Dalam Islam, tidak ada nas yang menggalakkan supaya berhutang. Walau bagaimanapun, terdapat ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW yang menyatakan tidak salah jika seseorang itu hendak berhutang. Malah Islam menerusi ayat 282 daripada Surah al-Baqarah awal-awal lagi telah meletakkan beberapa garis panduan terutama tentang keperluan mencatat dan merekodkan segala hutang yang dilakukan. Hal ini bagi mengelak si penghutang terlupa atau lari daripada tanggungjawab membayarnya.
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil benar); dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi. Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya. Dan adakanlah saksi apabila kamu berjual-beli. Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan. Dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu; dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Al-Baqarah:282)
Meskipun ayat 282 daripada Surah al-Baqarah tersebut menekankan keperluan mencatat dan merekodkan urusan hutang-piutang, namun ia jelas menunjukkan tidak salah jika seseorang itu ingin membuat transaksi atau berjual beli secara berhutang.
Selain al-Quran, terdapat hadis-hadis yang membincangkan hal ehwal hutang. Antara perkara yang sangat ditekankan dalam hadis Rasulullah SAW adalah berkaitan kewajipan membayar segala hutang yang dibuat. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang meminjam harta orang lain (berhutang) dan berniat akan membayarnya, maka Allah akan menunaikan niatnya itu. Namun, sesiapa meminjam dengan niat akan merugikannya (dengan tidak membayar), maka Allah akan merugikannya.” (HR al-Bukhari). -MAJALAH DAKWAH



KOMEN