Home » Langit Terbuka » ‘Betullah tuhan tak tidur’

‘Betullah tuhan tak tidur’

PUTRAJAYA – “Tuan-tuan semua tak kenal saya, tapi tuan-tuan sanggup bantu saya sampai macam ni. Masih ada orang yang hati mulia macam tuan-tuan… Betullah tuhan tak tidur.”

Demikian ungkapan spontan daripada seorang lelaki tempatan yang dilafazkan secara jujur sejurus selepas disantuni petugas Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di ibu negara hari ini.

Dia yang dirahsiakan identitinya dan berasal dari Taiping, Perak itu dilaporkan dihalau keluar daripada bilik sewanya di Kuala Lumpur dan turut tertekan dengan permasalahan keluarga.

Lebih pilu, dia meluahkan kerinduan terhadap anaknya yang baru berusia tiga bulan namun terpaksa diserahkan kepada keluarga angkat kerana sedar tidak mampu membesarkannya.

“Saya berdoa saban masa agar diberikan pertolongan” katanya dalam nada sebak ketika ditemui petugas Yadim berdekatan Lorong Haji Taib, Chow Kit di pusat bandar raya tersebut.

Kisah lelaki itu disiarkan menerusi akaun media sosial agensi berkenaan dengan beberapa foto memaparkan dia kelihatan dilayani baik oleh Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Individu tersebut menghubungi talian TeleBantuan Yadim sehari sebelum itu untuk memohon sedikit sumbangan bagi meneruskan kehidupan dirinya yang serba kekurangan di ibu kota.

Prihatin dengan keadaan lelaki ini, agensi itu membantu menyediakan bayaran sewa biliknya selain menyumbang barangan keperluan harian kepadanya untuk tempoh selama sebulan.

Lebih manis, kisah sedih individu ini meraih perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu yang dalam kesibukan tugas rasminya itu turut tampil meluangkan masa.

Zulkifli kemudian menyampaikan sumbangan wang tunai dan memberi kata-kata semangat kepadanya agar tabah dalam mendepani pancaroba kehidupan penuh getir di bandar raya.

Yadim menerusi hantaran itu turut memaklumkan bahawa mereka yang memerlukan bantuan agar segera mengirim pesanan peribadi menerusi aplikasi Whatsapp kepada 013-2920214. – UTUSAN ONLINE

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *