Home » Wacana » Bentuk reformasi kementerian agama di bawah Dr Mujahid

Bentuk reformasi kementerian agama di bawah Dr Mujahid

Tulisan ini akan tetap menjadi kontroversi bagi mereka yang suka membenarkan yang biasa dan tidak suka membiasakan yang benar.

Saya terpanggil menulis ini setelah mendengar secara langsung dari sumber orang pertama Menteri Agama sendiri dan bukan merujuk pada sumber media sosial seperti facebook, whatsapp dan sebagainya.

Tiada siapa yang menyuruh saya menulis ini kerana sampai sekarang saya tidak pernah bekerja dengan orang politik, tidak pernah dibayar oleh orang politik, tidak pernah menjadi ahli mana-mana parti politik tetapi saya berjuang untuk politik Islam global dengan modal ijazah dan tesis PhD dari Universiti Malaya bidang politik yang saya miliki.

Saya terpanggil membela kerana Kementerian inilah yang paling banyak difitnah dan terzalimi seperti isu Jakim akan dibubarkan, DAP akan berkuasa, LGBT akan bebas dan pelbagai macam fitnah baik di masjid, media sosial dan perbincangan masyarakat awam.

Membela mereka yang dizalimi adalah sesuatu amal shaleh di sisi Allah In Shaa Allah.

Sebenarnya apa yang berlaku di era Malaysia baru adalah sebuah aspek terkejut masyarakat sahaja kerana apa yang berlaku saat ini adalah akibat adanya kebebasan media yang mana pada kerajaan sebelumnya media agak kurang bebas memberitakan sesuatu yang akan merugikan kerajaan.

Rumusnya sebanyak apa pun keburukan yang berlaku pada kerajaan dahulu, masyarakat tidak boleh tahu kerana media tidak berani menyampaikannya dan sekecil apapun kejahatan yang berlaku pada era Malaysia baru, masyarakat akan cepat tahu sebab media bebas memberitakannya.

Tulisan ini juga bertujuan agar kita kembali ke ajaran Islam yang menyuruh tabayyun sebelum menerima sesuatu berita.

Alangkah ruginya kita di akhirat nanti jika semua amal ibadah kita akan berpindah untuk orang lain dan dosa kesalahan orang lain akan berpindah pada kita disebabkan oleh fitnah dan dosa yang kita lakukan padanya.

Dalam pertemuan saya bersama Dato Seri Dr Mujahid Rawa bersama Persatuan Jalinan Rao (Rawa) Malaysia (JARO) pada 23 Januari 2019 di Pejabat Menteri Agama tingkat 9 Putrajaya dapat melihat banyak perubahan.

Antara reformasi Kementerian Agama yang dilakukan oleh Dr Mujahid adalah;

1. Mengurangkan protokol, hormat yang berlebihan stafnya terhadap beliau sebagaimana layaknya seorang Menteri sebelum ini. Tidak ada lagi Menteri yang selalu dikawal oleh bodyguards ramai seperti yang berlaku pada zaman dahulu. Bahkan beberapa kali saya lihat kenderaan Menteri Agama tanpa di escort oleh petugas polis.

2. Kami sebagai tetamu dilayan lebih hampir tiga jam berbincang bersama, bergambar dan makan bersama. Ini tidak seperti biasanya di mana seorang Menteri biasanya akan melayani sekitar sepuluh minit setelah itu akan dilayan oleh timbalan atau pegawai tinggi lainnya dengan alasan ada program di tempat lain dan sebagainya.

3. Menegakkan rule of law dengan menyerahkan pada putusan mahkamah terhadap individu atau NGO yang memfitnah Kementerian dan Menterinya. Bahkan beliau tidak membawa perkara itu ke Mahkamah tetapi menyerahkan sepenuhnya pada kebebasan mahkamah dalam konsep trias politica.

Menteri tidak menghantar samseng, untuk melakukan hukum rimba mengugut mereka-mereka ini tetapi menyerahkan pada proses hukum yang berlaku.

4. Beliau memberi jaminan “Tidak mungkin orang yang bernama Dr Mujahid Yusuf Rawa ini akan buat sesuatu yang merugikan Islam. itu satu jaminan sebab saya orang Islam katanya (dan juga anak seorang ulama –penulis)

5. Kementerian bukan hanya tidak akan membubarkan JAKIM sebagaimana isu tuduhan selama ini, tetapi Kementerian menambah baik bajet dan tadbir urus yang mengarah konsep good governance dengan menjadikan rahmatan lilalamin (QS Anbiya` 107) dan maqosid syariah sebagai pondasi untuk kepentingan yang lebih besar atau awlawiyah keutamaan. Menciptakan model Malaysia seperti Bank Islam, Tabung Haji, Halal dan sebagainya yang akan menjadi contoh bagi negara lain.

6. DAP yang dikatakan menguasai kabinet adalah sebuah fitnah. Ini kerana mesyuarat kabinet dipengurusikan oleh Tun Mahathir, sebelahnya DS Wan Azizah, TS Muhyidin Yasin dan barisan orang Islam Melayu lainnya. Hanya beberapa orang sahaja DAP dalam kabinet dan tidak mungkin Menteri kabinet Melayu Islam lainnya yang majoriti akan dikuasai beberapa orang DAP.

Gambaran yang sama juga berlaku sebelum ini di mana MIC dan MCA juga mewakili kabinet BN.

Dr Mujahid juga mengemukakan pelbagai strategi dan pendekatan demi Islam dan Melayu yang tidak baik disampaikan kepada awam.

Sepanjang mesyuarat kabinet menurut Dr Mujahid, belum pernah LGE dan orang DAP menentang atau membantah kebijakan yang berkaitan dengan umat Islam lagi. Ini kerana keputusan kabinet adalah keputusan bersama bukan keputusan individu.

7. Mensosialisasikan konsep maqosid ke setiap Kementerian agar nilai-nilai Islam mewarnai setiap Kementerian yang ada. Jika selama ini kebijakan individu KSN yang mewarnai, maka sekarang Islam akan mewarnai Malaysia In Shaa Allah. (Inilah yang disebut Islam garam terasa walau tak nampak bukan Islam lipstik yang nampak tapi tak ada rasa apa-apa )

Menyokong larangan merokok, kempen keselamatan jalan raya, rasuah, urus tadbir baik dan polisi awam yang Islamik lainnya.

8. Tidak mahu memegang jawatan pengerusi institusi di bawah Kementeriannya seperti Maiwp yang memiliki aset berbilion ringgit. Ini dilakukan oleh Dr Mujahid untuk mengelakkan konflik kepentingan. (Ini salah satu strategi pembanterasan rasuah yang saya baca masa menulis tesis PhD dulu. Ini sebenarnya sebuah gagasan besar atau revolusi seorang Menteri yang biasanya akan mempengerusikannya. –pen)

9. Membuat kebijakan seperti kenaikan pangkat, lantikan dan sebagainya berdasarkan meritrokrasi dan profesionalisme.

Sebelum ini yang dilantik adalah mereka yang kuat mengipas mengampu sekarang mereka yang kuat mengipas tak akan diberi. Ini kerana lantikan diasaskan pada kelayakan, keahlian dan kepakarannya. (Ini juga asas good governance waktu saya menulis tesis PhD dulu )

10. Reformasi kewangan Tabung Haji jika sebelumnya digunakan untuk kempen parti politik, sekarang tidak boleh lagi.

Fitnah yang kononnya TH dikuasai LGE adalah fitnah kerana Dr Mujahid lah yang menanda tangani soal kewangan yang banyak jumlahnya itu. Kerana akta menjamin TH dibawah Menteri Agama. Yang membuat governance kewangan pula adalah Bank negara, sedangkan sebelum ini pengerusinya adalah orang politik.

Pengerusi TH saat ini pula adalah orang Islam Melayu yang bebas dari pengaruh parti politik seperti Tan Sri Mohd Nor. CEO Dato Sri Zukri Samat dan tidak seorang pun pengerusi TH orang DAP.

11. Menteri menjadi orang yang pakar terhadap institusi bawahnya seperti hafal luar kepala akan angka-angka dan kedudukan semasa.

Ini tidak seperti dulunya biasa Menteri akan membaca laporan yang dibuat bawahan dan tidak menguasai secara detail institusi di bawahnya kerana hanya bertindak sebagai tukang rasmi yang berucap beberapa minit lalu pergi.

Sementara Dr Mujahid akan membaca dan menguasai topik dan dan bahan yang akan disampaikan kepada awam.

12. Akan mewujudkan rumah mampu milik untuk orang Islam yang kurang mampu pada tanah yang dimiliki oleh MAWIP dengan tidak membolehkan pemilikan berdasarkan kroni dan orang kaya walaupun ahli keluarga Menteri itu sendiri.

13. Memperkuat Jakim dengan menambah institusi dan kewangannya. Jakim adalah institusi terbesar di bawah Kementerian Agama yang paling banyak anggaran kewangannya.

14. Misi yang telah diterima oleh 14 agensi dan semua pentadbiran Islam ialah menjadikan Malaysia sebagai model pentadbiran Islam terunggul.

15. Reformasi bidang kuasa kehakiman seperti menjaga hak-hak isteri yang diceraikan suaminya.

16. Meningkatkan bajet seperti KAFA bahagian sekolah menengah setelah sebelumnya hanya tingkat sekolah rendah sahaja. Memberi bantuan RM50 juta pada maahad tahfid berdaftar. Sekolah pondok 25 juta sekolah agama bantuan kerajaan 50 juta masjid dan surau 150 juta dan banyak lagi seperti braille dan sebagainya.

17. Mewajibkan banner institusi di bawahnya 20% daripadanya bertuliskan Arab Melayu di samping bahasa Melayu yang sememangnya diwajibkan.

Semua kebijakan Menteri Agama di atas secara automatik menafikan bahawa beliau adalah seorang yang anti Islam, liberal dan sebagainya.

Namun demikian mereka yang suka membenarkan yang biasa dan tidak biasa membiasakan yang benar akan selalu melihat ia satu kesalahan. Ibarat mata lalat mereka akan fokus pada yang busuk atau membusukkan yang baik.

Sementara mata lebah akan selalu mencari dan melihat yang baik bunga-bungaan yang indah dan akan menghasilkan madu yang menjadi manfaat bagi makhluk.

Ini kerana lebah jika hinggap di suatu tempat tidak merosakkannya, mereka makan yang baik-baik dan mengeluarkan yang baik-baik. Namun jika mereka dizalimi, mereka juga akan membalas kerana mereka punya harga diri.

Jika jujur dan dikaji secara akademik point nombor 1, 3, 7, 8, 9, 10, 11, 12, 16, 17 adalah satu revolusi besar dalam Kementerian ini yang tidak mudah dilakukan oleh orang yang tidak ikhlas berjuang untuk rakyat. – Afriadi Sanusi, Malaysia Dateline.

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *