaan Masjid Nabawi di Madinah, Arab Saudi.

TRADISI keilmuan peradaban Islam cukup dinamik. Ini dibuktikan dengan munculnya banyak karya di pelbagai disiplin ilmu. Ragam hasil pemikiran tersebut sebahagiannya didokumentasikan sehingga kini dalam bentuk buku cetakan ataupun digital. Terpeliharanya karya para ulama masa lalu itu tidak terlepas dari fungsi dan keberadaan perpustakaan.

Menurut John L Esposito dalam Ensiklopedia Oxford Dunia Islam Moden, perpustakaan-perpustakaan Islam pernah mengalami kejayaan. Kegemilangan yang sama perlu dicapai oleh Muslim masa kini. Kegemaran kaum Muslim belajar secara alamiah menghasilkan budaya membaca dan kegiatan pelestarian buku.

Koleksi perpustakaan pertama muncul pada tempoh pemerintahan Umayyah. Beberapa koleksi di perpustakaan itu bahkan masih terjaga sehingga sekarang. Kemajuan pengembangan ilmu pengetahuan telah mampu menghadirkan catatan berkaitan aktiviti kepustakaan dan pengumpulan buku.

Khalid bin Yazid (704 M), dikenal sebagai sasterawan dan pengumpul buku. Pada mulanya, tradisi pengumpulan dan kepustakaan itu bermula dari orang perseorangan, lembaga masjid, dan lembaga pendidikan. Institusi paling menonjol dalam soal ini adalah masjid.

Khalifah al-Manshur (775 M) adalah antara tokoh yang gigih membina perpustakaan. Beliau turut mendirikan biro terjemahan di Baghdad. Pada pemerintahan al-Ma’mun (833 M), inisiatif tersebut disempurnakan dengan terbinanya Bayt al-Hikmah yang merupakan perpustakaan pelopor pada kala itu. Bahkan, lembaga yang wujud pada 830 M itu, diisytiharkan sebagai pusat pengetahuan dunia Islam.

Kejayaan itu kemudiannya merebak ke sejumlah wilayah kekuasaan Islam. Di Kaherah, Dinasti Fatimiyah membangun Dar al-Ilmi, keturunan Bani Umayyah di Cordoba, Sepanyol mendirikan perpustakaan dengan koleksi buku sebanyak 400,000 jilid. Kegiatan penulisan juga meningkat setelah kertas mulai diperkenalkan di dunia Islam pada abad kelapan Masehi. Penggunaan kertas itu kian popular dan mewujudkan profesion baru, salah satunya warraq atau panyalur dan penyalin kertas.

Pada 987 M, Ibn Nadim, yang tersohor sebagai warraq, menulis sebuah daftar penting dengan karyanya yang berjudul al-Fihrist. Buku itu mengandungi daftar-daftar buku berdasar isi kandungannya secara umum. Kesemua buku itu adalah karya yang pernah dikendalikannya.

Selanjutnya, daftar berkenaan dikembangkan oleh cendekiawan ternama dari Istanbul, Hajj Khalifah. Beliau membuat daftar kitab-kitab klasik yang dilengkapi huraian ringkas isinya. Jumlah keluruhan buku yang didaftarkan berkenaan adalah sebanyak 14,500 judul buku.

Sayangnya, buku-buku yang ada sepanjang sejarah itu kerap menjadi sasaran kerosakan, sama ada  oleh bencana alam atau tangan manusia sendiri. Sejarah mencatatkan bahawa, tentera Mongol di Bahgdad pernah menghancurkan secara besar-besaran karya-karya Muslim ketika itu.

Pada masa penaklukan Sepanyol, terjadi pemindahan ribuan naskah buku dari dunia Islam ke perpustakaan di Barat. Paling terkenal ialah Perpustakaan England, Bibliotheque, dan Perpustakaan Nasional Perancis.

Pada abad ke-20, keadaan perpustakaan dan pustakawan agak diberikan perhatian yang mendorong pihak berkuasa sejumlah negara mendirikan perpustakaan nasional untuk menempatkan koleksi-koleksi sarjana Muslim. Seperti yang dilakukan oleh Jordan dan Mesir. Di beberapa negara, perpustakaan umum lebih diminati, seperti di Turki, Jordan, Pakistan, dan Malaysia.- Republika

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *