BANGI – Masih menyemarakkan semangat Awal Muharam 1448H, Majlis Belia PERKIM Selangor (MBPS) dengan kerjasama YADIM Negeri Selangor telah menganjurkan forum “Hijrah Talks: Reset & Rise” di Dewan Auditorium Sa’id Ramadhan Al-Buti, Universiti Islam Selangor pada 4 Julai.
Program ini bertujuan menyemarakkan penghayatan Awal Muharram dalam kalangan belia dan mualaf melalui forum santai dan interaktif yang mendekatkan dakwah kepada golongan muda. Bertemakan “Hijrah Talks: Reset & Rise”, program ini membawa mesej bahawa setiap individu berpeluang berhijrah ke arah kehidupan yang lebih baik.
Forum tersebut menampilkan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM, Ustaz Azlan Shah Nabees Khan, bersama selebriti dakwah, Puan Angelina Tan sebagai panelis, manakala sesi dikendalikan oleh Daie Muda YADIM (DMY) Siti Norfarhira Norhisham selaku moderator.
Turut hadir ialah Pengarah YADIM Negeri Selangor, Encik Mohd Fitri Aziz Mohd Yusof, Penolong Pengarah YADIM Negeri Selangor, DMY Nurul Syuhada Mohd Kamil, serta pegawai YADIM Negeri Selangor, Encik Aminuddin Abu Bakar dan Cik Nur ‘Ayuni Sofia Mohd Salahuddin.
Usaha sebegini diharap dapat terus menyemarakkan budaya ilmu dan penghayatan Islam dalam kalangan belia serta mualaf, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mengangkat pembangunan insan sebagai teras pembinaan masyarakat yang harmoni dan sejahtera.



KOMEN