MANILA: Filipina menggesa negara ASEAN menggunakan piawaian pensijilan halal lebih seragam bagi memudahkan produk dipasarkan di seluruh rantau itu, termasuk ke Asia Barat dan negara majoriti Islam lain.
Jabatan Perdagangan dan Industri Filipina (DTI) berkata, langkah itu penting bagi memudahkan urusan perdagangan produk halal dalam kalangan negara anggota ASEAN.
Tiga daripada 11 negara anggota ASEAN iaitu Indonesia, Malaysia dan Brunei adalah negara majoriti Islam, yang merangkumi 45 peratus daripada keseluruhan penduduk blok itu yang melebihi 680 juta orang.
Walaupun Filipina majoritinya beragama Katolik, negara itu mempunyai kira-kira 10 peratus penduduk Islam daripada hampir 120 juta keseluruhan penduduknya.
“Secara umumnya, negara ASEAN mengamalkan prinsip asas halal yang sama berdasarkan hukum Islam.
“Bagaimanapun, prosedur pensijilan, keperluan akreditasi, aturan institusi dan sistem pengiktirafan berbeza antara negara.
“ASEAN sedang berusaha menyelaraskan garis panduan halal bagi makanan serta memperkukuh pengiktirafan bersama bagi memastikan lebih banyak keseragaman dan memudahkan perdagangan di rantau ini,” kata DTI kepada Arab News.
Menurut DTI, piawaian halal yang lebih seragam dapat mengurangkan kos syarikat untuk mendapatkan pensijilan.
Ia juga memudahkan produk memasuki pasaran negara lain, meningkatkan keyakinan pengguna dan menggalakkan perdagangan antara negara ASEAN.
Pasaran halal dunia, khususnya makanan halal, semakin berkembang.
Menurut laporan State of the Global Islamic Economy yang diterbitkan firma perunding Amerika Syarikat (AS), DinarStandard, pada Jun lalu, perbelanjaan pengguna terhadap makanan halal mencecah AS$1.53 trilion (RM6.61 trilion) pada 2024.
Pasaran itu dijangka meningkat kepada AS$2.06 trilion (RM8.29 trilion) menjelang 2029.
Sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2026, Filipina menjadi tuan rumah mesyuarat Kumpulan Kerja ASEAN mengenai Makanan Halal bulan lalu, yang membincangkan usaha mewujudkan piawaian halal bersama.
“Negara anggota ASEAN kini sedang membincangkan Garis Panduan ASEAN mengenai Makanan Halal yang bertujuan menggalakkan pendekatan serantau yang lebih selaras.
“Filipina mengambil bahagian secara aktif dalam perbincangan ini menerusi mekanisme ASEAN sedia ada, dengan sebarang aturan pada masa depan tertakluk kepada persetujuan semua negara anggota,” kata DTI.
DTI berkata, semakin banyak syarikat berminat mendapatkan pensijilan halal kerana mahu menjual produk kepada pengguna Muslim di ASEAN, Asia Barat dan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Permintaan terhadap produk halal juga semakin meningkat di negara yang majoritinya bukan Islam.
Menurut DTI, produk halal perlu memenuhi piawaian ketat dari segi keselamatan dan kebersihan sepanjang proses pengeluaran.
Katanya, perkara itu menyebabkan produk halal turut dilihat sebagai produk yang berkualiti, selamat dan baik untuk kesihatan. – AGENSI



KOMEN