Home » Langit Terbuka » Elak masjid jadi bangunan kaku, terpinggir

Elak masjid jadi bangunan kaku, terpinggir

Sultan Nazrin bertitah, perkembangan masa yang berlaku tidak bermakna, peranan masjid telah tersisih atau menjadi kurang penting, malah masjid wajib terus diimarahkan. - Foto Cuit

IPOH – Peranan masjid tidak tersisih walaupun kegiatan yang dahulu berlaku di dalam bangunan masjid, dipindahkan ke pelbagai premis baharu di luar rumah ibadat itu, titah Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Baginda bertitah, pada awal era perkembangan Islam, masjid memenuhi pelbagai peranan sebagai pusat pemerintahan, pentadbiran dan kehakiman di samping berfungsi sebagai pusat perkembangan sahsiah, ilmu, budaya dan tamadun.

“Masjid juga turut dipenuhi dengan kegiatan kebajikan, kemasyarakatan serta perhubungan ummah; bermakna, lebih banyak ruang masa masjid, dipenuhi dengan kegiatan yang pelbagai, mengatasi waktu yang digunakan untuk bersolat.

“Peredaran waktu dan perkembangan tamadun, telah mengubah cara hidup insan, yang terus menghadapi suasana hidup yang berubah dan bertambah kompleks, di samping perlu pula menangani bilangan ummah yang semakin bertambah,” titah baginda.

Sultan Nazrin yang juga Sultan Perak bertitah demikian pada sambutan Jubli Emas Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri) di sini, hari ini.

Turut berangkat Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Sultan Nazrin bertitah, perkembangan yang berlaku itu tidak bermakna, peranan masjid telah tersisih atau menjadi kurang penting, malah masjid wajib terus diimarahkan, ditiupkan roh kehidupan dengan pelbagai aktiviti, demi mengelakkan masjid menjadi bangunan kaku lagi terpinggir.

“Mengimarahkan masjid ialah tanggungjawab yang wajib dipenuhi oleh mereka yang telah bersedia menerima amanah, dilantik sebagai ahli jawatankuasa masjid, begitu juga dalam kalangan mereka yang dilantik sebagai pegawai masjid.

“Orang-orang yang telah diberikan amanah mengurus dan mengimarahkan masjid, jika tidak memenuhi tanggungjawab secara ikhlas, bersungguh dan komited, sebenarnya, telah tidak berlaku adil kepada kariah, dan bersifat tidak memenuhi janji kepada ummah.

“Membina masjid adalah aspek fizikal dan wajib dibangunkan dengan perisian kandungan yang bermakna, dihidupkan oleh orang-orang yang ikhlas, bersungguh dan komited, mahu mengembangkan syiar Islam,” titah baginda.

Baginda bertitah, Masjid Sultan Idris Shah II, diiktiraf sebagai masjid negeri yang telah dirasmikan pembukaannya pada 15 November 1968 oleh Sultan Perak ke-33, Sultan Idris Iskandar Shah.

“Masjid ini telah pun mencapai usia 50 tahun. Dalam tempoh masa itu, masjid ini telah melalui pelbagai fasa penambahbaikan dan pembesaran secara fizikal, begitu juga telah dibangunkan dengan pelbagai kegiatan.

“Beta menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memenuhi pelbagai peranan, dan memberikan pelbagai sumbangan, mengimarahkan masjid ini sejak 50 tahun lalu.

“Semoga Allah mengurniakan insan-insan yang diamanahkan untuk menguruskan masjid ini, dengan rahmat dan petunjuk, agar masjid ini akan mencipta pencapaian yang lebih cemerlang 50 tahun dari sekarang, dan mencatatkan sejarah kejayaan yang lebih gemilang, ketika menyambut ulang tahun usia ke-100 pada tahun 2068 nanti,” titah baginda. – Berita Harian

 

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *