Home » Langit Terbuka » Belajar khat Jawi tak gugat agama – Lim Swee Tin

Belajar khat Jawi tak gugat agama – Lim Swee Tin

Tulisan Jawi dan khat adalah sekadar seni penulisan, langsung tidak menyentuh isu atau kepentingan agama tertentu, tegas sasterawan Prof Madya Dr Lim Swee Tin - Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Mempelajari seni khat atau tulisan jawi sama sekali tidak akan menggugat pegangan agama, itu penegasan sasterawan Prof Madya Dr Lim Swee Tin.

Lim yang juga pejuang bahasa berpandangan seni khat atau tulisan jawi bukanlah suatu bahasa malah tidak ada kena mengena dengan agama atau ajaran al-Quran.

“Saya lahir di Bachok, Kelantan pada 26 Sept 1952 dan membesar dalam kalangan masyarakat Melayu. Bersekolah di Sekolah Kebangsaan Tawang, Bachok, kemudian Sekolah Kebangsaan Machang, sebelum ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Machang kemudiannya SMK Hamzah.

“Semasa di sekolah rendah, saya menulis dan membaca jawi. Tidak ada masalah bagi saya malah tidak ubah jati diri dan pegangan agama saya,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching baru-baru ini mengumumkan penggunaan tulisan jawi dalam buku teks di semua sekolah dalam negara termasuk sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Keputusan tersebut turut membabitkan pelaksanaan seni khat ke dalam buku teks murid Tahun Empat menjelang tahun hadapan.

“Saya harap ibu bapa jangan bataskan anak-anak untuk belajar seni tulisan khat ini. Ia sekadar seni penulisan, langsung tidak sentuh isu atau kepentingan agama tertentu. Saya fikir suatu hari nanti, anak-anak ini dapat menulis khat dengan baik dan jadikan sebagai sumber pendapatan,” katanya.

Berkongsi pandangan tersebut, felo utama Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Teo Kok Seong berkata pelajar SJKC dan SJKT berpeluang mempelajari suatu seni tulisan bahasa Melayu yang mempunyai dua skrip iaitu dalam tulisan jawi serta rumi.

“Seni khat ini boleh tingkatkan kreativiti generasi muda. Pelaksanaan ini sepatutnya tidak ditentang sekiranya kita semua bersifat rasional dan mahu melihat generasi muda kita serba boleh dalam kehidupan masyarakat Malaysia berbilang kaum,” katanya.

Justeru itu, beliau mengalu-alukan usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memperkasakan tulisan jawi dan menjadikan ia sebagai tulisan warisan seperti kata pepatah Melayu; “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”.

Sambil mempersoalkan tindakan sesetengah pihak yang menentang pelaksanaan pengenalan tulisan khat dalam Kurikulum Bahasa Melayu Tahun Empat itu, Teo berkata semua pihak khususnya ibu bapa tidak perlu bimbang berhubung perkara itu memandangkan ia suatu isu kecil yang sengaja diperbesarkan.

“Kekeliruan ini perlu dibuang dari pemikiran. Daripada menentang, ada baiknya dapatkan penjelasan. Sikap sebegini menunjukkan kita sebenarnya gagal dalam proses pembentukan negara bangsa sebagai komuniti sehati sejiwa,” kata Teo.

Menurutnya, untuk melangkah maju sebagai sebuah negara bersatu padu, masyarakat harus terbuka untuk mempelajari seni dan budaya kaum lain bagi mengetahui keistimewaan kaum masing-masing.

Justeru katanya, langkah KPM memperkenalkan tulisan tersebut berada di landasan yang betul selaras dengan status tulisan jawi sebagai skrip warisan yang perlu dipulihara.

– Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *