Home » Langit Terbuka » Industri pelancongan halal berpotensi tinggi

Industri pelancongan halal berpotensi tinggi

Naib Presiden Pembangunan Pasaran Mastercard, K. Devesh berkata,perkembangan pesat teknologi dalam talian dan kaedah pembayaran serta peningkatan pengguna digital Islam telah menyumbang kepada pertumbuhan dalam segmen pelancongan halal. - Foto Sharjah Update

KUALA LUMPUR – Syarikat pembayaran dan teknologi global, Mastercard berpandangan bahawa perbelanjaan besar oleh pelancong Islam di seluruh dunia merupakan isyarat kepada potensi besar dalam industri pelancongan halal.

Naib Presiden Pembangunan Pasaran Mastercard, K. Devesh berkata, kepentingan segmen berkenaan tidak boleh dipertikaikan.

Menurut beliau, perkembangan pesat teknologi dalam talian dan kaedah pembayaran serta peningkatan pengguna digital Islam telah menyumbang kepada pertumbuhan dalam segmen pelancongan halal.

“Pengguna dan perniagaan melihat potensi pelancong China dan yakin ia merupakan pasaran yang cukup besar kerana datang dari satu negara sahaja. Namun, cabaran adalah berbeza bagi pelancong Islam kerana mereka datang dari seluruh dunia.

“Perbelanjaan pelancong Islam hampir sama seperti pelancong Cina,” katanya kepada pemberita selepas perbincangan panel mengenai pelancongan halal sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2019 di sini hari ini (4 April).

Indeks Pelancongan Islam Global Penarafan MasterCard-Crescent 2018 menjangkakan perbelanjaan pelancong Islam global akan mencapai RM906 bilion tahun depan dan RM1.2 trilion pada 2026.

Tambah Devesh, pasaran perjalanan halal terus menjadi salah satu segmen pelancongan paling pesat berkembang di seluruh dunia dengan anggaran ketibaan 131 juta pelancong Islam pada 2017 berbanding 121 juta yang dicatatkan pada 2016.

Katanya, syarikat telah mula bertindak dan memainkan peranan aktif untuk menyokong entiti termasuk CrescentRating bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan untuk segmen itu memberi kepuasan dan keselesaan kepada pelancong Islam. – Utusan Malaysia

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *