Home » Persuasif » Gangguan Seksual Di Institusi Tahfiz

Gangguan Seksual Di Institusi Tahfiz

1. Kami mengikuti perkembangan kes ini sejak dari awal penularan beritanya di media sosial, juga kes-kes sebelum ini.

2. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) sejak daripada dahulu sentiasa konsisten menentang sebarang bentuk manipulasi, penderaan, ketidakadilan dan penindasan kepada kanak-kanak. Ini melalui kenyataan kami antaranya pada 8 Mac 2017 berhubung Akta Jenayah Seksual Kanak-Kanak [https://bit.ly/2O6WaGk], 7 Ogos 2018 berhubung perkahwinan kanak-kanak bawah umur menurut perspektif siyasah syar’iyyah [https://bit.ly/2MWcSUf] dan 16 Ogos 2018 berhubung perkahwinan kanak-kanak bawah umur menurut perspektif syariah [https://bit.ly/2upwZ6P].

3. Kami menyeru kepada semua pihak agar menunggu keputusan yang bakal dikeluarkan oleh mahkamah dan tidak mengeluarkan sebarang bentuk spekulasi yang bakal menimbulkan polemik yang lebih besar.

4. Institusi tahfiz sewajarnya dihormati dan kesalahan individu tidak wajar dikaitkan dengan institusi berkenaan sebagaimana pepatah Melayu, “Marahkan nyamuk, kelambu dibakar.” Membina persepsi dan spekulasi terhadap institusi berkenaan hanya menyuburkan bibit Islamofobia yang sepatutnya tidak berlaku di negara umat Islam berbilang bangsa dan agama seperti Malaysia.

5. Sudah sampai masanya kita mempertimbangkan beberapa cadangan berikut untuk dilaksanakan bagi memperkemaskan urustadbir institusi pendidikan tahfiz negara.

i. Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA) hendaklah terus diperkasakan.

ii. Cadangan YB Puan Fuziah Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi pendaftaran Ma’ahad Tahfiz (yang tidak berdaftar) adalah satu cadangan yang wajar dipandang serius.

iii. Pemantauan berkala urustadbir dan kebajikan pelajar Ma’ahad Tahfiz di setiap kawasan dijalankan oleh Ahli Parlimen kawasan.

6. Kami amat berharap semua pihak dapat menggunakan kebijaksanaan akal dan ilmu bagi mendepani isu seperti ini supaya tidak terpandu oleh emosi yang mengatasi simpati dan empati.

7. Keadilan adalah selama-lamanya tunjang yang utuh dalam Islam walaupun terhadap individu yang dibenci. Firman Allah SWT: dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. (Surah al-Ma’idah: 8)

8. Sejujurnya kita akui bahawa institusi tahfiz seperti mana-mana insitusi pendidikan yang lain, ada kelemahan yang perlu diperbaiki. Kami amat menyayangi para guru, pentadbir dan pelajar-pelajarnya.

9. Kita letakkan sepenuh kepercayaan kepada mahkamah. Semoga mendung ini bakal berlalu dan menghadirkan sinar kecemerlangan buat institusi tahfiz di Malaysia.

Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

Tulisan di atas merupakan respon Y.Bhg SS Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri, berhubung isu gangguan seksual di pusat pusat tahfiz

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *