Home » Langit Terbuka » Industri halal pastikan penyertaan masyarakat lebih meluas – PM

Industri halal pastikan penyertaan masyarakat lebih meluas – PM

Perdana Menteri menegaskan, industri halal memastikan penyertaan meluas, yang menyentuh setiap petani, nelayan, pengusaha kecil, malah kedai runcit. - Kredit Foto : Mihas

KUALA LUMPUR: Perkembangan industri halal Malaysia hingga ke peringkat antarabangsa membuktikan ekosistem ekonomi Islam tidak lagi hanya bergantung kepada institusi kewangan seperti sebelum ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, melalui industri halal, hampir semua golongan rakyat disantuni, termasuk peniaga kecil dan petani, satu aspek yang umumnya tidak dapat dikuasai industri kewangan.

Perdana Menteri berkata, ia bertepatan dengan matlamat Ekonomi MADANI yang sedang dilaksanakan dan semangat maqasid syariah, yang mesti menyantuni hampir keseluruhan rakyat.

“Saya sentuh dari sudut agak berbeza, yang mana ekonomi Islam itu bukan lagi terletak kepada institusi kewangan yang menerajui ekonomi itu sebelum ini, dari sudut penolakan sistem riba dan ada kejayaan yang sudah dicapai.

“Melalui industri halal, kita mampu memenuhi satu aspek lemah yang tidak dapat dikuasai umumnya dalam industri kewangan, iaitu melepasi kelompok yang selalu dianggap sebagai pedagang, peniaga dan elit kepada masyarakat terbanyak.

“Industri halal memastikan penyertaan meluas, yang menyentuh setiap petani, nelayan, pengusaha kecil, malah kedai runcit.

“Kita akui institusi kewangan berjaya dalam beberapa bidang tetapi dalam industri halal, kita melebarkan kegiatan itu secara lebih menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024 di sini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Perdana Menteri memaklumkan, melalui kunjungannya ke luar negara, termasuk negara ASEAN, China, Eropah dan Russia, pemimpin negara berkenaan pasti akan menekankan keperluan supaya Malaysia bekerjasama, bukan saja dalam pensijilan halal tetapi juga perdagangan dan soal kegiatan halal lain.

Katanya, perkembangan sektor halal didorong banyak faktor, termasuk ekosistem penambahan nilai dan kebersihan dari segi kesihatan, yang mampu mengangkat produk dan perkhidmatan halal Malaysia ke tahap lebih tinggi, sehingga mampu menembusi pasaran antarabangsa, termasuk Barat dan China.

“Pemahaman mengenai halal ini bukan lagi hanya tiada kandungan daging babi atau alkohol tetapi dalam konteks yang mana, ia bermaksud sihat, penggunaan produk yang sofistikated dan mengelak produk berbahaya.

“Jadi aspek kebersihan dan penggunaan teknologi moden turut dipertimbang dalam menghasilkan produk halal yang bernilai tinggi dan mampu mencapai kecemerlangan melalui pelaksanaan pensijilan halal,” katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, sokongan daripada 66 negara yang menyertai MIHAS 2024 membuktikan potensi besar industri halal di peringkat global dan kelebihan kepada Malaysia secara amnya, yang membabitkan pempamer dan pengunjung daripada pelbagai bangsa untuk memastikan kejayaan industri itu.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyaksikan MIHAS 2023 yang diadakan pada September tahun lalu menerima pengikrafan daripada Guinness World Records sebagai “Kehadiran Terbesar Bagi Pameran Dagangan Halal”, membabitkan kehadiran 38,566 orang.

Perdana Menteri turut menyampaikan pengiktirafan Tokoh Pembangunan Halal Negara kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi atas jasa dan komitmen beliau dalam membangunkan industri halal Malaysia.

Anugerah disampaikan kepada anak Abdullah, Tan Sri Kamaluddin. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

‘Tahniah Dr Sirajuddin’ – Anwar

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *