Home » Wacana » Hayati Pengorbanan Keluarga Ibrahim

Hayati Pengorbanan Keluarga Ibrahim

Sedar atau tidak kita sudah memasuki bulan Zulhijjah. Setelah kita berjuang di bulan Ramadan dan meraikan kemenangan di bulan Syawal. Sekarang kita berganjak ke bulan yang mendidik erti pengorbanan pula. Bulan yang padanya terdapat suatu ibadah yang sangat disukai oleh Allah. Pada bulan ini terdapat ibadah besar yang dilakukan oleh umat Islam iaitu ibadah Haji dan juga ibadah Korban.

Tulisan ini akan memfokus kepada ibadah korban. Mari bersama kita mengingati semula sirah Nabi Ibrahim dalam konteks pengorbanan.

Nabi Allah Ibrahim telah berkahwin dengan Sarah sekian lama namun tidak dikurniakan cahaya mata. Usia baginda sudah mencecah 86 tahun dan Sarah juga sudah lanjut usianya. Keinginan untuk mendapatkan zuriat menyebabkan nabi Ibrahim berdoa dan memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh. Peristiwa ini telah dirakamkan dalam Al-quran “Ya Tuhanku, anugrahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang-orang yang saleh” ( As-Saffat Ayat 100).

Kerana usia Sarah yang sudah lanjut beliau bersetuju jika Nabi Ibrahim berkahwin dengan Hajar. Dengan izin Allah berkat kesabaran Nabi Ibrahim dan keluarga mereka dikurniakan seorang cahaya mata bernama Ismail hasil daripada perkahwinanya bersama Hajar. Firman Allah “Maka Kami beri dia khabar gembira dengan seorang anak yang amat sabar” (A-Saffat Ayat 101).

Ahli sejarah berpendapat ketika itu Nabi Ibrahim berusia 86 tahun. Dalam waktu yang sama berkat pengorbanan Sarah yang sanggup berkongsi kasih sayang dengan Hajar. Maka Allah kurniakan kepadanya zuriyat bernama Ishak. Ketika itu dikatakan nabi Ibrahim berusia 100 tahun.

Ayah mana yang tidak sayang akan anaknya? Kalau kita sendiri, bertahun-tahun menanti zuriyat yang dinantikan. Apabila sangat kelahiran sudah pasti kita sangat gembira dan tidak mahu meninggalkan nya walaupun sesaat. Begitu lah nabi Ibrahim, baginda sangat gembira dan sayang akan anaknya Ismail. Namun, ketaatannya kepada Allah lebih tinggi daripada sifat kasihnya kepada manusia.

Apabila Allah memerintahkan Ibrahim menghantar dan meninggalkan Hajar dan Ismail di suatu lembah yang sunyi iaitu Makkah maka Ibrahim menerimanya dengan hati terbuka.

Sudahlah terpaksa meninggalkan anak dan isteri sekian lama, apabila Ismail sudah boleh berjalan dan bercakap tiba pula ujian yang berikutnya. Firman Allah “Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: “Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahwa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!” Ia menjawab: “Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar” (As-Saffat Ayat 102). Perintah Allah supaya Ibrahim menyembelih anaknya amat lah berat bagi orang yang tidak beriman.

Namun Ibrahim dan Ismail merupakan hamba yang mempunyai keimanan yang tinggi sehingga kedua mereka tidak membantah perintah itu malah Ismail sebagai seorang anak menerima jika bapanya ingin meneyembelihnya atas perintah Allah.

Kepatuhan mereka kepada perintah Allah amat tinggi sehingga Allah berikan berita gembira kepada mereka. “Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar.” (As-Saffat Ayat 107). Begitulah kisah pengorbanan keluarga Ibrahim. Pengorbanan yang cukup besar dan wajar kita contohi. Berdasarkan kisah ini terdapat beberapa pengajaran yang perlu kita perolehi.

Petama, setiap orang beriman akan diuji oleh Allah dengan pelbagai ujian. Firman Allah “Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji?” (Al-Ankabut:2-3). Para nabi dan rasul telah diuji dari segi harta, dan anak begitu juga kita sebagai manusia yang mengaku beriman juga akan diuji.

Kedua, setiap yang beriman perlu redho dengan ujian yang diterima. Ujian Allah akan datang dalam pelbagai bentuk seperti Firmannya “Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar” ( Al-Baqarah Ayat 115).

Ketiga, Allah pasti akan memberikan berita gembira kepada hambanya yang telah diuji. Sebagai contoh setelah nabi Ibrahim dan Ismail melepasi ujian tersebut Allah mengurniakan zuriyat Ibrahim yang kedua daripada rahim Sarah iaitu Ishaq. “Dan Kami beri dia kabar gembira dengan (kelahiran) Ishaq seorang nabi yang termasuk orang-orang yang saleh.” (As-Saffat Ayat 112).

Keempat, Kewajipan anak-anak menengar kata-kata ibu bapa. Dalam sirah tersebut nabi Ismail akur dan patuh akan apa yang dikatakan oleh nabi Ibrahim.

Kelima, pentingnya musyawarah dan perbincangan dalam sesuatu perkara. Apabila nabi Ibrahim mendapat perintah Allah melalui mimpi untuk menyembelih anaknya. Baginda meminta pandangan anaknya Ismail. Sebagai ayah boleh sahaja baginda melakukan tanpa bertanya kepada Ismail. Namun sikap meraikan pendapat dan pandangan anak diambil kira oleh baginda.

Keenam, apabila kita inginkan sesuatu maka berdoalah kepada Allah dengan bersungguh-sungguh seperti apa yang dilakukan oleh nabi Ibrahim. Baginda bersungguh berdoa kepada Allah agar kurnikan zuriat yang soleh. Firman Allah “Dan Rabb-mu berfirman: ‘Berdo’alah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk Neraka Jahannam dalam keadaan hina dina” (Al- Mu’min Ayat 60).

Kesimpulannya, banyak pengajaran yang boleh kita ambil daripada kisah pengorbanan keluarga Ibrahim. Semoga kita semua tergolong dalam golongan yang sabar menerima ujian Allah dan mendapat berita gembira atas kesabaran tersebut.

Mohd Zaiful Faizal Bin Mohamad Hasan ialah Bekas Pelatih dan Pemenang Anugerah Penulisan Kreatif Daie Muda YADIM 2019

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *