Home » Citra Yadim » 15 Sukarelawan YADIM Penjara Dusun Dato’ Murad sertai kempen kibar jalur gemilang di Tehel

15 Sukarelawan YADIM Penjara Dusun Dato’ Murad sertai kempen kibar jalur gemilang di Tehel

BEMBAN – Bertempat di flat Projek Perumahan Rakyat Tehel di sini, telah berlangsung Program Gotong Royong Perdana & Kempen Kibarkan Jalur Gemilang pada 22 Ogos.

Program yang diadakan sempena sambutan hari kemerdekaan ini turut disertai seramai 15 Sukarelawan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Penjara Dusun Dato’ Murad, yang merupakan Orang Yang Diparol (ODP) di instusi berkenaan.

Ia merupakan salah satu pengisian dalam modul/aktiviti pemulihan mereka.

Mereka menyertai kira kira 210 orang peserta terdiri daripada penduduk, wakil Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Sekretariat Muafakat Komuniti dan pegawai Parol Negeri Melaka dalam pelbagai acara yang diatur.

Antaranya termasuklah mengecat dinding flat, membersihkan surau dan kawasan sekitar PPR serta memasang bendera.

Selesai aktiviti pembersihan, para ODP diberikan tazkirah ringkas dan perkongsian ibrah yang disampaikan oleh Pegawai Kaunseling dan Agama Penjara Dusun Dato’ Murad, Ustaz Muhammad Sufian Talib dan  Penyelaras YADIM Melaka, Muzafar Abd Rahim.

Program dirasmikan oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Kesejahteraan Bandar Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan, Y.Bhg. Dato’ Muhammad Musa.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Rambai merangkap Penyelaras Japerun Dewan Undangan Negeri Bemban,
Yang Berhormat Datuk Hasan Abd Rahman, Yang Dipertua MPHTJ
YBhg. Tuan Shadan bin Othman dan
Pengerusi PPR Tehel, Rashidi Bahari.

YADIM dan Penjara Dusun Dato’ Murad, Ayer Keroh telah lama menjalin kerjasama dalam pelbagai bidang terutama khidmat masyarakat.

Antaranya ialah projek menyantuni warga emas di Kampung Ladang, Semabok, Program Cuci Cuci di Ayer Keroh dan sebagainya.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *