Home » Langit Terbuka » COVID-19: Masjid guna sangkar hidraulik untuk korban

COVID-19: Masjid guna sangkar hidraulik untuk korban

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (dua, kiri) dan Pengarah JAWI (dua, kanan), ketika majlis penyerahan sangkar penyembelihan mudah alih kepada wakil Masjid dan Surau sempena Sambutan Hari Raya Aidiladha di Masjid Wilayah, Jalan Duta. -Foto NSTP

KUALA LUMPUR – Pengurusan 10 masjid di Wilayah Persekutuan akan menggunakan sangkar hidraulik ketika melaksanakan ibadah korban sempena Aidiladha, mulai Jumaat ini.

Pendekatan bersandarkan hasil Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) itu dipilih, selari keperluan pengurusan masjid untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), susulan penularan wabak COVID-19.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim, berkata sangkar hidraulik yang mula dipatenkan sejak 2016 itu hanya memerlukan khidmat tiga petugas sepanjang proses penyembelihan dilakukan.

“Ini sangat bertepatan dengan SOP, berikutan COVID-19 kerana kita tahu, aspek penjarakan sosial dan kebersihan adalah antara paling utama yang perlu dijaga menjelang Aidiladha tahun ini.

“Sangkar hidraulik ini hanya perlukan tiga orang untuk sempurnakan ibadah korban, berbanding kaedah lama yang kadang kala hampir satu kampung turun bagi tumbangkan dan sembelih lembu.

“Aspek kebersihan juga dapat dijaga kerana lembu akan diletakkan atas troli atau pengusung selepas disembelih dan dipindahkan ke stesen lain, iaitu melapah dan sebagainya.

“Menerusi kaedah ini, aspek kebersihan lembu dapat dijaga ketika penyembelihan, berbanding kaedah lama yang lazimnya menyaksikan binatang korban diseret atas tanah sehingga melekat najis, rumput dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita, selepas majlis penyerahan sangkar penyembelihan mudah alih kepada wakil masjid dan surau sempena Sambutan Hari Raya Aidiladha di Masjid Wilayah, Jalan Duta, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohd Ajib Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Akbar Samon.

Secara keseluruhan, Ahmad Amzad berkata, 15 sangkar hidraulik yang setiap satunya berharga kira-kira RM25,000 diagihkan kepada 10 masjid di Wilayah Persekutuan dan selebihnya di tempat terpilih.

“Ia merangkumi masjid di Negeri Sembilan, Terengganu dan Johor. Lazimnya, bagi memperkenalkan inovasi, cara paling berkesan ialah apabila dimulakan di Wilayah Persekutuan, ia mudah menjadi ikutan di negeri lain.

“Ini satu inovasi, akan sentiasa ada penambahbaikan, justeru sebaik dipakai, pasti ada cadangan baharu dan sebagai satu kementerian yang galakkan inovasi, kita akan sentiasa lihat bagaimana untuk tambah baik sistem.

“Saya rasa, ini akan mengundang minat pelbagai pihak, susulan kejayaan menggunakan sangkar ini pada ibadah korban tahun ini.

Insya-Allah akan dapat sambutan yang baik di seluruh negara,” katanya.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *