Home » Wacana » Bersikap Rahmahlah Terhadap Haiwan Sembelihan

Bersikap Rahmahlah Terhadap Haiwan Sembelihan

Tinggal beberapa ketika sahaja lagi kita akan menyambut hari Raya Aidul Adha atau lebih dikenali sebagai hari raya korban. Jika hari raya aidul fitri kita meraikan kemenangan melawan hawa nafsu selama sebulan puasa, kali ini umat islam menghayati pula pengorbanan yang telah dilakukan oleh keluarga nabi Allah Ibrahim. Firman Allah SWT yang bermaksud “ Maka kerjakanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai bersyukur” (Al- Kautsar Ayat 2) Berdasarkan ayat di atas, jelas kita juga dituntut untuk melakukan penyembelihan sewaktu hari raya dan hari tashrik.

Secara umumnya, pandangan dalam mazhab syafie berkaitan hukum melakukan ibadah kurban ialah sunat muakkad iaitu sunat yang dituntut. Jika kita berkemampuan maka sunat untuk kita berusaha melakukan ibadah tersebut. Antara haiwan ternakan atau haiwan an-amm’ yang disembelih termasukkan unta, lembu, kibas dan kambing. Dalam keghairahan kita melakukan penyembelihan kita juga perlu mengetahui adab-adab ketika proses penyembelihan haiwan korban.

Memulakan perbincangan adab ini dengan merenung sabda nabi SAW. Daripada Abu Ya’la Syaddad ibn Aus r.a. daripada Rasulullah SAW, bahawa Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah menulis (iaitu mewajibkan) Ehsan atas segala sesuatu. Apabila kamu mahu membunuh, maka perelokkanlah pembunuhan itu. Apabila kamu mahu menyembelih, maka perelokkanlah penyembelihan itu dan hendaklah kamu menajamkan mata pisau dan hendaklah dia menyenangkan haiwan sembelihannya itu.”     

(Riwayat Ahmad no. 17154, Muslim no. 1955, Abu Daud no. 2815, al-Tirmizi, Ibn Majah no. 3170, al-Nasa’i no. 4405 dan al-Baihaqi no. 11071)

Hadith di atas jelas menunjukkan keperluan kita berbuat baik dan menguruskan penyembelihan haiwan dengan rapi. Islam agama yang rahmah kepada semua makhluk termasuklah haiwan. Maka amat perlu kita menguruskan penyembelihan dengan teliti dan rahmah.

Antara adab yang perlu kita jaga ialah, pastikan pisau yang kita guna untuk menyembelih benar-benar tajam. Para imam atau individu yang akan menyembelih haiwan korban perlu mengasah pisau tersebut sehingga tajam supaya tidak menyiksa haiwan korban sewaktu penyembelihan berlaku. Ketajaman pisau penting kerana bahagian kulit haiwan yang tebal boleh menyebabkan proses penyembelihan menjadi sukar. Maka pisau yang tajam akan mempercepatkan proses penyembelihan tersebut.

Kedua, tidak berlaku kasar sewaktu ingin menumbangkan haiwan korban. Tidak dinafikan sebahagian haiwan korban sukar untuk ditumbangkan namun kita tidak dibenarkan untuk berlaku kasar sehingga mencederakan haiwan apatah lagi sehingga menyebabkan kecacatan pada haiwan tersebut. Jika kita tidak tahu maka serahkanlah kepada yang ahli untuk menumbangkan haiwan korban supaya haiwan itu tidak terseksa.

Ketiga, Elakkan menyembelih haiwan korban dihadapan haiwan yang lain. Betul haiwan tidak mempunyai akal namun haiwan juga mempunyai naluri dan perasaan. Ketika melihat haiwan lain disembelih haiwan itu juga akan merasakan keperitannya. Analogi mudah, waktu kita berkhatan dulu pun kita takut bila lihat kawan kita berkhatan dihadapan kita. Begitulah haiwan, haiwan korban boleh menjadi agrasif apabila melihat haiwan yang lain disembelih dihadapannya.

Keempat, berilah makan dan minum kepada haiwan korban sebelum proses penyembelihan. Kebiasaanya, haiwan korban akan dihantar oleh pengembala sehari atau dua hari sebelum hari raya aidil adha. Dalam tempuh itu, kita perlu menjaga makan dan minum haiwan korban tersebut. Jangan dibiarkan haiwan tertambat dipokok tanpa diberi makan dan minum. Takut-takut kita berdosa kerana mendera haiwan tersebut secara tidak disedari.

Akhir sekali, jangan sesekali kita tularkan video atau gambar berkaitan penyembelihan korban yang boleh menimbulkan fitnah terhadap agama Islam. Kadang-kadang kita tidak sedar video ketika haiwan ditumbangkan dan disembelih boleh mengundang rasa tidak selesa kepada penganut agama lain sehingga menyebabkan mereka berasa Islam terlalu kejam terhadap haiwan. Sebab itu, kita perlu menguruskan haiwan korban dengan baik supaya kita boleh tunjukkan keindahan islam dalam mengurus penyembelihan haiwan korban.

Begitulah beberapa adab yang kita perlu tahu dalam kita ingin melakukan penyembelihan haiwan korban. Dalam keadaan kita ingin mencari pahala korban jangan sampai kita lupa akan adab kita untuk bersifat rahmah kepada haiwan korban tersebut. Semoga ibadah korban yang kita lakukan diterima oleh Allah sebagai amal soleh.

Mohd Zaiful Faizal Bin Mohamad Hasan ialah Bekas Pelatih dan Pemenang Anugerah Penulisan Kreatif Daie Muda YADIM 2019

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *