Home » Langit Terbuka » Forum Antarabangsa Pemikiran Islam (I-FIT) jadi acara tahunan

Forum Antarabangsa Pemikiran Islam (I-FIT) jadi acara tahunan

Mujahid (tengah) bersama kenamaan pada perasmian Forum Antarabangsa Pemikiran Islam (I-FIT) di Putrajaya

PUTRAJAYA – Kerajaan akan menjadikan Forum Antarabangsa Pemikiran Islam – International Forum on Islamic Thought (I-FIT), sebuah acara tahunan sebagai salah satu usaha percambahan pemikiran isu isu berkaitan Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf berkata, forum itu akan digunakan sebagai platform untuk membincangkan isu isu semasa berkaitan Islam , yang mana pandangan mengenainya bukan saja datang dari Malaysia, tapi juga luar negara.

“Pandangan itu nanti boleh kita ambil untuk perbaiki dasar dasar yang sedang dibina.

“Contohnya hari ini, kita jadikan kedua dua tokoh Maal Hijrah 1441H sebagai pengucap utama program,” katanya selepas merasmikan  I-FIT kali pertama anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di sini hari ini (3 September).

Hadir sama ke majlis itu ialah Ketua Pengarah JAKIM, Yang Berbahagia Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, serta ketua dan wakil agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan.

Selain Pemenang Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1441H Peringkat Antarabangsa, Shaykh Abdallah Shaykh Al-Mahfoudh, serta Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Zaini Ujang, turut memberikan ucapan ialah Pesyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Sharifah Hayati Syed Ismail.

Dalam pada itu jelas Mujahid, pemilihan pengucap  utama di forum tersebut yang merupakan tokoh tokoh berkaliber dan bukan calang calang melambangkan betapa forum itu nanti akan menjadi medan ilmu yang sangat baik.

“Pemilihan tokoh kebangsaan sendiri sudah bertaraf antarabangsa, apatah lagi tokoh antarabangsa,”katanya.

Katanya lagi, topik topik yang dibincangkan dalam forum akan menjurus kepada isu isu Maqasid Syariah, gagasan Rahmatan Lil Alamin, model Malaysia dan konsep rahmah yang diketengahkan kerajaan.

Mujahid menambah, ia bersesuaian dengan hasrat pihaknya untuk memperkukuhkan fasa Malaysia Baharu.

Sementara itu, beliau turut mengajak orang ramai untuk menyertai Karnival Rahmah yang akan dianjurkan pada 26 hingga 29 September ini di Dataran Putrajaya.

“Ïni sebuah acara besar yang kita akan adakan pelbagai aktiviti seperti pameran dan banyak lagi program, yang menjurus kepada usaha kerajaan selama ini apabila kami laksanakan jelajah Karnival Rahmah seluruh negara,”katanya.

Difahamkan, antara pengisian Karnival Rahmah 2019 ialah Halal Fun Run, Forum Perdana Ehwal Islam, Bicara Duta Rahmah, pertunjukan paragliding, pesta buah buahan, konsert rahmah dan banyak lagi.

 

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *