Home » Kenyataan Media » Iktibar Di Sri Lanka : Yadim Ajak Kekalkan Keharmonian

Iktibar Di Sri Lanka : Yadim Ajak Kekalkan Keharmonian

 PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) mengajak seluruh masyarakat Malaysia mengambil iktibar terhadap kejadian pengeboman di tempat ibadah di Sri Lanka sehingga mengorbankan lebih 200 orang, bahawa betapa pentingnya keharmonian dan kedamaian dikekalkan di negara ini.

Dalam perjalanan sejarah peradaban manusia, perbuatan ganas melucutkan nyawa seseorang secara individu atau kumpulan khususnya orang awam yang tidak berdosa harus dikutuk sekeras-kerasnya oleh umat Islam sebagaimana digariskan dalam maqasid syariah.

Islam sebagai agama yang mementingkan kesejahteraan dan kehidupan bermasyarakat secara harmoni, amat menitikberatkan persoalan nyawa seseorang.

Atas apa alasan sekalipun, keganasan tetap dianggap sebagai satu perbuatan yang tidak berperikemanusiaan.

Masyarakat tidak dapat menerima sebarang alasan untuk menghalalkan pembunuhan, lebih-lebih lagi atas nama agama.

Kejadian itu melambangkan nilai kemanusiaan yang semakin pudar dan golongan berkenaan sebenarnya  terpengaruh dengan fahaman ekstrem.

Masyarakat dunia akan terus membuat penilaian bahawa ada manusia sanggup melakukan apa sahaja, hatta membunuh sekali pun, jika pertimbangan kemanusiaan dalam dirinya sudah hilang.

Dalam hal ini, Rasulullah mengingatkan menerusi sabda baginda yang bermaksud: “Perkara pertama yang akan diadili di hadapan Allah di hari kiamat adalah masalah darah (pembunuhan).” (Riwayat Bukhari, Muslim, an-Nasa’i Ibnu Majah, dan Tirmidzi)

Allah s.w.t. menegaskannya menerusi firman-Nya yang bermaksud: “… dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah s.w.t (membunuhnya) melainkan dengan sesuatu (sebab) yang benar. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahami.” (al-An’aam: 151)

Itulah ketetapan daripada Allah s.w.t, Pencipta dan Penguasa alam semesta. Betapa indah dan adilnya Allah s.w.t dalam menetapkan aturan bagi makhluk ciptaan-Nya, iaitu suatu ketetapan yang mengandungi nilai-nilai kemanusiaan yang teramat tinggi.

Islam mengajarkan kepada umatnya untuk bersama-sama menjaga ketenangan, kedamaian, dan kebahagiaan hidup bermasyarakat.

Sebagai sebuah badan dakwah, YADIM akan terus secara progresif menganjurkan progam bagi memupuk rasa kasih sayang dalam pelbagai masyarakat majmuk berkonsepkan prinsip rahmatan lil alamin.

Yang Berusaha Al Fadhil Ustaz Haji Nik Omar Nik Ab Aziz
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)
23 April 2019

DIKELUARKAN OLEH BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT YADIM

Sebarang pertanyaan sila hubungi En. Mohd Yuswandi Abdul Majid (019-2827303) atau Pn. Norsalmah Muhamad Noordin (018-3874265).

Artikel Berkaitan

YADIM Kedah dan Perlis: Ziarah Madani Mualaf

MENJELANG Syawal tidak lama lagi, adalah tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk memupuk semangat kasih sayang dan kepedulian terhadap sesama Muslim termasuk

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *