Home » Langit Terbuka » 27 Judul Buku Baharu Agensi Agama Dilancarkan Di PBAKL 2026

27 Judul Buku Baharu Agensi Agama Dilancarkan Di PBAKL 2026

KUALA LUMPUR – Sebanyak 27 judul buku baharu terbitan agensi-agensi Hal Ehwal Agama telah dilancarkan sempena Majlis Perasmian Pavilion Baitul Hikmah MADANI di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 pada 3 Jun.

Majlis peluncuran tersebut telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dr. Haji Zulkifli Hasan. Langkah ini membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh budaya ilmu, memperkasa wacana Islam, serta memperluas akses masyarakat kepada bahan bacaan berkualiti berteraskan nilai adab dan kefahaman Islam.

Kesemua 27 judul buku baharu yang dihimpunkan daripada pelbagai agensi Hal Ehwal Agama ini merangkumi bidang dakwah, pendidikan Islam, penyelidikan, pemikiran semasa, pembangunan masyarakat, dan pengukuhan institusi Islam. Inisiatif tersebut selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan insan serta pembinaan masyarakat berdaya fikir.

Cadangan Penubuhan Majlis Penerbitan Buku Agama
Ketika merasmikan pavilion berkenaan, Senator Dr. Zulkifli turut menyentuh tentang cadangan penubuhan Majlis Penerbitan Buku Agama sebagai platform penyelarasan strategik di peringkat nasional.

Penubuhan majlis ini dinilai penting bagi memperkukuh kerjasama antara agensi, menyusun perancangan, mengoptimumkan sumber, serta mengelakkan pertindihan kandungan antara institusi agama negara. Langkah ini juga mampu mewujudkan ekosistem penerbitan yang lebih tersusun, berimpak tinggi, dan responsif terhadap keperluan semasa masyarakat.

YADIM Agensi Peneraju Pavilion
Membawa tema “MADANI: Ilmu dan Adab”, Pavilion Baitul Hikmah MADANI menjadi simbol kesatuan gerak kerja dalam menyebarluaskan ilmu, program intelektual, serta inisiatif pengembangan minda masyarakat. Bagi tahun ini, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) telah dihasratkan sebagai agensi peneraju utama pavilion berkenaan.

Turut hadir ke majlis perasmian tersebut ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Puan Marhamah Rosli; Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr. Hasan Bahrom; Timbalan Yang Dipertua YADIM, Profesor Madya Dr. Adi Anuar Azmin; Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Ustaz Zamri Zainal Abidin; Pengerusi Pengelola PBAKL 2026, Haji Mohd Khair Ngadiron, serta ketua-ketua agensi Hal Ehwal Agama yang lain.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *