SAN DIEGO: Beberapa penulisan anti-Islam dan nota kebencian ditemui pada senjata api serta kenderaan milik dua suspek remaja lelaki dalam insiden tembakan mengorbankan tiga individu di Pusat Islam San Diego, California.
Kedua-dua suspek, Cain Clark, 17 dan Caleb Velasquez, 18, dipercayai membunuh diri sebelum ditemui mati di dalam kereta BMW berhampiran lokasi kejadian.
Sumber penguat kuasa memaklumkan, siasatan awal mendapati sekurang-kurangnya seorang daripada suspek bertindak melarikan senjata api daripada rumah ibu bapa mereka.
Difahamkan, suspek turut meninggalkan sekeping nota bunuh diri yang berbaur perkauman.
Berdasarkan hantaran di laman sosial sekolah suspek, Clark adalah pelajar Madison High School dan pernah menjadi atlet gusti yang cemerlang.
Datuk Clark, David Clark, 78, berkata beliau terkejut dan kesal dengan kejadian berkenaan.
Selain nota kebencian, polis turut menemui sebuah senapang patah dan tong minyak yang ditanda dengan simbol ‘SS’ di lokasi mayat kedua-dua suspek terbabit dijumpai.
Simbol ‘SS’ berkenaan dipercayai merujuk kepada Schutzstaffel, iaitu organisasi separa tentera pimpinan Heinrich Himmler di bawah rejim Nazi Adolf Hitler di Jerman.
Sebelum kejadian, polis mendedahkan kedua-dua suspek menerima panggilan kecemasan pada jam 9.42 pagi daripada seorang ibu yang bimbang selepas anak remajanya melarikan diri dari rumah bersama seorang rakan dengan berpakaian celoreng tentera.
Wanita itu memaklumkan anaknya cenderung membunuh diri serta membawa lari beberapa senjata api dan kenderaan miliknya.
Walaupun polis enggan mengesahkan identiti remaja yang dilaporkan hilang itu, sebahagian besar butiran adalah selari dengan profil suspek.
Tiga mangsa yang terkorban dalam kejadian itu dikenal pasti sebagai pengawal keselamatan, pemilik kedai runcit dan seorang lagi lelaki tempatan.
Polis menyifatkan pengawal keselamatan yang juga bapa kepada lapan anak itu, Amin Abdullah sebagai wira kerana tindakan berani lelaki itu berjaya menghalang jumlah kematian menjadi lebih besar. – AGENSI



KOMEN