Home » Langit Terbuka » 189 jemaah tabligh Malaysia terkandas di India dalam situasi kritikal, kata Menteri

189 jemaah tabligh Malaysia terkandas di India dalam situasi kritikal, kata Menteri

Daripada keseluruhan jumlah, seramai 125 jemaah tabligh di New Delhi sudah menjalani proses perundangan dan dibebaskan daripada pertuduhan pada 9 dan 10 Julai lalu. - Foto MMKTT

KUALA LUMPUR – Menteri Luar, Hishammuddin Hussein berkata 189 jemaah tabligh yang masih terkandas di India kini dalam keadaan kritikal kerana ada yang ditahan atas dakwaan menyalahgunakan visa mereka bagi tujuan keagamaan.

Katanya, daripada jumlah itu, 157 orang berada di New Delhi, Chennai (23) dan Mumbai (9).

“Semua jemaah tabligh ini terkandas di India sejak negara tersebut melaksanakan penguatkuasaan peraturan bagi mengekang penularan Covid-19 bermula Mac lalu.

“Kebanyakan jemaah tabligh ini ditahan atas tuduhan menyalahgunakan visa lawatan sosial,” katanya dalam sidang media di Parlimen pada 15 Julai.

Setakat hari ini, beliau berkata, 125 jemaah tabligh di New Delhi sudah menjalani proses perundangan dan dibebaskan daripada pertuduhan pada 9 dan 10 Julai lalu.

“Kita sedang menyelaras usaha membawa pulang semua jemaah tabligh itu menerusi sebuah pesawat sewaan khas pada 17 Julai ini.

“Jumlah jemaah yang dijangka dibawa pulang menerusi pesawat ini seramai 136 orang, termasuk 9 di Kolkata dan 2 di Sahranpur.”

Hishammuddin berkata, baki 52 jemaah tabligh Malaysia masih menjalani proses perundangan dan seorang lagi jemaah yang berada di Amravathi, dibebaskan daripada sebarang pertuduhan.

Katanya, kumpulan yang dikategorikan dalam situasi kritikal itu ialah rakyat yang berada di luar negara untuk lawatan jangka pendek, seperti melancong, lawatan perniagaan, khidmat profesional, melawat ahli keluarga atau keagamaan dan urusan lain.

Beliau berkata, keseluruhan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara ketika ini seramai 317 orang di 37 negara, manakala Wisma Putra mengenal pasti 10,159 warganegara berpotensi terkandas di serata dunia.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 9,270 orang terdiri daripada pelajar tahun akhir. – FreeMalaysiaToday

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *