Home » Citra Yadim » Hina sahabat Nabi rosakkan nilai adab, hakis rasa hormat terhadap institusi agama – YADIM

Hina sahabat Nabi rosakkan nilai adab, hakis rasa hormat terhadap institusi agama – YADIM

KUALA LUMPUR: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menegaskan kandungan yang memperlekehkan tokoh agama dalam media sosial dikhuatiri boleh menormalisasikan budaya penghinaan, mengganggu sensitiviti umat Islam serta merosakkan nilai adab dalam masyarakat.

Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr Hasan Bahrom, berkata pengaruh media hari ini sangat besar terutamanya terhadap generasi muda.

Katanya, YADIM memandang serius tindakan pihak yang sanggup mempergunakan nama sahabat Rasulullah sebagai bahan sensasi dan melunakkan kata-kata dalam meraih perhatian dan keuntungan peribadi.

“Lebih membimbangkan apabila ungkapan yang disampaikan itu sangat tidak beradab dengan mengaitkan amalan sahabat Rasulullah yang tinggi nilai budinya, dengan sifat yang tidak bermoral seperti kegiatan pinjaman wang haram (ceti) dan zina sebagai hobi kehidupan adalah keterlaluan.

“Sebagai badan dakwah yang menjunjung nilai kebebasan berkarya dan bersuara, perkara itu tidak seharusnya digunakan kerana ia boleh mengelirukan serta menghalalkan kandungan yang merosak dan menjatuhkan kredibiliti Rasulullah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular petikan ucapan bekas Ketua Dewan Ulamak PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh menceritakan perihal kehidupan Sayidina Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali Abi Talib sebelum memeluk Islam.

Nik Muhammad Zawawi menggambarkan Abu Bakar sebagai ‘bapa ceti’ kerana gemar memberi pinjaman kepada orang ramai dan menekan golongan miskin, manakala Umar dikatakan berperwatakan ganas dan suka berzina.

Menjelaskan lebih lanjut, Hasan berkata, tindakan mencari perhatian tanpa batas adab dan ilmu hanya akan melahirkan masyarakat yang hilang rasa hormat terhadap institusi agama dan tokoh umat Islam.

“Semua sahabat Rasulullah adalah generasi yang dipuji oleh Allah dan menjadi contoh keteguhan iman, integriti serta pengorbanan dalam perjuangan Islam.

“Namun dengan menjadikan mereka rujukan tidak bermoral demi menarik perhatian dalam bicara adalah tindakan tidak bertanggungjawab, malah memberi contoh tidak baik kepada individu yang mengungkapkan, institusi yang dianggotai dan agama yang dianuti,” katanya.

Justeru, beliau berkata, seiring semangat Malaysia MADANI yang menekankan nilai hormat, ihsan dan kemampanan sosial, semua pihak khususnya individu berpengaruh, pendakwah, pencipta kandungan dan pempengaruh media sosial perlu memainkan peranan dalam membina masyarakat berilmu serta beradab.

“Janganlah mengaut perhatian melalui isu-isu yang kontroversi dan masyarakat digesa supaya lebih matang dan beretika dalam ucapan di khalayak umum dengan menolak budaya eksploitasi agama untuk kepentingan diri.

sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/05/1552347/hina-sahabat-nabi-rosakkan-nilai-adab-hakis-rasa-hormat-terhadap

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *