Perdana Menteri berpandapat, serangan itu sduah tentu akan memberi kesan kepada harga minyak seluruh dunia termasuk Malaysia.

Walau bagaimanapun di Malaysia, Perdana Menteri menjelaskan, kerajaan memberi subsidi untuk mengimbangi kenaikan harga bahan api berkenaan berbanding negara lain yang menaikkan cukainya.

“Kalau dia (Arab Saudi) terpaksa henti pengeluaran minyak ditapis, pada sejuta tong minyak, sudah tentu akan memberi kesan kepada harga minyak seluruh dunia.

“Di Malaysia, apabila harga minyak naik, kita beri subsidi. Di United Kingdom (UK) kalau minyak naik, mereka naik cukai. Bagi dia (UK), orang dia tak complain. Di Malaysia, harga minyak paling rendah di dunia,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Kejohanan The Putrajaya Boat Race 2019 di sini.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr. Aminuddin Hassim.

Dr. Mahathir ditanya sama ada kerajaan akan mengkaji semula harga runcit petrol RON95 pada masa yang ditetapkan pada paras RM2.08 berikutan serangan berkenaan.

Arab Saudi dilaporkan menggantung sementara pengeluaran di dua loji minyak Aramco yang diserang pemberontak Yemen, mengganggu kira-kira separuh penghasilan keseluruhan syarikat berkenaan.

Serangan menyebabkan penggantungan sementara pengeluaran di loji Abqaiq dan Khurais, kata Menteri Tenaganya, Putera Abdulaziz Salman. – Utusan Malaysia