Home » Langit Terbuka » Buruh Cina peluk Islam selepas kagum tingkah laku imam, penduduk

Buruh Cina peluk Islam selepas kagum tingkah laku imam, penduduk

JEDDAH, Selasa – Sembilan buruh rakyat China membuat keputusan memeluk Islam selepas kagum dengan tingkah laku baik ditunjukkan seorang imam sebuah masjid serta penduduk setempat di sini, ketika mereka berdepan masalah.

Imam berkenaan, Dr Walid Ajaji berkata, penduduk setempat menjumpai pekerja China berkenaan tidur beralaskan kotak berhampiran masjid itu.

Beliau bersama penduduk kemudian menyediakan tempat tinggal yang lebih selesa di taman masjid berkenaan selain menguruskan makan minum mereka.

Sebagai bukan Islam, buruh warga China itu pada mulanya takut. Mereka menyangka umat Islam akan melayan mereka dengan buruk, tetapi jauh daripada sangkaan itu, mereka sebaliknya dilayan dengan begitu baik.

Dr Walid juga berusaha menghubungi Kedutaan China bagi menguruskan kepulangan pekerja berkenaan ke negara mereka dengan selamat.

Katanya, warga China terbabit meninggalkan syarikat tempat mereka bekerja kerana tidak dibayar gaji sejak sembilan bulan lalu dan mereka dilayan dengan buruk.

“Perbuatan itu jelas sekali memberi gambaran buruk mengenai negara ini dan rakyatnya,” katanya.

Bagaimanapun, tanggapan itu berubah apabila Dr Walid dan penduduk Islam setempat memberi bantuan kepada mereka.

Beliau berkata, pekerja China berkenaan juga memahami maksud sebenar Islam dan perwatakan seorang muslim apabila melihat kebaikan penduduk dan mereka akhirnya menerima Islam.

Seorang pekerja berkenaan berkata, mereka akan pulang ke China dengan identiti baru seorang Islam.

“Kami akan meninggalkan negara ini tak lama lagi, tetapi akan membawa bersama kami agama baru serta kenangan indah terhadap kebaikan penduduk di sini yang memberi layanan yang baik sertakan menunjukkan cahaya agama baru ini,” katanya. – Agensi

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *