Home » Citra Yadim » Gangguan bekalan air: YADIM Terengganu bantu sedia pam dan air mineral

Gangguan bekalan air: YADIM Terengganu bantu sedia pam dan air mineral

KUALA TERENGGANU – Gangguan bekalan air yang terjadi di kawasan ini bermula 2 Ogos dijangka melibatkan lebih 23,000 pengguna berlarutan hingga beberapa hari  lagi. Lebih menyukarkan penduduk kerana ada kawasan yang terlibat, dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Bertindak pantas bagi meringankan beban orang ramai, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Terengganu pada 4 Ogos telah membantu menyediakan sebuah mesin pam air elektrik di Kampung Alor Damat di Kuala Nerus.

Mesin berkenaan akan mengepam air dari sebuah telaga milik seorang Ahli Sukarelawan YADIM yang bersetuju mewakafkan bekalan air di telaga miliknya itu untuk kegunaan ramai.

Pengarah YADIM Terengganu, Ustaz Nasrul Hadi Saiadin berkata, penyediaan pam tersebut diharap akan dapat membantu ramai pihak yang terjejas ekoran ketiadaan bekalan air berkenaan kerana tempoh masa gangguan yang agak lama.

Terlibat sama dalam inisiatif ini ialah tiga orang Sukarelawan YADIM iaitu Saiful Imran Ismail, Noordin Ngah dan Shabarudin Hamzah.

Dalam pada itu, selain menyediakan pam air, YADIM Terengganu juga menyumbangkan sebanyak 9 kotak besar air mineral 1.5 liter untuk kegunaan penduduk.

YADIM Terengganu pada masa yang sama juga menyumbang 30 botol air 5 liter untuk kegunaan penduduk di Manir yang juga terjejas akibat gangguan ini. Ia disampaikan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Kampung (JPKK) Pengkalan Maras Azaha Jusoh.

Inisiatif ini akan memanfaatkan sekurang kurangnya 30 keluarga di kawasan itu yang akan dikenakan PKPD bermula 5 Ogos.

 Pada 5 Ogos juga, YADIM Terengganu akan memasang satu lagi pam air di kawasan Batu Rakit dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Kampung kawasan itu

Insiden gangguan bekalan air itu berlaku dipercayai akibat paip pam bersaiz 1,200 milimeter yang pecah di dasar Sungai Terengganu menyebabkan kira-kira 23,100 akaun pengguna Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (Satu) terjejas.

Ia melibatkan penduduk di Gong Badak, Alor Jambu, Tok Jembal, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Malaysia Terengganu, Tepoh, Padang Hangus, Pagar Ubi, Bukit Sudu, Bukit Jong, Sungai Ikan, Gemuroh, Ladang Sentosa, Padang Nenas, Lingai dan Bukit Wan.

Turut terlibat ialah mereka di Buluh Gading Masjid, Buluh Gading Dewan, Kampung Banggol Tuan Muda, Petai Bubus, Paya Datu, Jeram, sebahagian Banggol Peradong, Kampung Manir, Kampung Tualang, Kampung Kebor Air dan Kampung Telok Menara.

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *