Home » Langit Terbuka » Empat beradik daripada empat madu cemerlang

Empat beradik daripada empat madu cemerlang

Empat beradik berkenaan anak kepada ahli perniagaan, Datuk Dr Zulkepli Mohamad daripada empat madunya

KOTA BHARU – Empat beradik daripada empat ibu berbeza melakar sejarah apabila berkongsi pentas sama dan menerima Diploma Perakaunan dalam Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Ke-89, semalam.

Lebih membanggakan, Ayu Syaheera Zulkepli, Juliana Aziera, Zul Azril dan Zul Azrul yang kesemuanya berusia 21 tahun, menerima anugerah naib canselor dan diploma kelas pertama.

Empat beradik berkenaan anak kepada ahli perniagaan, Datuk Dr Zulkepli Mohamad daripada empat madunya.

Ayu Syaheera berkata, dia dan Zul Azrul menerima Anugerah Naib Canselor apabila masing-masing mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.89 dan dua lagi dapat 3.50 ke atas.

“Saya dan tiga adik beradik lain menyambung pengajian dalam jurusan sama selepas ia dicadangkan oleh ayah kami untuk menyambung legasi perniagaan yang diusahakan selama ini.

 

“Pada mulanya, kami berempat kurang meminati jurusan perakaunan, namun ketika memasuki Tingkatan Empat dan belajar di kelas sama dalam aliran perakaunan, mula timbul minat untuk mempelajarinya sedikit demi sedikit.

“Dalam masa sama, papa juga banyak memberi tunjuk ajar kepada kami untuk memahami setiap apa yang diajar oleh guru ketika di sekolah selain pensyarah di universiti,” katanya ketika ditemui di sini.

Seramai 1,467 graduan menerima diploma dan ijazah sarjana muda masing-masing dalam Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Ke-89 yang diadakan selama dua hari bermula semalam di UiTM Kampus Machang.

Katanya, berada di dalam kelas yang sama sepanjang tempoh pengajian di universiti juga memudahkan mereka untuk berbincang dan membuat tugasan yang diberikan pensyarah.

“Di dalam kelas, kami bersaing secara sihat bagi memastikan mendapat keputusan dekan setiap semester.

“Apabila seorang daripada kami tidak memahami apa yang diajar oleh pensyarah, masing-masing akan membantu dan cuba menyelesaikan masalah bersama,” katanya.

Katanya, selepas tamat pengajian dalam jurusan diploma, hanya Zul Azril dan Zul Azrul yang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di UiTM Machang dan Puncak Alam pada Mac lalu.

“Manakala saya dan Juliana mengambil keputusan untuk bekerja dan mencari pengalaman dengan membantu papa di syarikat miliknya,” katanya. – Berita Harian

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *