Home » Langit Terbuka » Unesco pilih KL sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020

Unesco pilih KL sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020

Menurut Unesco, Kuala Lumpur dipilih berikutan fokus yang kukuh terhadap pendidikan terangkum, pembangunan masyarakat berasaskan pengetahuan dan pembacaan yang boleh diakses oleh semua peringkat penduduk

KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur dinamakan Ibu Kota Buku Dunia bagi tahun 2020 oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), menerusi akaun twitter mereka hari ini.

Menurut kenyataan Unesco dalam laman sesawangnya, ibu negara Malaysia itu dipilih berikutan fokus yang kukuh terhadap pendidikan terangkum, pembangunan masyarakat berasaskan pengetahuan dan pembacaan yang boleh diakses oleh semua peringkat penduduk di bandar raya berkenaan.

Menurut kenyataan itu, permohonan bandaraya Kuala Lumpur diterima oleh sebuah Jawatankuasa Penasihat terdiri daripada wakil Persatuan Penerbit Antarabangsa (IPA), Persekutuan Persatuan Perpustakaan Antarabangsa (IFLA) dan Unesco.

Bandar raya yang dipilih sebagai Ibu Kota Buku Dunia oleh Unesco akan berusaha untuk mempromosikan buku dan pembacaan serta menganjurkan aktiviti sepanjang tahun.

Pemenang sebelum ini termasuk Madrid (2001), Alexandria (2002), New Delhi (2003), Anvers (2004), Montreal (2005), Turin (2006), Bogota (2007), Amsterdam (2008), Beirut (2009), Ljubljana (2010), Buenos Aires (2011), Erevan (2012), Bangkok (2013), Port Harcourt (2014), Incheon (2015), Wroclaw (2016), Conakry (2017), Sharjah (2019), dan Athens (2018).

Tahun sambutan akan bermula pada 23 April 2020, pada Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa slogan “KL Baca – penjagaan menerusi pembacaan”, akan memberi tumpuan kepada 4 tema: pembacaan dalam semua bentuknya; pembangunan infrastruktur industri buku; kebolehcapaian digital dan inklusif; dan pemberdayaan kanak-kanak menerusi pembacaan.

“Antara acara dan aktiviti lain termasuk pembinaan sebuah bandar buku (Kompleks Kota Buku), kempen membaca bagi penumpang kereta api, meningkatkan perkhidmatan digital dan kebolehcapaian oleh Perpustakaan Negara Malaysia bagi golongan kurang upaya, dan perkhidmatan digital baru bagi perpustakaan di 12 buah perpustakaan di kawasan perumahan miskin di Kuala Lumpur.

Program hebat bagi Ibu Kota Buku Dunia ini dihubungkan dengan Wawasan 2020 bagi Kuala Lumpur dan projek eko-bandar raya dikenali sebagai “River of Life” dengan menempatkan kedai buku dan perpustakaan terbuka berhampiran laluan air yang baru dibaik pulih di bandar raya berkenaan,” menurut kenyatan itu. – FreeMalaysiaToday

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *