MELAKA: Lebih 200 pemimpin agama, ahli akademik, pembuat dasar, wakil belia dan masyarakat sivil tempatan serta luar negara berkongsi pandangan dalam usaha memperkukuhkan persefahaman penganut antara agama selain mencapai keamanan sosial menerusi Persidangan Keamanan Penganut Antara Agama Antarabangsa (IIPC) 2026 di sini, semalam.
Persidangan bertemakan ‘Melaka dan Malaysia sebagai Pusat Pertemuan Agama, Budaya, Kepelbagaian dan Keharmonian ke Arah Pembinaan Negara Kohesif’ itu anjuran Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan Malaysia (ACCIN) dengan kerjasama Doha International Centre for Interfaith Dialogue (DICID) dan Kementerian Perpaduan Negara.
Persidangan memasuki siri kelima itu dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Rustam.
Yang turut hadir, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ACCIN, Ir Mohd Jamaludin Shamsudin, yang juga Pengerusi Persidangan IIPC 2026.
Selain itu, Ahli Lembaga Pengasas Pusat Dialog Antara Agama Antarabangsa Doha, Profesor Dr Hamed Abdulaziz Al-Marwani; Wakil Khas Menteri Luar Negeri bagi Pembangunan Keamanan, Pendamaian dan Memerangi Islamofobia yang juga Pengarah Pengasas Bait Al Amanah, Datuk Dr Abdul Razak Ahmad dan Pengarah Liga Dunia Islam Malaysia, Dr Muhammad Gharawi.
Mohd Jamaludin berkata, pemilihan tema dan lokasi persidangan adalah bertepatan dalam situasi dunia yang semakin saling berhubungan tetapi dalam masa yang sama berdepan dengan perpecahan serta konflik berpanjangan.
Katanya, sejarah Melaka yang unik sebagai titik pertemuan tamadun selama lebih enam abad lalu membentuk negeri ini sebagai sebuah masyarakat yang kaya dengan kepelbagaian agama dan budaya serta masih diwarisi sehingga hari ini.
“Warisan ini bukan hanya kebanggaan Melaka. Ia adalah hadiah Malaysia kepada dunia. Melaka bukan sekadar pernah menjadi persimpangan sejarah dan perdagangan dunia, tetapi bukti bahawa kepelbagaian agama, budaya dan tamadun mampu membuat masyarakatnya hidup bersama dalam keharmonian.
“Atas semangat itu, IIPC 2026 mengangkat Melaka sebagai titik pertemuan agama, budaya dan tamadun, sekali gus memperkukuh peranan Malaysia dalam mempromosikan dialog antara agama, persefahaman dan pembinaan keamanan di peringkat antarabangsa,” katanya dalam ucapan aluan persidangan berkenaan.
Seramai 20 pembentang dan panelis antarabangsa membabitkan pemimpin agama, tokoh keamanan, ahli akademik serta wakil kerajaan termasuk dari Qatar, Australia, Sri Lanka, Singapura dan negara-negara ASEAN berkongsi pandangan di persidangan berkenaan.
Beliau berkata, penganjuran IIPC 2026 mengharapkan bahawa dialog antara agama tidak seharusnya terhenti sebagai perbincangan akademik atau persidangan semata-mata.
Sebaliknya, ia perlu menjadi platform membina kepercayaan, menghapuskan prasangka, memperkukuh hubungan antara komuniti dan melahirkan kerjasama praktikal dalam menangani cabaran bersama manusia sejagat.
IPPC pertama kali diadakan di Kuala Lumpur pada tahun 2022 dengan memberi tumpuan kepada nilai belas ihsan dalam hubungan antara masyarakat yang berbeza agama dan etnik. Persidangan juga menekankan kepentingan dialog yang berterusan dalam membina keamanan, persefahaman dan keharmonian dalam kalangan komuniti beragama.
Buat pertama kalinya pada tahun lalu, IPPC diadakan di luar Kuala Lumpur dengan Pulau Pinang menjadi tuan rumah persidangan berkenaan.
Kini memasuki tahun kelima berturut-turut, IIPC 2026 meneruskan komitmen ini dengan menyediakan platform kepada masyarakat daripada pelbagai agama dan latar belakang untuk bersama-sama berkongsi pengalaman serta meneroka pendekatan praktikal bagi memperkukuh kehidupan bersama secara aman.



KOMEN