Home » Langit Terbuka » Abim sokong gesaan Tun M terhadap Myanmar

Abim sokong gesaan Tun M terhadap Myanmar

Abim menegaskan bahawa tragedi kemanusiaan yang berlaku di Arakan hanya boleh diselesaikan jika hak etnik Rohingya sebagai warganegara diiktiraf oleh kerajaan Myanmar. - Foto Abim

SHAH ALAM – Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menyokong gesaan kerajaan menerusi kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya Myanmar mengembalikan kerakyatan etnik Rohingya yang telah dinafikan sebelum ini.

Naib Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Shamsudin berkata, ini kerana krisis kemanusiaan membabitkan etnik Rohingya telah lama berlarutan tanpa sebarang penyelesaian tuntas.

“Kami menegaskan bahawa tragedi kemanusiaan yang berlaku di Arakan hanya boleh diselesaikan jika hak etnik Rohingya sebagai warganegara diiktiraf oleh kerajaan Myanmar.

“Pengiktirafan kewarganegaraan ini membolehkan etnik mendapat hak serta layanan saksama berasaskan kepada prinsip kemanusiaan sejagat.

“Hak kewarganegaraan ini penting untuk membolehkan etnik mendapat akses dalam sistem politik dan sosio-ekonomi negara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini (30 Julai).

Dr Mahathir sebelum ini berkata, etnik minoriti Islam Rohingya seharusnya dilayan sebagai rakyat Myanmar atau diberikan wilayah sendiri untuk membentuk negeri.

Mengulas lanjut, Ahmad Fahmi berkata, pihaknya berpendapat advokasi memperjuangkan kepentingan etnik Rohingya harus dianjakkan ke paradigma baru.

“Ia boleh dilaksanakan dengan melakukan gesaan dan tindakan yang lebih lantang daripada masyarakat antarabangsa khususnya kalangan negara serta komuniti Asean agar isu ini dapat diselesaikan dengan tuntas,” katanya. – Sinar Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *