Home » Langit Terbuka » Arab Saudi iktiraf kadar vaksinasi pantas Malaysia

Arab Saudi iktiraf kadar vaksinasi pantas Malaysia

Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia dalam perjumpaan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). - Foto FB

PUTRAJAYA – Kadar vaksinasi negara yang antara terpantas di dunia mendapat penghormatan dan pengiktirafan kerajaan Arab Saudi.

 

Perkara itu dikongsi Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Mahmoud Hussien Saeed Qattan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam kunjungannya di sini, semalam.

 

Zulkifli berkata, perkara itu membolehkan Malaysia disenaraikan antara 49 negara yang diberi kelulusan oleh Arab Saudi bagi tujuan pelancongan termasuk umrah bermula 1 Ogos lalu.

 

Katanya, walaupun Malaysia mempunyai kes jangkitan positif COVID-19 yang tinggi, kadar vaksinasi yang amat pantas menyebabkan Arab Saudi memberi kepercayaan penuh untuk membuka pintu negaranya kepada Malaysia bagi tujuan pelancongan.

 

“Di samping itu, keberkesanan vaksin yang memperlihatkan 98.1% kes hanya di tahap 1 dan 2 serta kadar kesembuhan 81.37% menzahirkan sistem pengurusan kesihatan Malaysia yang teratur,” katanya yang dikongsi di Facebook miliknya.

 

Beliau berkata, buat masa ini kerajaan Malaysia masih menunggu kenyataan rasmi daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berhubung permohonan visa umrah bagi rakyat Malaysia.

 

Zulkifli menyeru kepada umat Islam di negara ini untuk memperbanyakkan doa dan munajat kepada Allah SWT agar pandemik COVID-19 segera pulih agar rakyat dapat kembali menziarahi Tanah Suci Makkah dalam masa terdekat.

 

Katanya, hubungan erat antara Malaysia dan Arab Saudi akan terus diperkukuh bagi manfaat kedua-dua negara.

 

Pada masa sama, beliau turut menghargai sumbangan satu juta dos vaksin Astrazeneca (AZ) dan 4.5 juta unit pelbagai bantuan perubatan daripada Raja Salman Abdulaziz dan Putera Mahkota Muhammad Salman melalui King Salman Humanitarian Aid and Relief Centre (KSrelief).

 

Katanya, hanya Allah SWT yang layak mengganjari Khadimul Haramain Al-Syarifain, Putera Mahkota dan kerajaan Arab Saudi atas sumbangan diberikan itu.

 

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *