PETA LAMAN  
 
 
 
 
     
 
Unit Penerbitan

PENGENALAN

UNIT PENERBITAN YADIM ditubuhkan bagi meneruskan sebahagian dari aktiviti dakwah menerusi penerbitan jurnal-jurnal dan buku-buku yang membina minda dan jiwa, serta memberi kefahaman tentang Islam dan isu-isu yang berkaitan dengannya kepada masyarakat umum.

Pada peringkat awal penubuhannya, Unit Penerbitan lebih tertumpu kepada penerbitan yang berbentuk kebajikan dan buku-buku agama. Namun semenjak Dasar Dakwah Baru dilaksanakan pada tahun 2003, unit ini telah mempelbagaikan bahan-bahan terbitannya kepada bahan-bahan bacaan yang menyentuh pelbagai isu semasa.

Bahan bercetak seperti buku, majalah dan akhbar merupakan saluran penting penyebaran maklumat serta pengembangan ilmu. Atas dasar ini, Unit Penerbitan memegang tanggungjawab menggiatkan usaha menerbitkan bahan-bahan bacaan yang dapat membangunkan pandangan hidup masyarakat Islam berlandaskan minda quranik, menghargai kemajuan dan berkeinginan untuk maju.

VISI

Menjadikan Bahagian Penerbitan YADIM sebagai penerbit yang progresif, dikenali dan berwibawa.

MISI

  • Menyediakan rangkaian penulis dan cendiakawan Islam prolifik.
  • Menerbitkan buku-buku berkualiti sama ada berbentuk keagamaan mahupun umum dan semasa, yang dapat menggerakkan pemikiran positif pembaca.
  • Menyemarakkan dunia penerbitan tempatan dengan menarik minat penulis-penulis muda melibatkan diri dalam bidang penulisan.
  • Menyampaikan berita terkini dan maklumat berguna menerusi penerbitan akhbar.
  • Memberi kupasan dan maklumat bernas tentang sesuatu topik/isu melalui artikel yang disiarkan dalam majalahnya.

OBJEKTIF

  • Memberi kefahaman Islam serta memperkembang budaya ilmu di kalangan masyarakat.
  • Meneruskan usaha dakwah dengan menerapkan nilai-nilai keislaman melalui pendekatan penulisan buku.
  • Menarik minat golongan muda Islam supaya cintakan ilmu pengetahuan menerusi bahan-bahan bacaan berkualiti.
  • Mempelbagaikan bahan bacaan informatif yang membicarakan isu-isu semasa berkaitan dengan agama Islam.
  • Memasyhurkan YADIM sebagai penerbit tempatan yang menerbitkan bahan-bahan bacaan berkualiti, sesuai untuk masyarakat semua peringkat, dari prasekolah, masyarakat awam hingga kepada golongan profesional.

SUSUNAN ORGANISASI

Dalam Rancangan Lima Tahun Kedua Dasar Dakwah Baru, unit penerbitan telah diperkembang menjadi Bahagian Penerbitan. Dengan ini, skopnya juga lebih meluas, merangkumi penerbitan akhbar dan majalah.

Bahagian ini diketuai oleh seorang Pengurus Kanan dan dibantu oleh tiga orang pengurus unit, empat orang penolong pengurus, enam wartawan, dua orang artis grafik, seorang jurugambar, seorang pembaca pruf dan seorang pembantu tadbir.

Bahagian ini dibahagikan kepada tiga unit iaitu:

  1. Unit Penerbitan Buku
  2. Unit Penerbitan Majalah
  3. Unit Penerbitan Akhbar

Bahagian ini bertindak mengenalpasti permintaan pasaran terhadap bahan bacaan di Malaysia berdasarkan kepada kehendak dan citarasa masyarakat. Maka tidak hairan, buku-buku yang diterbitkan oleh YADIM setakat ini memenuhi keperluan dan mendapat sambutan menggalakkan. Bahan terbitan YADIM kini mempunyai pelanggan tetap terutama dari golongan menengah dan pelajar institut pengajian tinggi.

Bahagian Penerbitan YADIM juga giat menerbitkan bahan bacaan untuk kanak-kanak bermula dari peringkat prasekolah sehingga sekolah rendah. Buku-buku ini bertujuan menyemai moral positif dan nilai-nilai murni di kalangan kanak-kanak sambil memahirkan mereka dengan tulisan dan bacaan Jawi. Pelbagai buku motivasi, teladan dan panduan telah dipasarkan. Kandungannya disediakan oleh penulis-penulis berpengalaman, dengan dibantu ilustrasi-ilustrasi yang menarik. Ini dapat menarik kanak-kanak agar suka mendampingi buku dan seterusnya mencintai ilmu.

Selain dari fokus menerbitkan bahan-bahan bacaan, Bahagian Penerbitan YADIM juga menyediakan beberapa perkhidmatan bagi memenuhi keperluan dan permintaan pelanggan. Antaranya:

  • Perkhidmatan penyuntingan manuskrip
  • Pruf
  • Terjemahan
  • Susun atur
  • Menganjurkan bengkel-bengkel penulisan dan penerbitan

STRATEGI PENERBITAN BUKU

  • Merancang penubuhan satu jawatankuasa yang terdiri daripada para penulis serta cendekiawan Islam bagi menerbitkan buku-buku yang berkualiti.
  • Mendapatkan bahan-bahan (sama ada buku, risalah,majalah) yang berpotensi untuk diterbitkan sebagai bahan bacaan bermutu.
  • Menapis/menilai dan menyunting bahan-bahan tersebut sebelum diterbitkan untuk jualan.
  • Menguruskan hal-hal percetakan dengan syarikat-syarikat percetakan yang memenuhi syarat-syarat yang digariskan oleh pihak YADIM.
  • Memesan dan mengedar bahan-bahan terbitan menerusi pengedar-pengedar yang cekap dan dipercayai.
  • Bekerjasama rapat dengan pihak media.