Home » Persuasif » Baik Buruknya Kita Tentukan

Baik Buruknya Kita Tentukan

Oleh AFZAN SYUKRAN

Saya bukanlah orangnya yang setia kepada satu saluran radio sahaja. Saya lebih suka menukar-nukar saluran yang dirasakan ‘enak’ sebagai halwa telinga. Selalunya saluran yang lebih banyak memutarkan lagu ataupun topik menarik yang diulas, itulah yang saya pilih. Kalau rasa siaran tersebut agak membosankan, saya akan mula menukar-nukar saluran sehingga bertemu dengan yang berkenan di hati.

Satu hari, kerana bosan dengan topik dan lagu yang diutarakan satu stesen radio ini, saya cuba menukar saluran lain. Ketika mencari-cari saluran radio, pencarian saya terhenti di sebuah saluran. Masa itu, sebuah kumpulan pelawak sedang mengendalikan satu topik yang agak menarik.

Topik yang dibincangkan ialah ‘Digoda atau Tergoda di Media Sosial’. Tajuk ini adalah rentetan daripada pendedahan tentang 22 sebab remeh pasangan yang berkahwin bercerai. Pasangan ini dikatakan pasangan yang telah berkahwin dalam tempoh lima tahun ke bawah.

Antara sebab yang disenaraikan ialah suami tidak suka makan di dalam kereta, isteri sorokkan kopiah suami kerana tidak mahu suami menghabiskan masa berborak di surau, berebut rancangan televisyen, cemburu pasangan berkawan dengan bekas kekasih, malah punggung pasangan menggerutu juga dijadikan alasan!

Satu punca yang menyebabkan pengantin baharu bermasam muka ini memang melekat dalam fikiran saya. Remeh dan kedengaran kelakar. Si suami memicit dari atas. Si isteri pula memicit dari bawah. Berbeza cara memicit ubat gigi pun boleh menjadi isu.

Hakikatnya, tempoh lima tahun perkahwinan ini adalah tempoh yang dilihat rapuh kerana dalam fasa inilah pasangan berusaha mencari keserasian antara satu sama lain. Fasa bercinta dan berkahwin adalah fasa yang berbeza. Ada orang kata fasa bercinta adalah fantasi dan fasa berumahtangga adalah realiti.

Penangan media sosial?

Menurut statistik perceraian yang dikeluarkan, dalam tempoh lapan tahun lalu, sebanyak lebih 274,000 pasangan Islam di Malaysia bercerai. Rekod Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia turut mendedahkan sebanyak 38,035 pasangan bercerai sepanjang tempoh Januari hingga Ogos tahun 2016.

Berdasarkan statistik itu, secara purata sebanyak 156 kes perceraian berlaku setiap hari atau enam kes bagi setiap jam. Malah, dilaporkan perceraian pasangan Islam dalam tempoh lima tahun lalu juga menunjukkan peningkatan begitu ketara iaitu daripada 43,749 kes pada 2011 kepada 53,870 kes pada 2014, iaitu naik sebanyak 10,121 kes.

Namun, di sebalik semua punca tersebut hakikatnya ada lagi punca yang lebih besar iaitu penggunaan media sosial yang berlebihan sehingga menggugat keharmonian keluarga. Disebabkan ketaksuban itu, ada yang mula berkenalan dengan teman-teman di media sosial sehingga wujud perasaan sayang dan mula merasakan perkahwinan sedia ada bermasalah.

Masakan tidak, pasangan di rumah diabaikan dan kurang berkomunikasi tetapi teman di alam siber itu yang lebih diutamakan. Dari pagi membawa ke malam, hanya teman siber yang dihubungi. Tidak mustahil hubungan yang hanya bermula dengan teman biasa boleh berubah kepada teman istimewa.

Berbalik kepada topik di radio tadi, seorang pemanggil wanita menceritakan sendiri pengalaman beliau apabila suaminya mula berkenalan dengan seorang wanita lain di laman Facebook. Kebetulan pula, beliau berkongsi akaun laman sosial itu dengan suaminya. Jadi, apa-apa komen di status atau di gambar-gambar yang dimuatnaik dapat dibaca dan dipantau oleh beliau. Beliau mula menyedari apabila ada seorang wanita yang kerap menekan butang ‘like’ di status-status mereka.

Pada mulanya beliau tidak mengendahkannya dan menganggap itu perkara biasa. Namun, lama-kelamaan, beliau mula berasa sangsi. Lantas beliau mula memeriksa kotak mesej yang rupa-rupanya banyak memaparkan mesej-mesej yang ‘terlebih mesra’. Akhirnya, si suami mengaku mempunyai hubungan dengan wanita tersebut. Dipendekkan cerita, mereka berpisah dan bekas suaminya itu berkahwin dengan wanita itu. Malangnya, perkahwinan mereka tidak bertahan lama.

Moralnya di sini, hubungan antara suami atau isteri orang ini hanya keseronokan sementara dan tidak berlandaskan ketulusan. Ia hanyalah keasyikan yang seketika. Beliau sempat menasihatkan kepada para pendengar supaya berusahalah untuk tidak menjalinkan hubungan sama ada dengan isteri atau suami orang.

Kisah sebegini sudah terlalu banyak kita dengar. Ini adalah realiti yang berlaku setiap hari. Dalam dunia yang terlalu mendambakan media sosial pada hari ini, gajet telah menjadi benda paling penting dalam hidup. Kehidupan bagaikan tidak sempurna seandainya sehari tidak menjenguk ke laman sosial.

Teringat pula saya kepada pertanyaan yang pernah saya baca di sebuah majalah yang paling popular ketika berada di sekolah menengah dahulu. Pada ketika itu, tiada lagi penggunaan telefon bimbit. Soalannya, ‘Apakah barang yang wajib anda bawa apabila keluar dari rumah?’ Selalunya soalan itu ditujukan kepada selebriti. Biasalah, nama pun selebriti mesti orang hendak tahu apa barang penting yang mesti dia ada? Antara jawapan yang masih saya ingat adalah kunci rumah, dompet, kad pengenalan, pen ataupun buku catatan.

Tetapi sekiranya soalan itu ditanyakan pada era ini, sudah tentunya jawapannya adalah telefon bimbit. Rasanya majoriti telah menggunakan telefon pintar yang boleh memuatkan pelbagai perisian seperti facebook, youtube, instagram, telegram dan  permainan Candy Crush Soda atau Clash of Clans. Pada hari ini, facebook telah menjadi medium penting dalam kehidupan manusia. Aktiviti seharian dirasakan tidak lengkap tanpa membuka Facebook.

Baik buruk kita tentukan

Di sisi lain, saya melihat banyak juga manfaat yang kita boleh perolehi daripada Facebook. Contohnya, peluang untuk kita membantu mereka yang tidak berkemampuan, menyumbang kepada mereka yang memerlukan bantuan kos rawatan, tips mendidik anak, nasihat, tazkirah dan amaran-amaran seperti langkah berjaga-jaga ketika berada di tempat sunyi ataupun ketika berada di mesin ATM.

Rasanya isu penggunaan laman sosial ini sudah banyak diperkatakan oleh pelbagai pihak termasuk cendekiawan dan ulama.

Menggunakan kemudahan yang ada bukan satu kesalahan cuma sebagai seorang Islam kita perlu meletakkan had penggunaan bagi menyeimbangkan semua urusan dalam aktiviti seharian. Urusan paling penting adalah mendekatkan diri kepada Allah SWT. Sedangkan kita ini dicipta oleh Allah hanya untuk beribadah kepada-Nya sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku.” (Az-Zariyaat:56).

Mungkin ada yang mempertikaikan: “Aku ber‘WhatsApp’ tapi aku sembahyang. Tidaklah sampai aku tinggalkan sembahyang.” Kita tidak menafikan semua itu. Namun, kalau dihitung berapa banyak masa yang kita peruntukkan untuk gajet berbanding dengan masa menghadap Allah? Itupun selalu kita amalkan, telefon diletakkan di tepi sejadah. Habis sahaja salam akhir, telefon itulah yang kita capai dahulu. Lebih-lebih lagi apabila telinga kita menangkap bunyi ton menandakan ada mesej baharu yang masuk.

Selalu kita mendengar orang memberi alasan tidak sempat membaca al-Quran ataupun menunaikan solat sunat. Namun, ada pula masa untuk men‘skroll’ segala status yang terpampang di‘wall’ Facebook. Itupun sudah memakan masa berapa lama? Kemudian, apabila ada status atau gambar yang menarik, kita pun menekan butang ‘ like’.

Selain itu, memberi perhatian kepada keluarga adalah tanggungjawab kita terutama memperuntukkan masa berkualiti dengan anak-anak. Tips mendisiplinkan diri untuk tidak menggunakan telefon bimbit atau sebarang gajet dari pukul 6 petang hingga 10 malam adalah satu kaedah terbaik yang boleh kita praktikkan. Saya juga sedang mencubanya. Pada awalnya mungkin agak payah kerana kebiasaan yang sudah sebati. Usaha ini masih berterusan apatah lagi anak-anak saya sekarang memang pantang melihat saya memegang telefon, mereka juga berebut-rebut hendak menggunakannya dengan melayan video animasi di laman YouTube.

Kerana itu, perisian YouTube menjadi antara perisian yang terawal dibuang dari telefon. Sebenarnya ada kisah disebaliknya. Baru-baru ini, ketika melayari laman YouTube, saya dikejutkan dengan satu video berbentuk animasi yang memaparkan adegan yang sama sekali tidak sesuai dengan kanak-kanak. Setakat ini cara itu berjaya, tetapi bimbang pula kerana anak makin membesar dan kalau mengikut kepada pengalaman kawan-kawan, anak mereka sendiri sudah pandai memuatnaik perisian yang mereka mahukan di Play Store.

Begitu juga dengan urusan kita dengan masyarakat. Manusia secara fitrah, perlu kepada hidup bermasyarakat dan berkelompok kerana setiap orang saling memerlukan di antara satu sama lain dalam menjalani kehidupan. Tidak  mungkin seorang manusia boleh hidup seorang diri tanpa perlu berurusan dengan orang lain selama dia tinggal dalam sebuah komuniti.

Jiran adalah orang paling hampir untuk kita minta bantuan ketika berlaku kesusahan. Oleh sebab itu, Islam amat menganjurkan supaya umatnya berbuat baik kepada jiran tetangga seperti menziarahi jiran yang sakit, menghadiri jemputan perkahwinan atau apa-apa majlis yang sesuai, membantu ketika berlaku kematian, meraikan kegembiraan bersama-sama, berkongsi kesedihan dan sebagainya.

Pernah dengar tagline yang selalu digunakan oleh Allahyarham Aziz Desa dalam segmen Malaysia Hari Ini suatu ketika dahulu? ‘Yang jauh kita dekat-dekatkan, yang dekat kita mesra-mesrakan’? Nampaknya, dalam dunia hari ini, yang dekat itulah yang semakin renggang dan jauh kerana perhatian dilebihkan kepada ‘yang jauh’ yang wujud di alam maya.

Di mana-mana sahaja sekarang ini, terutama di tempat makan, telefon bimbitlah yang menjadi agen komunikasi. Berjumpa untuk tujuan berbual-bual tetapi tumpuannya lebih kepada alat perhubungan canggih itu, bukan sosok yang berada di hadapan mata.

Natijahnya, baik buruknya penggunaan media sosial, segala-galanya tertakluk kepada tapisan yang ada di dalam diri kita. Kawalan diri itu memang perlu ada kerana hidup kita bukan untuk disia-siakan begitu sahaja. Tanggungjawab yang dipikul perlu dilunaskan. Kita tidak mampu menolak kecanggihan teknologi yang dibekalkan kepada generasi hari ini. Yang mampu kita lakukan adalah membuat pertimbangan dan pertimbangan itu ada pada diri kita.

Artikel Berkaitan

Jelajah Seminar Kenegaraan Madani

YADIM Negeri Selangor dengan Kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) pada 17 April memulakan penganjuran Jelajah Seminar Kenegaraan Madani untuk

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *