KUCHING: Pembangunan industri halal perlu diperkasakan menerusi penyelidikan berasaskan sains dan inovasi bagi menghasilkan produk berkualiti yang memenuhi keperluan manusia serta mampu menembusi pasaran global.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata pendekatan itu turut membuka peluang kepada golongan muda untuk mendalami bidang sains, teknologi dan penyelidikan.
Beliau berkata, ia sekali gus akan membentuk disiplin strategik dalam melahirkan produk baharu, khususnya dalam sektor penjagaan kesihatan dan pengeluaran makanan.
“Ini akan menggalakkan kita, terutamanya golongan muda, untuk mengkaji semua disiplin yang sangat strategik supaya kita dapat menghasilkan produk baharu dalam penjagaan kesihatan dan juga pengeluaran makanan,” katanya.
Abang Johari berkata, industri halal tidak semestinya perlu mensasarkan penguasaan keseluruhan pasaran dunia, sebaliknya pemain industri boleh memberi tumpuan kepada strategi segmentasi pasaran yang lebih praktikal dan berpotensi tinggi.
“Kita hanya perlu melihat kepada jiran-jiran kita dan bekerjasama dengan mereka. India, China, Asia Timur dan ASEAN mewakili kira-kira 40 hingga 50 peratus populasi dunia.
“Jika kita berjaya menguasai separuh daripada pasaran itu, peluang yang terbuka amat besar,” katanya.
Beliau berkata, konsep halal juga perlu dilihat dalam skop yang lebih luas kerana ia bukan hanya tertumpu kepada pengguna Islam, malah mampu menarik minat pengguna bukan Islam sekiranya produk yang dihasilkan memenuhi keperluan sejagat.
“Apabila bercakap mengenai pasaran halal, bagi saya ia adalah usaha menghasilkan sesuatu yang diperlukan oleh manusia. Jika prosesnya halal, produknya juga halal.
“Jika produk itu memenuhi keperluan manusia, maka penembusan pasarannya bukan sahaja dalam pasaran halal, malah pasaran bukan halal,” katanya.
Berikutan itu katanya, Sarawak kini memberi keutamaan kepada penyelidikan berasaskan sains dan menggalakkan penyertaan pelajar serta golongan muda, sama ada Muslim atau bukan Muslim, dalam meneroka pembangunan teknologi dan proses halal demi manfaat masyarakat.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan Sarawak turut menyediakan pendidikan tinggi percuma kepada semua pelajar Sarawak di universiti-universiti negeri sebagai usaha melahirkan modal insan berkemahiran tinggi yang mampu memacu pembangunan industri halal serta menyumbang kepada kemajuan ekonomi dan kesejahteraan sejagat.



KOMEN