KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan pemeriksaan bersasar ke atas pemborong, pengedar, pasar raya, pasar borong dan premis makanan yang dikenal pasti menerima bekalan ayam daripada premis di Puchong, Selangor yang diragui integriti penyembelihannya.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr Fuziah Salleh, berkat, isu berkenaan dipandang serius kerana ia bukan saja membabitkan prosedur penyembelihan, malah menyentuh hak pengguna untuk memperoleh maklumat yang benar dan tepat.
Beliau berkata, ia juga membabitkan kepentingan pengguna terutama beragama Islam yang meletakkan kepercayaan kepada status halal sesuatu produk makanan.
”Berdasarkan laporan operasi bersepadu oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 30 Oktober lalu, premis berkenaan didapati bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
“Pemeriksaan turut menemukan tahap kebersihan dan sanitasi yang tidak memuaskan serta ketidakpatuhan serius dalam proses penyembelihan ayam.
”Pemeriksaan lanjut menerusi dokumen invois menunjukkan bekalan ayam terbabit sudah diedarkan ke pelbagai premis perniagaan sekitar Lembah Klang termasuk restoran, pasar raya dan pasar borong,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 bagi memastikan syarat-syarat yang ditetapkan terutamanya mengenai pemprosesan, penyimpanan dan pengangkutan dipatuhi.
Katanya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama pihak berkuasa agama negeri, JAIS bertanggungjawab terhadap pensijilan halal, manakala KPDN mengambil tindakan dari segi penguatkuasaan undang-undang perlindungan pengguna di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730].
KPDN turut menasihati pengguna agar sentiasa peka terhadap representasi halal pada produk makanan dan menyalurkan aduan kepada pihak berkuasa sekiranya meragui status halal barangan.
Media sebelum ini melaporkan ayam segar diproses oleh pusat penyembelihan dan pemprosesan di Puchong yang diserbu pihak berkuasa, direnjat elektrik sebelum disembelih.
Dalam serbuan Ops Taring Chiller Jumaat lalu, lebih 6.5 tan ayam mentah dirampas kerana disyaki diproses tanpa mematuhi kaedah penyembelihan mengikut hukum syarak dan keperluan persijilan halal.
Premis itu didapati menggunakan kaedah renjatan air berarus elektrik.
Turut ditahan, seramai 12 lelaki warga Bangladesh dan Pakistan yang dipercayai terbabit aktiviti penyembelihan serta pemprosesan ayam di premis berkenaan.



KOMEN