Home » Langit Terbuka » Golongan asnaf berpeluang dapat rawatan hospital pakar swasta

Golongan asnaf berpeluang dapat rawatan hospital pakar swasta

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melakukan gimik pelancaran sambil diperhatikan Timbalan Pengerusi MAINJ, Abd Mutalip Abd Rahim (tengah), Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Shamsudin (kanan), Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Abdul Alim Abd Shukor (dua dari kiri) dan Timbalan Pengarah JKM Johor, Rosnah Sardi (kiri) ketika majlis pelancaran Skim Perlindungan Takaful Rakyat Johor di Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru. - Foto BERITA HARIAN

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri hari ini melancarkan Skim Perlindungan Takaful Rakyat Johor 2018 yang memanfaatkan lebih 15,000 golongan asnaf dan keluarga berpendapatan rendah di seluruh Johor.

Menerusi skim perlindungan itu, peserta daripada golongan terbabit turut berpeluang mendapatkan perkhidmatan perubatan di hospital pakar swasta.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata caruman dikenakan terhadap peserta skim itu hanya RM10 sebulan atau RM120 setahun, yang akan dibiayai kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) membabitkan peruntukan berjumlah RM1.9 juta.

“Manfaat diterima menerusi skim ini ialah perlindungan kematian biasa hingga RM20,000, kematian akibat kemalangan (hingga RM20,000), keilatan kekal menyeluruh akibat kemalangan (hingga RM20,000) dan keilatan kekal separa (hingga RM20,000).

“Selain itu, peserta akan menerima elaun hospital sebanyak RM15 sehari, perlindungan 36 penyakit kritikal hingga RM20,000, manfaat khairat kematian RM2,000 serta manfaat ihsan pasangan sebab kematian peserta RM2,000 dan setiap anak RM1,000.

“Yang menariknya, Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) juga bersedia memberi kemudahan rawatan bawah skim perlindungan ini kepada asnaf dan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan perbelanjaan hingga RM20,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Skim Perlindungan Takaful Rakyat Johor 2018 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri yang juga Timbalan Pengerusi MAINJ, Abd Mutalip Abd Rahim, dan Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Abdul ‘Alim Abd Shukor.

Mohamed Khaled berkata, beliau mahu Johor penuh dengan kesejahteraan dan pembelaan kepada semua, bukan hanya berkisar mengenai pendapatan serta keuntungan semata-mata.

“Kita tidak boleh menjadi negeri yang segala-galanya adalah mengenai duit, pendapatan dan keuntungan sehingga hilang pertimbangan, kewarasan serta lupa pada tugas dan tanggungjawab kepada agama serta orang lain.

“Kemewahan serta kekayaan dimiliki adalah sesuatu yang tidak pernah cukup dan berhenti,” katanya. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *