KUALA LUMPUR – Kerajaan meningkatkan peruntukan hal ehwal Islam kepada RM3.1 bilion pada 2027 berbanding RM2.6 bilion sebelum ini.
Selain itu kerajaan akan menanggung sepenuhnya caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi 40,000 petugas masjid dan guru takmir.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemudahan itu membabitkan imam, bilal, tok siak, noja dan marbut serta guru takmir menerusi LembagaTabung Haji.
“Dalam usaha memperkukuh pendidikan Islam, kerajaan menubuhkan Majlis Penasihat Pondok dan Turath Malaysia dengan penyertaan ulama antarabangsa, termasuk Syeikh Ali Gomaa dan Syeikh Idris al-Fasi,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan turut memperkenalkan Sijil Turath Malaysia bagi menjamin kemampanan institusi pondok serta memelihara kesinambungan pengajian ilmu turath.
Tambahnya, dalam usaha memperluas akses pendidikan agama kepada murid berkeperluan khas, seramai 500 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang mengajar golongan itu akan menerima insentif khas RM150 sebulan.
Anwar berkata, insentif berkenaan turut meliputi guru yang mengajar menggunakan bahasa isyarat dan al-Quran Braille.
Sementara itu, jelasnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan bekerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi menyediakan peranti serta latihan kemahiran digital kepada guru dan pelajar di lebih 300 sekolah pondok di seluruh negara.
“Kerajaan turut memperkenalkan Program Dakwah Kreatif bagi menghasilkan kandungan dakwah yang segar, sahih dan dekat dengan generasi muda menerusi media digital, pempengaruh serta penggunaan kecerdasan buatan (AI),” katanya. – MalaysiaGazette



KOMEN