PASIR MAS, 4 Jun – Seramai 80 pelajar Tingkatan Enam daripada beberapa buah sekolah di sekitar daerah ini menyertai Bengkel Kecemerlangan Akademik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) MADANI di Dewan Besar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ibrahim (1), baru-baru ini.
Program ini merupakan anjuran bersama Jawatankuasa Pelajar Tingkatan Enam dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Kelantan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Mas, serta Majlis Gabungan Belia Kelantan (Pasir Mas).
Penganjurannya bertujuan untuk memperkasakan kecemerlangan akademik, selain meningkatkan motivasi para pelajar dalam menghadapi peperiksaan STPM.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Penolong Pengarah YADIM Kelantan, Daie Muda YADIM Muhammad Nur Iqbal Mohd Shafie.
Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan kesungguhan, disiplin, dan pengurusan masa yang berkesan sebagai kunci utama buat pelajar untuk mencapai kejayaan akademik yang cemerlang.
Turut menyampaikan ucapan pada majlis tersebut ialah Pengerusi Majlis Belia Jajahan Pasir Mas, Encik Nik Ikhwan Haqim.
Selain itu, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Pengurusan Sekolah) PPD Pasir Mas, Encik Mohd Rozi Mat Nor, turut hadir menyampaikan amanat serta galakan kepada para peserta supaya terus mengekalkan kecemerlangan dalam bidang akademik dan sahsiah diri.
Bengkel ini diharapkan dapat menjadi platform berkesan untuk membantu pelajar meningkatkan prestasi, membina keyakinan diri, dan membuat persediaan mantap bagi menghadapi STPM, selaras dengan aspirasi melahirkan generasi yang berilmu, berdaya saing, serta berakhlak mulia.



KOMEN