Home » Naratif Al-Ghazali » 3 Tingkatan Puasa

3 Tingkatan Puasa

Imam Ghazali RA dalam kitab Ihya Ulumuddin telah mengkategorikan puasa kepada 3 peringkat iaitu:

1. As-Saumul umum – puasa umum.
2. As-Saumul khusus – puasa khusus.
3. As-Saumul khususul khusus – puasa khusus segala khusus.

 

1. Assaumul Umum – Puasa Umum

Puasa umum ialah puasa orang awam iaitu cara berpuasa kebanyakan orang ramai pada zaman ini atau puasa orang mukmin yang ‘asi (derhaka) terhadap segala titah perintah Allah s.w.t. Cara berpuasa golongan ini adalah yang paling mudah. Hanya memenuhi syarat berpuasa sahaja. Mereka hanya mengelak diri daripada makan minum dan menyetubuhi isterinya pada siang hari, sejak dari fajar hingga tenggelam matahari. Anggota badan, masih tidak dapat menghindarkan diri daripada terlibat dengan maksiat zahir dan maksiat batin. Mereka masih leka mendengar lagu-lagu yang membuang masa dan melalaikan. Matanya masih keranjang dan seronok melihat benda-benda lucah yang diharamkan. Kaki masih melangkah ke tempat maksiat. Lidahnya masih seronok mengumpat, memfitnah dan seronok menceritakan perkara yang tidak berfaedah.

Umumnya, puasa awam adalah tahap puasa orang yang anggota zahir dan batinnya tidak berpuasa. Puasa seperti ini tidak dapat membentuk peribadi walaupun selepas sebulan berpuasa, Sifat-sifat mazmumah tetap bersarang di hati. Akhlak masih keras dan kasar. Puasanya tidak berupaya mengubah dirinya menjadi bertambah tawaduk, sabar, tidak berdendam, belas kasihan, bertimbang rasa dan sebagainya. Kejahatan nafsu dan syaitan tidak dapat dikekang malahan bertambah teruk. Contohnya, sewaktu berbuka puasa, hidangannya bertambah dengan pelbagai jenis lauk pauk dibandingkan dengan hidangan makanan di bulan selain Ramadan.

Kesan hikmah yang diperolehi juga kurang dan mereka tidak akan mendapat ganjaran pahala sabar yang besar daripada Allah s.w.t. Mereka inilah yang tergolong dalam sabda Rasulullah:

Ertinya:
كَمْ مِنْ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلاَّ الْجُوْعِ وَالْعَطَشِ
“Berapa ramai orang yang berpuasa tapi tidak mendapat apa-apa melainkan mendapat lapar dan dahaga.

 

2. As-Saumul Khusus – Puasa Khusus

Puasa khusus adalah puasa orang soleh atau golongan
abrar iaitu orang yang berbakti kepada Allah. Mereka juga dikenali sebagai golongan al-Muflihun atau al-Faizun. Dalam Al-Quran disebut Ashabul Yamin iaitu orang yang mendapat suratan amalan sebelah kanan di akhirat kelak.

Mereka ini adalah orang yang memiliki iman ‘Ayan. Tahap puasa golongan ini adalah lebih tinggi daripada puasa orang awam. Mereka berjaya mengekang seluruh anggota zahir dan batinnya daripada melakukan dosa, cuma tidak dapat menahan hatinya daripada mengingat kepada perkara-perkara dunia yang halal dan harus sahaja. Contohnya ialah teringat untuk berseronok dengan isteri di siang hari dan memikirkan makanan yang lazat untuk berbuka. Walau bagaimanapun perbuatan ini tidak menjatuhkannya kepada dosa tetapi hanya dianggap sebagai ‘khilaful aula’ iaitu menyalahi utama. Tetapi pada golongan mugarrabin, ia dianggap sebagai satu dosa dan tidak mendatangkan pahala.

 

3. As-Saumul Khususul Khusus – Puasa Khusus Segala Khusus

Ini adalah puasa golongan muqarrabin iaitu orang yang terlalu hampir dengan Allah s.w.t. Jiwa mereka terlalu bersih zahir dan batin serta imannya cukup kuat. Para rasul, nabi dan golongan aulia’ adalah di antara yang termasuk ke dalam golongan ini.

Mereka bukan sahaja berpuasa zahir dan batin, tetapi turut berpuasa daripada mengingati dunia yang halal dan harus. Hatinya tenggelam dalam cinta dan kasih kepada Allah sepanjang masa. Berdasarkan kepada tiga tingkatan puasa ini, dapatlah seseorang itu mengukur sejauh mana keberkesanan puasa yang dilakukannya di sepanjang bulan Ramadan itu. Adakah ia berpuasa sekadar menanggung lapar dan dahaga sahaja walaupun sudah lebih 10 tahun berpuasa?

Sesetengahnya mungkin lebih daripada itu. Berdasarkan ukuran umur baligh dirinya. Adakah puasa yang dilakukan itu dapat membentuk akhlak dan peribadi yang mulia? Kalau akhlak dan peribadi meningkat, bermakna di dunia lagi dia sudah mendapat ganjaran daripada Allah s.w.t.

Namun begitu, secara umum, tahap puasa kebanyakan umat Islam hari ini, bertaraf puasa awam. Bahkan sesetengah orang alim pun taraf puasanya masih taraf umum. Oleh kerana peningkatan puasa bukan diukur dari segi kealiman dan keilmuan seseorang itu tetapi atas dasar takwanya kepada Allah s.w.t. Sebab itu, tidak mustahil berlaku orang yang tidak alim tetapi ketakwaannya telah mengatasi orang yang alim.

Cara lain untuk mengukur keberkesanan puasa dengan melihat segala tindakan atau peribadi selepas bulan Ramadan. Adakah dengan berlalunya bulan Ramadan itu, akhlak, jiwa, akal dan hatinya semakin bertambah baik atau semakin buruk atau sama saja dengan bulan sebelum datangnya Ramadan? Jika ibadah puasa tidak memberi kesan baik kepada peribadi seseorang itu, bermakna latihan sepanjang bulan Ramadan itu telah gagal.

Oleh yang demikian, hendaklah seseorang itu berikhtiar dan berusaha untuk membaiki dan menjaga mutu ibadah puasa mereka. Walaupun sukar dan susah hendak dipertahankan terutama pada akhir zaman ini tetapi kesungguhan bermujahadah perlu dipertingkatkan. Susah payah bermujahadah itu, ada nilaian di sisi Allah s.w.t.

Firman-Nya:

قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّىٰهَا (٦) وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّنَهَا

Ertinya:
“Sesungguhnya mendapat kemenanganlah orang yang membersihkan jiwanya. Dan rugilah siapa yang mengotori nafsu dan hatinya.” (Asy-Syams: 9-10)

Artikel Berkaitan

Diyat sebagai instrumen keadilan syariah

Diyat merupakan satu bentuk pampasan kewangan dalam sistem perundangan Islam yang diberikan kepada waris mangsa sebagai ganti rugi atas kehilangan nyawa atau

Ujian di bulan Ramadan

Ramadan ialah bulan ujian dan latihan perang melawan nafsu. Ujiannya memang berat dan payah sekali. Daripada keseluruhan umat Islam yang menyertainya, barangkali

5 sebab pentingnya berjemaah

Mengerjakan solat fardu lima kali sehari semalam merupakan salah satu rukun Islam dan diumpamakan sebagai tiang agama. Jika roboh tiang itu, maka

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *