Home » Langit Terbuka » Caj RM15 setaraf swasta

Caj RM15 setaraf swasta

PUSAT Bersalin Berisiko Rendah 1Malaysia di Presint 8, Putrajaya. FOTO Harian Metro.

KUALA LUMPUR 11 Jan. – Caj yang dikenakan kurang daripada RM15, namun kualiti perkhidmatan yang disediakan di Pusat Bersalin Berisiko Rendah 1 Malaysia, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)-Hospital Putrajaya (PBBR1M) di Presint 8, Putrajaya, setaraf hospital swasta.

Perkara itu diakui kakitangan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Arbayiah Ba’ai, 34, yang bersalin anak ketiganya di PBBR1M, tiga tahun lalu.

Arbayiah berkata, meskipun beroperasi di bangunan berbentuk perumahan (kuarters), kemudahan yang disediakan adalah mencukupi.

Katanya, sebelum bersalin, dia melakukan pemeriksaan di klinik kesihatan awam di Putrajaya sebelum dirujuk ke PBBR1M kerana memiliki rekod kesihatan yang baik.

“PBBR1M ini untuk ibu mengandung yang berisiko rendah ketika bersalin, iaitu tidak mempunyai risiko komplikasi kesihatan dan sebagainya.

“Tidak semua ibu mengandung boleh bersalin di PBBR1M kerana perlu melalui saringan ketat dan hanya yang betul-betul sihat saja yang diterima masuk,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Arbayiah, bayaran deposit kemasukan yang dikenakan untuk orang awam hanyalah RM15 saja, caj harian untuk bilik adalah RM3 manakala untuk kakitangan awam atau pesara kerajaan adalah percuma.

Untuk bersalin biasa pula, tiada bayaran dikenakan bagi kakitangan awam manakala untuk orang awam, caj yang perlu dibayar hanyalah RM10 saja.

Bagi perkhidmatan rawatan harian, kakitangan kerajaan dan orang awam tidak dikenakan sebarang caj begitu juga dengan caj bilik bersalin.

“Pendek kata, untuk kakitangan awam, kami menikmati semua kemudahan secara percuma, manakala orang awam dikenakan bayaran yang minimum saja.

“Begitupun, kualiti perkhidmatan adalah setaraf hospital swasta lain dan setiap ibu yang bersalin di PBBR1M diberikan sebuah bilik yang cukup selesa dilengkapi kipas serta penghawa dingin.

“Ia tak ubah seperti berada di rumah sendiri dan memberi keselesaan kepada kami sekeluarga,” katanya.

Bagi Fadilah Musa, 32, pula, selain caj berpatutan, layanan doktor serta jururawat di PBBR1M juga memuaskan.

Justeru, kata Fadilah, PBB1M perlu diperbanyakkan bagi mengurangkan masalah kesesakan di hospital kerajaan.

“Inisiatif ini perlu diperluaskan ke seluruh negara bagi membantu menampung kes kelahiran yang semakin meningkat,” katanya.- HARIAN METRO

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *