Home » Langit Terbuka » 1,774 artifak ditemukan di tapak arkeologi Madinah

1,774 artifak ditemukan di tapak arkeologi Madinah

Antara artifak yang ditemui di wilayah Madinah. - Foto X/@MOCHeritage

RIYADH: Suruhanjaya Warisan Arab Saudi merekodkan 1,774 penemuan artifak arkeologi yang membuktikan kewujudan tamadun silam menjangkau sejak era perkembangan negara Islam, lapor Arab News.

Arkeologi itu ditemukan di tiga kawasan di Al-Suwayriqiyah, Al-Muwayhiyah dan Hadhah selepas tamat musim kedua kerja-kerja tinjauan arkeologi di daerah Al-Mahd di wilayah Madinah.

Tinjauan itu merekodkan 156 tapak arkeologi baharu, menghasilkan penemuan 461 inskripsi Islam, 34 inskripsi Thamudik, 1,259 panel seni batu, 11 struktur batu, tiga istana bersejarah, dua laluan kafilah dan empat telaga.

Antara penemuan paling penting ialah inskripsi batu memaparkan nama Omar ibn Al-Khattab selain puisi Arab yang diukir pada permukaan batu sekali gus meningkatkan nilai budaya dan sejarah tapak terbabit.

Suruhanjaya itu menegaskan komitmennya untuk meneruskan program tinjauan dan pendokumentasian di seluruh negara bagi menyokong objektif Wawasan Arab Saudi 2030 dalam memelihara warisan budaya kerajaan berkenaan.

Minggu lalu, suruhanjaya itu turut menamatkan musim pertama misi saintifik bersama dengan University of Exeter, England, di tapak purba Miqat Al-Juhfah.

Dalam misi itu, lebih 1,700 artifak ditemukan yang mengesahkan kepentingan lokasi terbabit di sepanjang laluan haji dari Mesir.

Penemuan itu termasuk pelbagai serpihan barangan kegunaan harian, enam relau tembikar, sebuah saluran air yang dipercayai digunakan oleh jemaah haji dan pengembara, serta 13 batu nisan berasal dari zaman Umawiyah dan Abbasiyah.

Sebahagian daripada artifak yang ditemukan berasal dari wilayah Syam, Mesir dan Habsyah, mencerminkan kepelbagaian asal-usul jemaah yang pernah melalui miqat itu.

Miqat Al-Juhfah terletak kira-kira 187 kilometer di barat laut Makkah dan sudah berfungsi sebagai miqat yang diiktiraf sejak awal era Islam serta dikaitkan dengan peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW.

Lokasi itu dipercayai mencapai kemuncaknya pada abad kedua Hijrah dengan kemudahan air dan kedai-kedai yang suatu ketika dahulu melayani keperluan jemaah haji. AGENSI –

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *