Diyat merupakan satu bentuk pampasan kewangan dalam sistem perundangan Islam yang diberikan kepada waris mangsa sebagai ganti rugi atas kehilangan nyawa atau kecederaan. Pelaksanaannya bukan sekadar hukuman semata-mata, tetapi satu instrumen keadilan yang menggabungkan elemen tanggungjawab, pemulihan dan keseimbangan sosial. Menurut Syariah, diyat berfungsi sebagai pelengkap kepada qisas serta membuka ruang kepada nilai rahmah dan keinsafan.
Dalam konteks semasa, peningkatan kes kemalangan maut akibat pemandu mabuk di Malaysia menuntut kepada pendekatan keadilan yang lebih menyeluruh. Hukuman sedia ada dilihat tidak mencukupi dalam membela nasib keluarga mangsa. Oleh itu, konsep diyat wajar diketengahkan sebagai mekanisme tambahan dalam sistem keadilan yang lebih realistik. Firman Allah SWT:
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ أَنْ يَقْتُلَ مُؤْمِنًا إِلَّا خَطَأً ۚ وَمَنْ قَتَلَ مُؤْمِنًا خَطَأً فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُّؤْمِنَةٍ وَدِيَةٌ مُّسَلَّمَةٌ إِلَىٰ أَهْلِهِ إِلَّا أَنْ يَصَّدَّقُوا
Maksud: “Dan tidaklah harus bagi seseorang mukmin membunuh mukmin yang lain kecuali dengan tidak sengaja. Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan tidak sengaja, maka hendaklah dia memerdekakan seorang hamba yang beriman serta membayar diyat kepada keluarga mangsa kecuali jika mereka memaafkannya.” (Surah al-Nisa’: 92)
Bedasarkan ayat ini, ditekankan dalam ajaran Islam akan kehilangan nyawa manusia tidak boleh dipandang ringan adapun ia berlaku secara tidak sengaja. Islam menggariskan tanggungjawab pelaku terhadap waris mangsa melalui diyat, selaras dengan prinsip hifz al-nafs. Konsep ini juga mengimbangi keadilan moral dan sosial dengan memberi pampasan yang sewajarnya, sekaligus mengajar masyarakat untuk menghargai nyawa orang lain dan menginsafi akibat perbuatan sendiri.
Pelaksanaan diyat memerlukan peranan aktif pelbagai pihak termasuk kerajaan, institusi agama dan masyarakat. Kerajaan bertanggungjawab menggubal dasar serta menilai kesesuaian pelaksanaannya dalam sistem perundangan negara semasa. Institusi-institusi agama dan pejabat-pejabat mufti pula berperanan menjelaskan konsep diyat berdasarkan maqasid syariah, khususnya dalam menjaga nyawa (hifz nafs) .Dalam hal ini, prinsip fiqh awlawiyyat yang dihuraikan oleh Yusuf al-Qaradawi menegaskan bahawa:
“Fiqh keutamaan ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya dengan tidak mendahulukan perkara yang sepatutnya dikemudiankan dan tidak mengkemudiankan perkara yang sepatutnya didahulukan.”
Pandangan ini menunjukkan bahawa dalam isu kehilangan nyawa, keadilan kepada mangsa perlu diberikan keutamaan yang tinggi. YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli bin Hasan menegaskan bahawa nilai ihsan dan keadilan perlu diperkukuh dalam sistem perundangan negara, khususnya dalam kes melibatkan kecuaian sehingga menyebabkan kematian.
Mutakhir ini, kes kemalangan maut akibat pemandu mabuk semakin meningkat dan memberi kesan negatif kepada masyarakat. Mangsa sering terdiri daripada individu-individu yang tidak bersalah, manakala keluarga mereka akan menanggung beban emosi dan kewangan yang berat di masa akan datang. Bahkan dengan perlaksanaan undang-undang sedia ada terhadap pelaku, ia masih dilihat tidak adil atau sepadan dengan jumlah kerugian yang dihadapi oleh mangsa dan keluarga.
Maka dalam kerangka fiqh awlawiyyat, keutamaan perlu diberikan kepada penjagaan nyawa manusia. Firman Allah SWT:
أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ الْحَاجِّ وَعِمَارَةَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ كَمَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَجَاهَدَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ لَا يَسْتَوُونَ عِنْدَ اللَّهِ
Maksud: “Adakah kamu menyamakan orang yang memberi minum kepada orang-orang haji dan memakmurkan Masjidil Haram dengan orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad di jalan Allah? Mereka tidak sama di sisi Allah.”
(Surah al-Taubah: 19)
Ayat ini menjelaskan bahawa tidak semua amalan mempunyai kedudukan yang sama di sisi Allah SWT walaupun ia merupakan amalan yang baik. Perkara ini boleh disamakan dengan penggunaan kaedah fiqh awlawiyyat, sesuatu perkara perlu dinilai berdasarkan keutamaannya. Dalam konteks isu kemalangan maut, menjaga nyawa manusia adalah lebih utama berbanding perkara lain yang bersifat sampingan. Oleh itu, keperluan untuk melaksanakan diyat sebagai bentuk pembelaan kepada mangsa perlu diutamakan kerana ia berkaitan langsung dengan pemeliharaan nyawa dan keadilan sosial. Ini menunjukkan bahawa dalam menangani isu semasa, keutamaan mesti diberikan kepada perkara yang memberi kesan besar kepada kehidupan manusia.
Konsep diyat boleh diaplikasikan dalam sistem perundangan Malaysia sebagai pelengkap kepada undang-undang sedia ada seperti Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333). Di bawah akta ini, kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol diperuntukkan hukuman seperti denda dan penjara. Oleh itu, konsep diyat adalah langkah yang perlu diutamakan dalam menangani kes kematian akibat kecuaian.
Namun begitu, pendekatan ini lebih tertumpu kepada hukuman terhadap pesalah dan kurang memberi penekanan kepada pemulihan nasib mangsa dan keluarga. Oleh itu, diyat boleh berperanan sebagai suatu mekanisme tambahan bagi memberikan keadilan kepada waris mangsa.
Firman Allah SWT:
مِنْ أَجْلِ ذَٰلِكَ كَتَبْنَا عَلَىٰ بَنِي إِسْرَائِيلَ أَنَّهُ مَنْ قَتَلَ نَفْسًا بِغَيْرِ نَفْسٍ أَوْ فَسَادٍ فِي الْأَرْضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ النَّاسَ جَمِيعًا
Maksud: “Sesiapa yang membunuh seorang manusia tanpa alasan yang benar atau kerana melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh seluruh manusia.”
(Surah al-Ma’idah: 32)
Ayat ini menjelaskan akan besarnya nilai nyawa seseorang insan itu dan kehilangan nyawa tanpa sebarang asbab yang munasabah atau secara tidak adil akan memberi impak sosial dan moral yang besar kepada masyarakat. Oleh demikian, dalam konteks kemalangan maut akibat pemandu mabuk, perlaksanaan diyat itu tidak hanya sekadar pampasan material semata tetapi ia merupakan suatu bentuk keadilan yang mengiktiraf nilai nyawa tersebut serta membantu mengimbangi kerugian yang dialami oleh waris mangsa. Ini juga selari dengan maqasid syariah yang menekankan pemeliharaan nyawa sebagai keutamaan utama dalam kehidupan manusia.
Pelaksanaan diyat perlu dilakukan secara berhikmah dan berperingkat dengan mengambil kira konteks masyarakat Malaysia. Kajian menyeluruh oleh pakar Syariah dan undang-undang perlu dilaksanakan bagi memastikan kesesuaiannya.
Menurut Al-Shatibi dalam kitab al-Muwafaqat, Syariah diturunkan untuk menjaga lima perkara asas iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Dalam konteks ini, menjaga nyawa merupakan keutamaan utama. Selain itu, Rasulullah SAW bersabda:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksud: “Tidak boleh melakukan kemudaratan dan tidak boleh membalas kemudaratan dengan kemudaratan.”
(Hadis riwayat Ibn Majah)
Hadis ini menjadi asas bahawa keadilan dalam Islam bertujuan menghapuskan kemudaratan. Pelaksanaan diyat dalam kes kemalangan maut dapat mengurangkan beban yang ditanggung oleh keluarga mangsa serta mendidik pelaku tentang tanggungjawab. Pelaksanaan ini juga perlu digabungkan dengan hukuman lain seperti penjara dan denda bagi memastikan elemen pencegahan terus wujud.
Diyat sebagai instrumen keadilan Syariah menawarkan pendekatan yang lebih holistik dalam menangani isu kemalangan maut akibat pemandu mabuk. Ia bukan sahaja memberi keadilan kepada mangsa, tetapi juga mendidik masyarakat tentang nilai nyawa dan tanggungjawab sosial.
Berdasarkan prinsip fiqh awlawiyyat, keutamaan perlu diberikan kepada penjagaan nyawa dan keadilan kepada mangsa. Selain itu, pada tahun 2019, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga telah mencadangkan agar diwujudkan Skim Insuran Sosial pada Peringkat Negeri-Negeri atau Persekutuan untuk membantu memberikan pampasan kepada keluarga mangsa bunuh untuk meneruskan hidup bagi kes pesalah bunuh tidak mampu memberikan pampasan.
Justeru, YADIM menyokong terhadap cadangan YB Menteri Agama dan lain-lain pihak yang berkepentingan agar pendekatan diyat sebagai pelengkap kepada sistem sedia ada. Perkara ini menunjukkan bahawa pendekatan tersebut berpotensi untuk diketengahkan dalam sistem perundangan negara dan membuktikan bahawa keadilan dalam Islam bukan hanya sekadar menghukum, tetapi ia merangkumi pemulihan, ihsan dan kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh selari dengan tuntutan maqasid syariah.



KOMEN