GENEVA: Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengeluarkan amaran bahawa konflik berlarutan di Asia Barat memberi kesan langsung terhadap pekerjaan, gaji dan kos sara hidup di seluruh dunia.
Amaran itu dikeluarkan susulan laporan terbaru oleh ILO yang memaklumkan bahawa konflik berpanjangan berisiko menyebabkan jutaan pekerjaan terjejas dan menurunkan pendapatan pekerja pada 2026 dan 2027, termasuk pekerja migran yang bergantung kepada kiriman wang ke negara asal.
Laporan itu menyatakan kenaikan kos tenaga, gangguan pengangkutan, tekanan terhadap rantaian bekalan global, kelembapan sektor pelancongan dan pengurangan tenaga kerja migran mula membebankan ekonomi dunia.
ILO meramalkan pendapatan global menyusut sebanyak 1.1 peratus tahun ini dan tiga peratus pada
Ketua Ahli Ekonomo ILO, Sangheon Lee, berkata konflik di Asia Barat itu berkemungkinan memberi kejutan yang berpanjangan dan akan mengubah pasaran buruh secara perlahan-lahan”.
Krisis itu turut mencetuskan kenaikan harga bahan api global susulan ketegangan di Selat Hormuz iaitu laluan strategik yang menjadi nadi penghantaran minyak dunia.
Sebarang gangguan di kawasan itu meningkatkan kebimbangan terhadap bekalan tenaga antarabangsa dan menolak harga minyak mentah ke paras lebih tinggi.
Kenaikan harga minyak secara langsung meningkatkan kos pengangkutan dan logistik, sekali gus memberi tekanan kepada harga makanan, barangan keperluan serta kos operasi syarikat di banyak negara.
Industri penerbangan, perkapalan dan pembuatan antara sektor paling terkesan akibat peningkatan kos bahan api.
Pakar ekonomi turut memberi amaran inflasi yang semakin meningkat boleh memaksa banyak syarikat mengehadkan pengambilan pekerja, mengurangkan waktu kerja atau membekukan kenaikan gaji bagi mengawal perbelanjaan operasi.
Negara yang bergantung kepada import tenaga pula dijangka berdepan tekanan fiskal lebih besar apabila subsidi bahan api meningkat dan nilai mata wang terjejas akibat ketidaktentuan pasaran global.
Semalam, pengantara di Pakistan menyerahkan cadangan terbaharu Iran mengenai rundingan damai kepada Amerika Syarikat (AS) bagi menamatkan perang.
Satu sumber di Islamabad berkata, kedua-dua pihak tidak mempunyai banyak masa untuk merapatkan perbezaan pendirian mereka.
Presiden AS, Donald Trump, dijadual bertemu penasihat ketenteraan bagi membincangkan pilihan untuk menyambung semula konflik sekiranya usaha rundingan damai gagal mencapai kata sepakat. – AFP



KOMEN