Home » Analitis » Apabila kedudukan tercabar sanggup lakukan apa sahaja

Apabila kedudukan tercabar sanggup lakukan apa sahaja

PATRICIA Evans yang menulis buku The Abusive Relationships (1978) memberikan gambaran: “Jika engkau tidak sukakan seseorang, cara orang itu mengangkat sendok pun akan membuatkan engkau tersinggung. Jika engkau sukakan seseorang, piring yang dicampakkan ke pangkuan, engkau tetap senyum dan tertawa.”

Meskipun gambaran itu lebih sesuai dalam persekitaran sebuah keluarga, suasana sedemikian juga boleh berlaku dalam organisasi yang melibatkan kumpulan manusia. Manusia berorganisasi kerana percaya dengan melakukan kerja bersama-sama dalam kumpulan yang lebih besar, hasilnya akan mewujudkan kekuatan yang lebih besar.

Persoalan utama dalam menjayakan sesebuah matlamat yang ditetapkan, akan membentuk budaya organisasi. Budaya organisasi ini lama kelamaan memerlukan perubahan kerana manusia menjadi mudah bosan jika kebiasaan bekerjanya tidak berubah, dan sebahagian besarnya pula melihat perubahan itu sebagai masalah yang boleh mengganggu keselesaan.

Apabila dua situasi tersebut muncul, ia akan menyebabkan berlakunya konflik dalam organisasi. Kumpulan pekerja akan terbahagi kepada sekurang-kurangnya tiga pihak – pihak yang menyokong kepada perubahan, pihak yang menentang perubahan dan pihak yang menjadi pemerhati.

Pihak yang menentang perubahan akan mengeluarkan protes kerana melihat pengurusan atasan sedang berusaha menentang mereka. Atas kehendak itulah, pihak yang menentang mencari sebab dan fakta untuk menjatuhkan mereka yang memimpin organisasi dengan pelbagai tuduhan, seperti mengkhianati matlamat asal, salah guna kuasa, tidak melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna dan membina kekuatan menerusi kaedah kronisme.

Semasa sesebuah organisasi itu dibentuk, ia mempunyai kekuatan semangat dan kesepaduan matlamat yang tinggi. Tetapi, apabila sebahagian besar mereka yang berada dalam organisasi itu merasakan ‘sudah biasa’ dan berpengalaman melaksanakan peranan tersebut, ia bertukar menjadi sesuatu yang remeh, kurang penting dan hampir dilupakan. Organisasi tersebut terus menjadi lemah dan penuh dengan liabiliti, orang yang berada di dalamnya semakin ramai yang curi tulang dan jadi ‘kayu mati.’

Mereka inilah kemudian akan bangkit menentang perubahan dan keputusan yang dibuat oleh ketua sehingga berlaku tuduh menuduh. Seorang ketua yang membuat sesuatu keputusan dianggap bercanggah dan keterlaluan, maka kumpulan tersebut bersepakat untuk melancarkan konflik.

Pergeseran pendapat telah membawa kepada percubaan mencantas kepimpinan kerana golongan yang menentang itulah merasakan dirinya paling bijaksana dan mampu mempertahankan matlamat asal. Ketua yang memimpin pula sudah lama berfikir, organisasi yang dipimpinnya memerlukan perubahan, kerana business not as usual dan jika kekal dengan kaedah ‘menunggu pelanggan’, ia tidak lagi mampu meneruskan kedinamikannya.

Mereka yang menentang keputusan untuk berubah ini sebenarnya mengalami konflik kepentingan kerana bercita-cita besar, mengambil alih organisasi tersebut setelah merasakan kebolehan diri sudah mencukupi untuk memimpin. Ia turut dibayangi oleh perasaan dan nafsu.

Syeikh Yahya ibn Hamzah al-Yamani (668-749H) dalam Kitab Tashfiyat al-Qulub min Darab al-Awzar wa al-Dzunub, tidak semua manusia mengetahui aib diri sendiri. Bagi memahami aib diri, manusia perlu mengenali ciri-ciri husn al-khuluq, iaitu sempadan antara iman dan kemunafikan. Mereka yang beriman tidak ragu-ragu dalam melaksanakan tanggungjawabnya, kecualilah dalam perkara-perkara yang dikenali sebagai kemungkaran.

Islam meletakkan sempadan moral yang jelas, bahawa setiap manusia yang paling baik kedudukannya ialah mereka yang sentiasa menjaga akhlaknya. Rasullullah SAW memberikan gambaran bahawa seorang mukmin itu ialah mereka “digembirakan dengan kebaikannya dan disedihkan dengan keburukannya.” Maksudnya, mewujudkan suasana atau persekitaran yang harmoni menjadi tanggungjawab setiap mukmin manakala mencipta permusuhan atau konflik ia adalah suatu tindakan yang tidak beretika.

Konflik dalam organisasi terjadi kerana ada segelintir pekerja yang melakukan keburukan berusaha menutupinya dengan cara mengalihkan pandangan umum kepada kesalahan yang dilakukan oleh ketua. Mereka itulah sebenarnya tidak mengetahui bahagian yang tercela dengan jelas, tetapi lebih nampak keburukan orang lain walaupun apa yang dikatakan itu hanyalah bayangan dan bukan kesahihan.

Tujuannya adalah jelas, untuk menjatuhkan pemimpin yang diberikan kuasa memimpin organisasi tersebut. Tentunya, sebaik sahaja diberikan tanggungjawab memimpin, seorang ketua akan mengenali lebih dekat siapakah sebenarnya pekerja yang boleh diharapkan, dan siapa pula pekerja yang menjadi pembodek, penghasut ataupun bercita-cita besar.

Seorang ketua yang berkesan akan berusaha menyusun atur kedudukan. Perubahan sedemikian dianggap oleh kumpulan pembodek sebagai satu malapetaka, kerana kedudukannya tidak mendatangkan manfaat atau hasil yang memuaskan dalam kemajuan organisasi. Orang inilah sebenarnya merupakan golongan munafik dan sifat kemunafikan yang ada digunakan untuk menghasut orang lain bagi memperkuatkan azamnya menyingkirkan ketua yang sedang melaksanakan agenda perubahan.

Golongan yang cuba melakukan adu-domba atau penghasut itu sebenarnya merupakan mereka yang terpesona dengan kelebihan material sehingga merasakan diri sendirilah yang paling layak. Mereka sebenarnya tidak sedar, Allah SWT pernah mengingatkan bahawa: Dan tiadalah kehidupan di dunia ini melainkan senda gurau dan main-main…”Surah al-Ankabut: 64.

Golongan ini memang wujud di mana-mana, sama ada dalam pertubuhan politik ataupun organisasi yang berkhidmat untuk rakyat. Dalam pertubuhan politik, golongan inilah berusaha menonjolkan diri dengan begitu hebat sehingga menampakkan dirinya sahaja yang paling layak dan sepatutnya diberikan peluang untuk menjadi pemimpin. Jika dalam organisasi, golongan inilah yang menjadi penentang utama jika cita-citanya terhalang, agenda sulitnya berjaya dihidu.

Bila merasakan kedudukan tercabar, golongan inilah sebenarnya sanggup melakukan apa sahaja, termasuk menghancurkan organisasi yang sekian lama memberikan mereka kesempatan untuk membina harapan, mempraktikkan gaya kepimpinan dan pengurusan dan peluang berinteraksi dengan lebih luas. Mereka tidak melihat secara jujur dan ikhlas, kedudukan dalam organisasi itu sebenarnya sebuah pengiktirafan dan amanah. Ia sanggup pula mengkhianati pengiktirafan dan amanah, kerana hatinya belum merasa puas kalau tidak berada di puncak.

Orang seperti inilah yang selama-lamanya akan menjadi ‘bom jangka’ yang boleh menghancurkan sesebuah organisasi. Orang seperti inilah yang sanggup membakar kelambu kerana marahkan seekor pepijat. Bagi mereka, pepijatlah yang akan merosakkan organisasi, walhal perosak sebenar ialah mereka yang bersikap buruk, tidak bijaksana dalam menjaga soal hati dan perasaan. Bertindak berdasarkan ‘kata hati’ dan kata hati yang sudah dirasuk oleh bisikan syaitan.

Kerosakan jemaah atau sesebuah organisasi adalah berpunca daripada tahap kebersihan hati mereka yang menganggotainya, kalau hatinya kotor, maka organisasi itu akan berhadapan dengan suasana berkonflik dan bermusuhan. Apabila hati berada dalam kesakitan, maka tindak balas akan menjadi lebih besar sehingga organisasi itu boleh runtuh. Dalam keadaan hati panas membara, yang menang jadi arang manakala yang kalah jadi abu.

Kedua-duanya sebenarnya telah hancur, tidak lagi boleh kekal seperti asalnya, kayu berguna dalam membina bangunan. Arang hanya sesuai menjadi ‘bahan bakar’, setelah bertukar menjadi arang, warnanya akan tetap hitam selama-lamanya. Organisasi itu terus dilihat jijik dan menjengkelkan, proses pemulihannya memakan kos yang besar, masa pemulihan yang panjang dan yang lebih memeritkan ialah mendapat kepercayaan semula daripada khalayak.

Tepatlah seperti digambarkan, ketika semuanya boleh ketawa, semuanya kelihatan cantik dan menawan. Apabila terjadinya sengketa, perkara yang baik sekalipun sudah bertukar menjadi buruk, manusia tidak lagi rasional membuat keputusan kerana terbelenggu oleh ‘kata hati’. – ABABIL

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *