Teks Ucapan Senator Mejar Jeneral Datuk Seri Jamil Khir Bin Haji Baharom (B) Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Merangkap Yang Dipertua YADIM Di Majlis Sambutan Maulidur Rasul S.A.W Peringkat Kebangsaan 1431/2010M 26 Februari 2009 (Jumaat) Dewan Solat Utama, Masjid Putra, Putrajaya.
1. Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak,
Perdana Menteri Malaysia
Dan Yang Amat Berbahagia Datin Seri Rosmah Mansor,
2. Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyidin bin Yasin,
2. Timbalan Perdana Menteri Malaysia
3. Yang Berhormat Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-timbalan Menteri,
4. Yang Berbahagia Tan Sri-Tan Sri, Puan Sri-Puan Sri, Datuk-Datuk, Datin-Datin, seterusnya hadirin hadirat yang dihormati sekalian,
1. Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita dapat sama-sama berada di sini, demi mengingatkan diri kita kepada satu peristiwa yang agung. Peristiwa kelahiran seorang insan pilihan yang berperibadi agung, iaitu junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. Setiap lontaran kalimah selawat yang kita ucapkan, setiap derap langkah yang kita gerakkan, setiap tarik dan hembus nafas kita, segalanya kita lakukan dengan penuh cinta kepada baginda junjungan.
2. Ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad S.A.W pada 12 Rabiul Awal sentiasa diraikan sebagai tanda kasih dan sayang umat Islam terhadap insan istimewa pilihan Allah yang menjadi pemimpin agung manusia seluruhnya. Kelahiran Nabi Muhammad S.A.W adalah rahmat bagi sekalian alam seperti maksud firman Allah S.W.T dalam surah Al-Anbiya’ ayat 107:
Bermaksud: “Dan tiadalah kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”
3. Rasulullah S.A.W merupakan sumber rahmat. Allah S.W.T menyatakan bahawa baginda Rasulullah S.A.W merupakan satu rahmat. Rahmat bukan untuk satu alam, bukan untuk dua alam, bahkan Allah menyatakan dengan ungkapan ‘aalamiin’, yakni alam-alam. Di sini, kalimah alam, diungkapkan dengan kata jamak atau plural. Bukan satu alam, akan tetapi untuk menjadi rahmat kepada pelbagai alam. Alam dunia, alam Barzakh, alam Mahsyar, alam Yaumul-Hisaab, alam Mizan dan juga alam Titian Sirat. Inilah tokohnya, yang saban tahun kita sambut dan memperingati hari kelahiran baginda dengan penuh cinta. Penuh rasa rindu. Penuh rasa takzim.
4. Bagaimanapun, segala rahmat serta keindahan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W ini tidak dapat dirasai, sehinggalah kita benar-benar berusaha untuk memahami, mentaati serta melaksanakan apa yang telah digariskan oleh Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W. Komitmen inilah yang akan menentukan mulia atau hina, berjaya atau gagalnya kita di sisi Allah S.W.T.
5. Pada kesempatan pagi yang penuh barakah ini, saya mengajak umat Islam di negara ini untuk bekerja keras mengatasi suatu penyakit dalaman yang masih membelenggu. Di sana sini masih wujud perbezaan pendapat sehingga kita tidak dapat bersepakat dalam isu yang patut kita bersatu. Fenomena begini amat merugikan umat Islam, kerana kita akan menjadi lemah dan mudah dipermainkan oleh pihak lain.
6. Kita perlu mempertajamkan daya nalar, memperteguhkan agenda serta menyusun saf dan rangkaian perjuangan ummah. Dengan itu kita dapat mempertingkatkan daya analisis, keupayaan mencongak ke hadapan serta kesiagaan menghadapi cabaran. Rempuhan pemikiran songsang, arus kebejatan moral serta longlainya ikatan ukhuwah ummah, merupakan cabaran masa kini yang perlu kita tangani dan hadapi.
7. Sehingga kini umat Islam masih belum dapat menyatukan fikrah, hadaf dan amal demi untuk mengekal kemurnian Islam. Kita kini lebih suka berpecah dan dipecahkan kepada kelompok dan ideologi masing-masing. Lebih mendukacitakan apabila kepentingan peribadi mendahului agenda perjuangan, berterusan mempolitikkan semua isu agama, terus melarat sehingga menjadi pergeseran emosional yang mencairkan kemantapan ukhuwah dan memecahkan kekuatan ummah.
8. Sesungguhnya penglibatan umat Islam dalam amalan berpolitik secara kepartian memerlukan kebijaksanaan, kematangan serta pendewasaan agar kita tahu batas sempadan sesuatu perbezaan. Kita hendaklah bersatu merangka tindakan untuk mempertahankan kepentingan umat Islam seluruhnya berbanding dengan kepentingan kelompok politik masing-masing. Marilah kita memantapkan ukhuwah dan bersepakat apabila bertindak dalam isu yang melibatkan kepentingan Islam.
9. Ke arah ini, beberapa gerak kerja harus diatur oleh masyarakat Islam untuk tujuan kemajuan dan kemuliaan Islam dengan pelbagai kaedah dan cara seperti:
a) Berterusan memantapkan ilmu pengetahuan berteraskan konsep Iqra’
b) Memperkasakan ekonomi dengan semangat hadis junjungan: “Bekerjalah kamu seolah-olah kamu akan hidup selamanya dan beribadahlah kamu seperti kamu akan mati esok.” Dan dalam masa yang sama menjaga keseimbangan sebagaimana saranan Al-Quran:
(Dan tuntutlah dengan apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia) [Al-Qasas]
c) Memartabat moral contohnya ke arah melahirkan “Ummatan Wasatan” sebagaimana firman Allah S.W.T : Bermaksud: (Dan demikian (pula) kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu) [Al-Baqarah 2:143]
d) Mencorak politik yang murni dan memperteguh syariat Islam agar sentiasa berada di mercu keagungan.
Masyarakat Islam pada hakikatnya aset dan sumber kekuatan yang perlu digerakkan dan dimanfaatkan secara maksimum demi kemuliaan dan kemajuan umat.
10. Bertepatan dengan tema sambutan Maulidur Rasul S.A.W pada kali ini “Memantapkan Ukhuwah, Memperkasa Ummah”, masyarakat Islam harus memahami bahawa umat Islam yang bersatu padu akan melahirkan umat yang berjaya. Perpaduan yang kukuh perlu dibentuk bukan sahaja di kalangan sesama umat Islam, tetapi juga dalam kalangan umat bukan Islam. Segala unsur yang boleh membawa kepada perpecahan perlu dielakkan. Sifat tolak ansur perlu dititik beratkan agar menjamin sebuah negara yang aman dan maju. Inilah asas yang dibentuk oleh Rasulullah S.A.W sehingga berjaya menyatupadukan penduduk di Kota Makkah dan Madinah yang terdiri dari pelbagai kaum, kabilah serta agama yang berlainan.
11. Saya ingin menarik perhatian hadirin, bahawa sambutan Maulidur Rasul S.A.W bukan sekadar memperingati kisah perjalanan sirah nabawi terutama mengenai pahit maung yang dihadapi oleh Rasulullah S.A.W dalam menyebarkan dakwah Islam. Tetapi yang lebih penting kita harus menghayati, mencontohi serta mengaplikasikan segala nilai mulia yang dibawa oleh Rasul S.A.W. Umat Islam hendaklah berpegang kepada ajaran Islam secara keseluruhannya. Jika kita merealisasikan Islam sebagai Ad-Din - sebagai satu cara hidup- maka umat Islam akan mencapai kebahagiaan seperti pada zaman kegemilangan umat Islam terdahulu.
12. Oleh itu, kita perlu sedar dan insaf sambutan yang kita raikan mestilah selari dengan apa yang diucapkan, jangan kita bersungguh-sungguh memuji akhlak Rasulullah S.A.W tetapi akhlak kita terbiar sehingga semakin hari semakin liar, tidak terkawal dan terlalu mementingkan tuntutan nafsu sehingga terabai tuntutan agama. Sudah tiba masanya, umat Islam bersatu padu. Inilah intipati yang penting pada hari ini untuk diingati dan disimpan dalam hati sanubari setiap umat Islam. Dengan bersatu hati, bersatu fikiran dan bersatu matlamat, umat Islam akan hidup dalam aman, sejahtera dan maju dalam segala bidang yang diceburi selari dengan panduan hidup yang telah ditetapkan oleh Al-Quran dan As-Sunnah.
13. Semoga sambutan Maulidur Rasul S.A.W Peringkat Kebangsaan bagi tahun 1431 Hijri bersamaan 2010 Masihi ini mampu mengukuh dan mengeratkan silaturrahim serta dapat melonjakkan usaha di dalam pelbagai bidang, bagi memperkasa umat Islam di negara ini, sesuai dengan kesyumulan ajaran Islam itu sendiri.
14. Saya mengambil kesempatan mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Majlis Sambutan Maulidur Rasul S.A.W pada kali ini. Semoga segala kerjasama dan sumbangan yang diberikan ke arah meninggikan syiar Islam mudah-mudahan dirahmati dan diberkati Allah S.W.T.
Ampun Tuanku,
Demikianlah sembah ucapan patik.
|