Home » Langit Terbuka » Contohi Malaysia martabatkan al-Quran

Contohi Malaysia martabatkan al-Quran

Usaha memartabatkan Al Quran seperti yang dilakukan Malaysia mendapat perhatian ramai - Foto hiasan Jakim

KUALA LUMPUR – Imej Malaysia sebagai negara Islam yang memartabatkan al-Quran di peringkat nasional perlu dicontohi negara-negara lain khususnya Indonesia.

Tidak kisahlah sama keputusan pilihan raya Presiden (Pilpres) Indonesia memihak kepada Joko Widodo yang lebih dikenali sabagai Jokowi atau pesaingnya, Prabowo Subianto, yang penting Presiden yang baharu perlu memberi lebih perhatian terhadap usaha mengangkat al-Quran ke peringkat lebih tinggi di negara tersebut.

Pandangan itu dilontarkan peserta kategori tilawah dari Indonesia yang berusia 36 tahun, Heri Kuswanto yang mahu negaranya tidak memandang enteng kepentingan al-Quran dalam kehidupan masyarakat Islam di sana.

Kata anak kelahiran Jakarta itu, mana-mana calon yang berjaya memenangi Pilpres itu perlu menjadikan al-Quran sebagai panduan penyatuan ummah sekali gus mampu melindungi generasi baharu daripada terjerumus dalam masalah sosial.

“Secara peribadi saya berharap calon yang lebih dekat dengan para ulama memenangi Pilpres kali ini kerana nampak kesungguhan mereka untuk memartabatkan Islam dan mahu menjadi lebih baik daripada lawannya.

“Bagaimanapun, Jokowi juga telah menunjukkan kecemerlangannya mentadbir negara sebelum ini. Sekiranya beliau menang sekali lagi, usaha untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik khususnya berkenaan Islam perlu dipertingkatkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini (18 April).

Heri yang pertama kali menyertai Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-61 yang berlangsung di Malaysia amat teruja melihat sambutan orang ramai yang hadir memberi sokongan terhadap pertandingan tersebut.

Mengulas mengenai cabaran daripada peserta lain, Heri secara peribadi berpendapat peserta Malaysia dan Filipina telah menunjukkan persembahan terbaik dan berada pada aras tersendiri dalam pertandingan itu.

“Apapun saya reda dengan segala keputusan juri nanti. Perkara paling penting adalah saya dapat meningkatkan kualiti bacaan tilawah serta keyakinan diri sekali gus menjadi lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-61 bermula Isnin lalu hingga Sabtu ini yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) disertai sebanyak 70 negara merangkumi 106 peserta. – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *